PELAJAR yang berada di kampus menjalankan pengundian secara dalam talian di lokasi ditetapkan.
PELAJAR yang berada di kampus menjalankan pengundian secara dalam talian di lokasi ditetapkan.
Suliati Asri


PANDEMIK Covid-19 yang menular di seluruh dunia memberi impak yang besar dalam semua aspek.

Bagi memastikan tiada risiko penularan Covid-19, selain majoriti pelajar tidak berada dalam kampus, kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) melaksanakan pilihan raya kampus secara dalam talian.

Ini bermaksud proses pemilihan itu berlangsung sepenuhnya secara dalam talian termasuk penamaan calon, kempen dan pengundian.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) misalnya sudah melaksanakan e-undi November lalu manakala Universiti Sains Malaysia (USM) pula melaksanakan pemilihan secara dalam talian pada 26 Disember ini.

Ia mungkin bukan sesuatu yang baharu kerana ada sesetengah IPT yang pernah melaksanakannya, tetapi pelajar perlu berada di lokasi ditetapkan.

Berbanding dengan pemilihan secara dalam talian ini, pelajar boleh memilih perwakilan mereka secara dalam talian di lokasi masing-masing.

Namun, sejauh mana ketelusan pelaksanaan pilihan raya kampus secara dalam talian dan bagaimana penerimaannya dalam kalangan calon yang bertanding?

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, selain mengelak penularan Covid-19, e-undi ini dilaksanakan kerana bilangan pelajar di kampus sangat sedikit dan kebanyakan mereka di kampung masing-masing.

"Selain itu, e-undi itu juga dilaksanakn kerana kami mahu pelajar terbabit dalam pengundian memilih perwakilan mereka dan kami tidak mahu semangat itu hilang," katanya.

DR Mohd Rushdan (kiri) melihat portal khas yang dibangunkan untuk Pemilihan MPP USIM kali ini di telefon pintar.
DR Mohd Rushdan (kiri) melihat portal khas yang dibangunkan untuk Pemilihan MPP USIM kali ini di telefon pintar.

Menyentuh soal ketelusan, kata Dr Mohd Rushdan, ia adalah perkara yang sangat dititikberatkan namun bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan tiada isu yang timbul.

Menurutnya, ketelusan yang dicapai sangat terbaik dan tiada isu berbangkit.

"Untuk pengundian secara dalam talian ini, kami sudah membina sistem e-undi dengan pembabitan pakar dalam bidang komputer dan perisian.

"Kami juga sudah memastikan proses pemeriksaan dijalankan dan langkah keselamatan juga diambil," katanya.

Beliau berkata, sistem e-undi itu juga di audit di mana juruaudit akan memeriksa sistem ini sebelum mula proses pengundian dan selepas pengundian. Semua itu dilaksanakan secara sistematik.

Katanya, pihaknya juga sangat mengambil berat mengenai ketelusan e-undi ini supaya pelajar tidak hilang kepercayaan.

"Dalam hal ini, kami sudah menerangkan kepada calon yang bertanding mengenai sistem digunakan.

"Setiap jam ketika proses pengundian, calon akan dimaklumkan mengenai peratusan pelajar yang sudah membuat undian," katanya.

PELAJAR sedia menjalankan pengundian secara dalam talian.
PELAJAR sedia menjalankan pengundian secara dalam talian.

Mengulas mengenai kelebihan pelaksanaan pemilihan majlis perwakilan pelajar (MPP) secara e-undi itu, Dr Mohd Rushdan berkata, ia sesuatu yang berbeza dan memberi banyak kelebihan berbanding pengundian biasa.

Katanya, sesuatu yang ketara adalah pembabitan pelajar yang mana peratusan golongan itu mengundi amat baik iaitu 89.79 peratus.

"Pelaksanaan e-undi ini saya lihat memberi peluang kepada semua yang terbabit untuk lebih kreatif kerana bermula daripada proses penamaan calon, kempen sehingga hari pemilihan dilaksanakan secara dalam talian.

"Selain itu, e-undi ini dapat mengurangkan kos pelaksanaan dan tempat mengundi juga tidak dilakukan di semua fakulti sebaliknya hanya di beberapa tempat bagi kemudahan pelajar yang berada di kampus mengundi," katanya.

Bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM Sesi 2020/2021, Muhamad Hannan Mohd Haniff berkata, dia tidak menghadapi masalah dengan pelaksanaan e-undi itu kerana sebelum ini USIM juga menggunakan kaedah secara dalam talian, namun perlu datang ke pusat pengundian.

Bagaimanapun, menurutnya ada juga timbul sedikit kerisauan terutama mengenai isu masalah kelajuan capaian portal e-undi.

"Ketika proses e-undi, pelajar akan mengundi di lokasi masing-masing mengikut masa sendiri dan masalah kelajuan mencapai portal e-undi adalah kerisauan kami, tetapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.

Dari segi berkempen pula kata Muhamad Hannan, pengundian yang dilaksanakan secara dalam talian ini menjadikan calon lebih kreatif.

Katanya, dia menjalankan kempen ini sepenuhnya secara dalam talian dan ia satu pengalaman baharu bukan saja untuknya, tetapi juga calon lain.

SISTEM e-undi diaudit bagi menjaga ketelusan.
SISTEM e-undi diaudit bagi menjaga ketelusan.

"Tahun ini, bukan saja undian dilaksanakan secara dalam talian, tetapi juga berkempen kerana kebanyakan pelajar berada di rumah.

"Hal ini menjadikan saya lebih kreatif dengan menggunakan pelbagai platform termasuk aplikasi utama iaitu Instagram, Facebook dan Twitter.

"Saya juga menggunakan pendekatan Tiktok dan masuk ke kelas serta fakulti lain secara dalam talian untuk berkempen.

"Nampak mudah kerana kempen banyak dilakukan secara dalam talian, namun ia mempunyai cabaran tersendiri terutama dalam mencari 'crowd' daripada pelajar untuk mendengar manifesto serta hasrat pembawakan saya," katanya.

Ditanya adakah timbul keraguan mengenai ketelusan keputusan yang diperoleh dengan pelaksanaan e-undi? Jawapannya, ia dalam pemerhatian calon.

"Keraguan mengenai ketelusan keputusan e-undi itu memang ada, tapi saya tidak meragui sepenunya apa yang USIM laksanakan kerana pihak atasan sudah menerangkan bagaimana sistem itu didirikan dan dijalankan terlebih awal.

"Saya juga merasakan bahawa e-undi adalah cara yang memudahkan pelajar," katanya.

Secara keseluruhan, Muhamad Hannan berkata, e-undi ini lebih mudah dan cepat berbanding pengundian secara biasa.

"Selain itu, e-undi yang dilaksanakan pada tahun ini dapat mengurangakan kos perlaksanaan kerana hanya perlu guna satu tempat mengundi secara fizikal berbanding banyak

tempat mengundi pada pilihan raya kampus pada tahun-tahun sebelum ini," tambah Dr Mohd Rushdan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 7:00 AM