SEBAHAGIAN pelajar sedang menjalani program 3T yang dianjurkan UniSZA.
SEBAHAGIAN pelajar sedang menjalani program 3T yang dianjurkan UniSZA.
Ahmad Rabiul Zulkifli


PELAJAR sekolah menengah dalam kalangan keluarga B40 di negeri ini dibantu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi memastikan mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Program Teens Tuition, Teens (3T) dianjurkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA itu dianjurkan sejak 2 November sehingga 22 Disember 2022.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata, program 3T itu memberi fokus kepada pelajar sekolah menengah daripada keluarga B40 di sekitar Kuala Terengganu terlebih dahulu.

"Program itu bertujuan memenuhi sebahagian daripada keperluan Pelan Strategik UniSZA iaitu menjadikan UniSZA sebagai 'Hero Komuniti' yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya di daerah sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

"UniSZA akan menjalankan program itu selama dua tahun sesuai dengan persediaan pelajar dalam menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Mohd Afandi berkata, UniSZA menyasar pelajar menetap di Flat DUN Ladang terlebih dahulu pada tahun ini.

PELAJAR dibantu penuntut UnisZA.
PELAJAR dibantu penuntut UnisZA.

"Seramai 40 pelajar daripada empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, SMK Seri Budiman, SMK Padang Negara dan SMK Chendering terpilih menyertai program dianjurkan itu.

"Sebanyak enam mata pelajaran diberi perhatian khas iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Akaun.

"Kami bercadang menambah jumlah penyertaan pelajar pada tahun hadapan seramai 120 pelajar dengan 10 mata pelajaran penting," katanya.

Tambahnya, fasilitator dan pembantu tenaga pengajar terdiri daripada penuntut Asasi (PUSPA) dan penuntut Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) UniSZA.

"Seramai 20 fasilitator dilantik dan menjadi tenaga pengajar sepanjang program dijalankan.

"Dua aliran utama yang juga diberi tumpuan ialah aliran Sains dan Perniagaan yang melibatkan subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Perakaunan," katanya.

Menurutnya, UniSZA berharap pelajar yang terpilih memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan bagi menambah penguasaan dalam mata pelajaran sebelum menduduki SPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:13 AM