Suliati Asri


GOLONGAN pelajar adalah yang paling terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia. Kesan itu juga dihadapi penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang selama ini sangat aktif dengan pelbagai aktiviti di kampus.

Namun, ruang kampus yang terpaksa dikosongkan bagi memutuskan rantaian Covid-19 bukan alasan untuk berhenti melakukan aktiviti kerana ruang maya sebenarnya terbuka luas 24 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk 1,001 projek pelajar.

Itulah yang kini dilakukan kebanyakan IPT.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam misalnya, salah satu aktiviti dalam talian yang diadakan iaitu Kuiz 'Kahoot' Cintai Rasululllah SAW sempena sambutan Maulidur Rasul 1442H mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Walaupun konsepnya mudah iaitu kuiz menggunakan aplikasi gamifikasi (gamification) dalam talian, namun lebih 300 peserta menyertainya sekali gus membuktikan pelajar IPT kini dalam usaha mencari pelbagai aktiviti bermanfaat.

Pengarah projek, Khirul Irham Khirul Nizam berkata, aktiviti pelajar yang dilaksanakan dalam talian bukan sekadar mengisi jadual kampus tetapi mengukuhkan rasa kebersamaan antara pelajar yang jauh terpisah secara fizikal.

"Sebagai pelajar, ketika berada di kampus, pelbagai aktiviti dan projek boleh dilaksanakan bersama. Selain mengukuhkan persahabatan, kami belajar menguruskan acara, bekerjasama dalam pasukan dan banyak pengalaman lain yang diperoleh.

"Namun, untuk aktiviti dalam talian, kesan positifnya berbeza. Kami sememangnya boleh bersemuka dengan menatap wajah di skrin telefon pintar atau komputer riba, tetapi kami tetap dapat merasai keakraban walaupun hanya sekejap," katanya.

Timbalan pengarah projek, Nurul Natasya Mohd Jais pula berkata, dia dan ahli sekretariat nyata tidak menyangka program santai itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

ANTARA peserta yang menyertai  Sayembara Deklamasi sajak IPT 2020.
ANTARA peserta yang menyertai Sayembara Deklamasi sajak IPT 2020.

"Walaupun hadiah penyertaan hanya baucar makan dan minum sahaja tetapi kebanyakan peserta memberi komen positif. Percaya atau tidak, ada peserta yang minta kami buat kuiz dalam talian ini setiap minggu.

"Ada juga yang mengatakan aktiviti seperti ini dapat hilangkan rasa sunyi dan sedih kerana mereka tidak dapat berjumpa rakan sekuliah serta pensyarah di kampus," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Shah Alam, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, penambahan aktiviti dan projek pelajar secara mendadak adalah bukti kemampuan pelajar IPT untuk menangani norma baharu.

Menurutnya, jika dulu sesuatu aktiviti itu dilaksanakan tiga atau empat aktiviti pelajar setiap semester untuk setiap satu persatuan, bagi semester terbaharu ini ada persatuan kami yang sudah merancang 12 aktiviti.

"Ternyata ruang lingkup maya yang maha luas membuka jalan kepada pelajar untuk menjalankan aktiviti secara atas talian dengan begitu kreatif.

"Malah, bilangan peserta juga mudah mencapai 200 hingga 300 orang untuk satu-satu aktiviti kerana pelajar IPT merasakan perlunya hubungan antara manusia dijalin erat, walaupun mereka terpisah jauh di tempat tinggal masing-masing di seluruh pelosok negara," kata Dr Airil.

POSTER Sayembara Deklamasi sajak IPT 2020.
POSTER Sayembara Deklamasi sajak IPT 2020.

Yang pasti, kesan positif yang dirasai oleh pelajar APB UiTM ini juga boleh dirasai oleh pelajar IPTA dan IPTS di serata Malaysia, dengan syarat mereka memperbanyakkan aktiviti dan projek di atas talian dalam ruang maya internet.

Katanya, pandemik Covid-19 bukan alasan untuk menghentikan aktiviti dan projek pelajar yang berfaedah.

"Kita jangan lupa realiti manusia mampu untuk belajar dan mengadaptasi.

"Saya berasa terharu melihat usaha positif pelajar yang tidak menyerah kalah malah gigih membawa rasa kebersamaan antara pelajar ke alam maya.

"Ini suatu usaha terpuji dan saya pasti pelajar di IPT lain di seluruh negara akan meraih manfaat yang sama, jika mereka juga menggunakan alam maya untuk melakukan aktiviti, berpersatuan dan mengikat kebersamaan yang utuh sesama mereka," katanya.

Sementara itu, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula, Kelab Pengajian Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan menganjurkan Pertandingan Deklamasi Puisi 2020 secara dalam talian yang berjaya menarik seramai 89 orang.

Ketua Pengarah Program Sayembara Deklamasi Sajak IPT 2020 Ahmad Zafri Ahmad Shukri berkata, program dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka itu bukan saja untuk menggalakkan pelajar terus melakukan aktiviti tetapi juga merakyatkan seni budaya dan tradisi Melayu dalam kalangan pelajar dan kakitangan UKM serta seluruh IPT di Malaysia.

"Selari dengan perkembangan teknologi penyampaian maklumat, elemen ini ibarat batu loncatan untuk memastikan seni tradisi ini terus hidup melalui program ini.

"Program yang diadakan dalam talian itu juga dapat memupuk kesedaran terhadap seni budaya dan tradisi Melayu sekali gus dapat mempertingkatkan potensi serta bakat mahasiswa.

PESERTA sedang menjawab soalan Kuiz yang dianjurkan secara dalam talian.
PESERTA sedang menjawab soalan Kuiz yang dianjurkan secara dalam talian.

"Melalui pembabitan mereka, ilmu kemahiran insaniah akan diterapkan secara tidak langsung," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan pelbagai program dan projek anjuran pelajar bagi menggantikan program fizikal berikutan pandemik Covid-19 Ahmad Zafri mengakui pelajar kini perlu bijak memanfaatkan teknologi untuk menganjurkan program secara maya.

Menurutnya, tidak dapat melakukan aktiviti di luar bukan satu kekangan tetapi ia adalah pengalaman dan cabaran buat kami sebagai pelajar untuk lebih kreatif.

"Kebanyakan anak muda kini menjadikan media sosial sebagai medium untuk melakukan pelbagai aktiviti berfaedah termasuk berniaga, menjadi Youtuber dan banyak lagi.

"Jadi, kenapa tidak kami menganjurkan program yang menggunakan platform media sosial ini bagi menarik minat anak muda terutama pelajar terutama berkaitan tradisional seperti Sayembara Deklamasi Sajak IPT 2020 ini,' katanya.

Program Sayembara Deklamasi Sajak IPT 2020 menawarkan hadiah wang tunai dengan johan RM600, naib johan RM400, ketiga RM300 dan tujuh hadiah saguhati masing-masing RM200 berserta cenderamata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 7:00 AM