MAHASISWA sepatutnya cakna mengenai kepelbagaian etnik dan persepsi masyarakat - GAMBAR HIASAN.
MAHASISWA sepatutnya cakna mengenai kepelbagaian etnik dan persepsi masyarakat - GAMBAR HIASAN.
Suliati Asri


KADAR pengangguran di Malaysia dianggarkan 3.32 peratus pada tahun 2019 dan dijangka meningkat disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang melanda bukan saja negara kita tetapi seluruh dunia.

Sebagai graduan, mereka pastinya tidak mahu menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada statistik itu.

Namun, kebimbangan tetap ada dengan segala ketaktentuan dunia kini yang dikatakan berciri VUCA, iaitu mewakili Kemeruapan (Volatility), Ketidakpastian (Uncertainty), Kerumitan (Complexity) dan Kekaburan (Ambiguity).

World Economic Forum pula menganggarkan, 65 peratus jenis pekerjaan pada masa hadapan belum lagi dicipta.

Dalam hal ini, adakah kebimbangan ini berasas? Apakah graduan kita sudah dilengkapkan kemahiran yang cukup untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja negara kelak?

Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah dan Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, graduan tidak seharusnya risau kerana pasaran pekerjaan bukanlah perkara di dalam kawalan mereka.

Menurutnya terdapat banyak faktor lain yang memberi kesan, termasuklah

PROGRAM jaringan masyarakat orang asli akan membentuk mahasiswa yang celik budaya - GAMBAR HIASAN.
PROGRAM jaringan masyarakat orang asli akan membentuk mahasiswa yang celik budaya - GAMBAR HIASAN.

kegawatan ekonomi dan kepercayaan pelabur.

"Pada saya, apa yang lebih penting kini, pelajar harus memastikan pencapaian hasil pembelajaran ('learning outcomes') mereka bagi setiap subjek yang diambil ketika pengajian.

"Ini kerana setiap subjek dan program pengajian yang ditawarkan di universiti sudah direka bentuk bagi memenuhi kehendak industri berkaitan selain ia juga adalah keperluan yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan profesional bidang masing-masing," katanya.

Sebagai graduan institusi pengajian tinggi (IPT), kata Dr Nahrizul Adib, tidak ada kompromi dari segi kompetensi ilmiah graduan yang terhasil.

Menurutnya, apa yang bakal membezakan mereka di mata majikan kurun ke-21 adalah keupayaan untuk 'learn, unlearn, dan re-learn,' atau dalam kata lain, kesediaan mereka untuk mengikuti pembelajaran sepanjang hayat.

"Selain kompetensi ilmiah, graduan juga harus bersedia untuk bersaing dalam menonjolkan sisi pembangunan diri masing-masing.

"Ini kerana kelebihan sebegini akan memikat majikan untuk memilihnya sebagai aset kepada organisasi dari awal, kerana sudah mampu menjaga dan menambah baik nilai organisasi," katanya.

Justeru, nasihat Dr Nahrizul Adib, kepada graduan yang masih merasakan dirinya belum cukup tergilap sisi sahsiahnya, ambillah sebanyaknya peluang yang disediakan di dalam aktiviti luar dewan kuliah ketika bergelar mahasiswa.

"Sifat kepimpinan, kompetitif, keberanian mengutarakan pendapat, kerja berpasukan, kreatif, celik budaya dan empati kepada masyarakat sekeliling akan muncul di dalam diri graduan sekiranya program sebegini diikuti dengan sungguh-sungguh," tambahnya.

Sementara itu, pelajar Fakulti Ekonomi UM, Ainin Sofiya Khairul Anura berkata, dia sememangnya risau mengenai kadar pengangguran kini.

Namun, katanya sebagai pelajar tahun pertama yang mendaftar Oktober lalu, dia mempunyai banyak masa untuk memperbaiki diri.

KEUPAYAAN mengutarakan pendapat denyan yakin adalah ciri graduan yang dimahukan industri - GAMBAR HIASAN.
KEUPAYAAN mengutarakan pendapat denyan yakin adalah ciri graduan yang dimahukan industri - GAMBAR HIASAN.

"Sebagai pelajar jurusan ekonomi dan pentadbiran, saya kelak mempunyai beberapa pilihan.

"Selain bekerja dengan mana-mana syarikat, saya juga boleh berniaga, malah saya sudah biasa berniaga sejak sekolah menengah lagi," katanya.

Ainin Sofiya berkata, ekonomi mempunyai banyak cabang dan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, menurutnya semuanya datang dari diri sendiri.

"Jika kita pandai bawa diri dan juga mempunyai sikap yang kreatif dalam mencari peluang di mana-mana saja serta membina hubungan 'networking' dengan sesiapa saja, insyaallah peluang akan ada.

"Setakat ini, dari pemantauan saya kebanyakan senior dan rakan yang sudah menamatkan pengajian semuanya mempunyai pekerjaan," katanya.

Ditanya mengenai kesediaannya mencari ilmu dan kemahiran tambahan, jawapan anak pertama dari lima beradik ini, dalam hidup kita harus sentiasa belajar dan belajar.

"Kini, saya sedang mempelajari bahasa Mandarin dari institut luar sebagai bahasa ketiga kerana saya sedar kebanyakan syarikat sekarang mahu mengambil pekerja yang pandai berbahasa Cina selain dari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

"Saya juga akan meneruskan perniagaan secara dalam talian yang diusahakan kini.

"Apabila tamat belajar nanti, saya juga merancang untuk memohon pelbagai jawatan dalam industri yang berkaitan dengan jurusan yang diambil bagi untuk mencari pengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 7:00 AM