ABDUL Rahman (tengah) bersama Amin Nollah ketika sesi ramah mesra dan penyerahan set alat tulis kepada calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM secara dalam talian di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis.
ABDUL Rahman (tengah) bersama Amin Nollah ketika sesi ramah mesra dan penyerahan set alat tulis kepada calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM secara dalam talian di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis.
Roselan Ab Malek


SUMBANGAN kit alat tulis disampaikan Timbalan Menteri I Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kepada pelajar daerah Lipis yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menyuntik motivasi untuk mencapai keputusan cemerlang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis pada sidang video di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis, Pahang bersama pelajar menerima sumbangan, baru-baru ini, meminta mereka fokus dengan pelajaran dan memberi tumpuan untuk beroleh kejayaan.

"Pelajar boleh mengubah nasib keluarga masing-masing dengan ilmu serta cemerlang dalam pelajaran.

"Sekiranya mereka berjaya, mereka dapat berbakti dan membantu keluarga mereka," katanya.

Beliau berharap 1,146 calon Sijil Pelajaran Malaysia, 126 calon STPM dan 51 calon STAM dari 17 sekolah di Lipis beroleh kejayaan cemerlang.

Katanya, pada Februari, Yayasan Pelajaran MARA menyumbangkan kit alat tulis kepada 1,323 calon peperiksaan di 17 sekolah di Lipis membabitkan peruntukan

RM50,000.

SIDANG video bersama pelajar yang menerima sumbangan.
SIDANG video bersama pelajar yang menerima sumbangan.

"Pemilihan sekolah daerah Lipis adalah sebagai satu kaedah merangsang semangat pelajar bagi menduduki peperiksaan utama berikutan kesulitan mereka terjejas dengan bencana banjir yang melanda Lipis selain meringankan beban kewangan pelajar," katanya.

Abdul Rahman turut menerangkan kepada semua pelajar berkenaan peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional, teknikal dan kemahiran disediakan pelbagai institusi pendidikan kendalian agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, antaranya institusi pendidikan berkenaan ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Profesional MARA, Kolej Felcra, Kolej Kemahiran MARA, Kolej Universiti Agrosains Malaysia, kolej di bawah MARA dan GiatMARA.

Beliau berkata, pelajar luar bandar perlu merebut peluang disediakan kerajaan kerana pelajar cemerlang boleh memohon mendapatkan tajaan daripada MARA untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada di dalam atau luar negara.

Menurutnya, pada tahun lalu, MARA memperuntukkan RM2 bilion bagi tajaan ke IPT dalam dan luar negara yang memanfaatkan sejumlah 50,000 pelajar seluruh negara.

Sementara itu, beberapa pelajar yang menerima sumbangan berkenaan berterima kasih kepada pihak kementerian yang prihatin dengan persediaan mereka untuk menghadapi peperiksaan.

MUHAMMAD Iqmal Arqkas
MUHAMMAD Iqmal Arqkas

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kalimatul Nur Ain Sulong menyifatkan pemberian itu sebagai satu motivasi kepada dirinya untuk menghadapi pemeriksaan SPM dengan lebih yakin.

"Saya akan menjadikan pemberian ini sebagai pemangkin semangat untuk meraih keputusan yang cemerlang kelak.

"Saya akan jadikan kejayaan Datuk Seri Abdul Rahman, anak Lipis yang berjaya menjadi menteri sebagai sumber inspirasi untuk berjaya sepertinya," katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Bagi rakannya, Muhammad Iqmal Arqkas Abdul Halim, pemberian kit alat tulis dan nasihat itu dijadikan satu cabaran untuk dirinya meraih kejayaan dalam SPM kelak.

"Dalam sidang video, Datuk Seri banyak memberi kata-kata semangat untuk berjaya dengan tidak menjadikan kedudukan sekolah di luar bandar sebagai halangan," katanya.

Bercita-cita menjadi pensyarah, Muhammad Iqmal Arqkas berkata, cabaran diberikan itu akan dibuktikan dalam peperiksaan itu kelak.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis Amin Nollah Lateh berkata, seramai 1,323 calon peperiksaan di 17 sekolah di Lipis menerima kit alat tulis disumbangkan oleh KPLB melalui Yayasan Pelajaran MARA.

AMIN Nollah
AMIN Nollah

Katanya, sebelum ini, Datuk Seri Abdul Rahman setiap tahun turun ke setiap sekolah menyampaikan sendiri kit alat tulis dan memberi motivasi kepada pelajar.

Beliau berkata, disebabkan pandemik Covid 19, tahun ini ia dijalankan secara sidang video sahaja.

"Saya berharap sumbangan itu dapat memberi motivasi kepada pelajar supaya belajar dengan lebih tekun dan seterusnya memperoleh keputusan cemerlang.

"Dengan sumbangan alat tulis ini, diharap pelajar di Lipis di sini dapat memupuk semangat untuk terus menuntut ilmu dan mencapai kejayaan dihajati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:00 AM