KENANGAN Nurul Afifah Aiman (kiri) ketika program menghulurkan bantuan kepada anak-anak Orang Asli.
KENANGAN Nurul Afifah Aiman (kiri) ketika program menghulurkan bantuan kepada anak-anak Orang Asli.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah

Dua kunci kebahagiaan ialah syukur dan reda. Itulah pegangan hidup Nurul Afifah Aiman Marzuki. Gadis manis berusia 20 tahun ini masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Anak jati kelahiran Selangor ini juga sejak di sekolah rendah lagi sering memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.

"Jika saya tidak belajar bersungguh-sungguh seolah-olah saya sudah mengecewakan diri sendiri, ibu bapa dan guru. Sudah tentu saya mahu menunjukkan contoh teladan terbaik terutamanya adik beradik dan rakan-rakan," katanya penuh bersemangat.

Jujur dia mengakui ibu bapa adalah dua insan yang berharga dalam hidupnya. Kedua-duanya adalah pendorong utama, pembakar semangat dan memberi tunjuk ajar serta nasihat berguna kepadanya supaya tidak mudah mengalah dan bersungguh-sungguh dalam mendalami ilmu apa sekalipun.

Apatah lagi, latar belakang ibu dan bapanya bukan calang-calang. Ayahnya Marzuki Hassin adalah seorang peguam syariah dan mempunyai sebuah firma guaman sendiri.

NURUL Afifah (tiga dari kiri) ketika program Santai Bersama.
NURUL Afifah (tiga dari kiri) ketika program Santai Bersama.

Ibunya Nor Awalana Bolot pula berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Sektor Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas menabur perkhidmatan selama 20 tahun sebagai guru Pendidikan Islam.

Nurul Afifah Aiman adalah anak kedua daripada lima beradik mengakui walaupun cita cita asalnya untuk bergelar seorang doktor pakar ginekologi tidak kesampaian namun dia tetap bersyukur mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang yang sedikit sebanyak memberikan sinar baharu buat dirinya.

"Menjadi harapan saya untuk melihat undang-undang negara kita pada hari ini berada dalam konteks syariah berlandaskan al-Quran dan sunnah supaya selari dengan hukum syarie untuk umat Islam pada masa kini.

"Ia menjadi inspirasi dan semangat buat saya untuk mengikuti pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah (LLBS) di UIAM," katanya.

BERSAMA pasukan debat bahasa Melayu yang diadakan di Centre of Foundation IIUM, Kelantan.
BERSAMA pasukan debat bahasa Melayu yang diadakan di Centre of Foundation IIUM, Kelantan.

Malah dia turut mengakui melanjutkan pengajian di menara gading itu, setiap pelajar diberi pilihan untuk mengambil Ijazah Sarjana Undang-Undang Syariah pada masa yang sama.

"Saya juga tidak mahu melepaskan peluang ini untuk turut mengambil Ijazah Undang-Undang Syariah (LLBS) bagi mendalami ilmu undang-undang selari dengan prinsip syariah yang digariskan di dalam al-Quran dan sunnah. Kami memperuntukkan sekurang-kurangnya 16 jam seminggu bagi menghadiri kuliah. Tetapi ada di antara rakan saya mengikuti sesi kuliah sehingga 24 jam seminggu.

"Dalam kesibukan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah, masa lapang saya dipenuhi dengan menyertai aktiviti ataupun program luar sama ada anjuran dalam atau luar kampus. Ia antara cara untuk saya mengurangkan tekanan belajar.

"Saya bersyukur dapat mengimbangi masa antara pelajaran dan aktiviti luar kokurikulum. Buktinya apabila saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan markah terbaik aktiviti kokurikulum.

NURUL Afifah (tiga dari kiri) bersama rakan sebagai fasilitator di bawah program anjuran Kelab COMRADE IIUM.
NURUL Afifah (tiga dari kiri) bersama rakan sebagai fasilitator di bawah program anjuran Kelab COMRADE IIUM.

"Saya tidak memerlukan penganugerahan ataupun trofi untuk membuktikan kecemerlangan namun cukuplah sekadar setiap program saya sertai diambil gambarnya mempunyai nilai bermakna," katanya.

Selain itu, dia tidak menafikan sepanjang sesi pembelajaran undang-undang, antara cabaran yang perlu ditempuhi ialah menilai setiap perkara itu dari sisi sebuah fakta di mana apabila membuat penyelidikan sesebuah kes paling penting fakta utamanya.

"Ketika mana memperoleh nama kes namun masih terdapat lompong fakta yang perlu dicari dari pelbagai sumber dan tempat termasuk cara mengaplikasikan kes itu dalam permasalahan pada hari ini. Seterusnya persoalan seperti bagaimanakah kes itu memberi signifikasi dan kesan pada undang-undang masa hadapan serta bagaimanakah kita boleh mengubah mengikut kesesuaian dan penerimaan masyarakat" katanya.

Pengalaman lain yang diharunginya, mengikuti pengajian di universiti memberikan sifat berdaya saing dengan rakan-rakan yang lebih hebat daripadanya.

BERSAMA keluarga tercinta.
BERSAMA keluarga tercinta.

"Hakikatnya kita tidak perlu berlumba-lumba untuk menentukan siapa yang teratas. Paling penting sebenarnya kita berlawan dengan diri sendiri untuk menjadi yang terbaik berbanding sebelumnya.

"Saya menjadikan Profesor Dr Muhaya seorang pakar bedah mata dan pendakwah bebas sebagai idola yang dikagumi. Sejak kecil saya dihidangkan kisahnya oleh ibu yang menceritakan mengenai pencapaian dan kepayahan dihadapinya. Walaupun beliau seorang pakar mata ia bukan alasan baginya untuk menjalankan kerja dakwah.

Setiap bait kata-katanya menjadi inspirasi dan mampu melembut serta meruntun hati pendengar. Justeru, walaupun saya menuntut dalam bidang undang-undang, dalam masa sama boleh memberi manfaat kepada orang lain," akuinya jujur.

Menceritakan perancangan masa depannya, Nurul Afifah Aiman memasang impian bergelar penasihat undang-undang yang terkemuka suatu hari nanti.

NURUL Afifah (dua dari kiri) sebagai peserta MYLIG Legal Camp: The New Legacy.
NURUL Afifah (dua dari kiri) sebagai peserta MYLIG Legal Camp: The New Legacy.

"Selepas ini saya bercadang meyambung pengajian peringkat ijazah sarjana dan tahap seterusnya kerana bagi saya dengan ilmu sahaja kita mampu mengubah sesebuah masyarakat menjadi lebih bermoral dan integriti.

"Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim umpamanya seorang tokoh ilmuwan undang-undang yang tiada tolok bandingnya di negara ini. Walaupun beliau sudah tiada, hasil penulisannya banyak memberi manfaat kepada manusia hingga ke hari ini. Segala jasa dan sumbangannya terus dikenang.

"Begitu juga ilmuwan dan ikon dakwah antarabangsa yang terkenal Sheikh Dr Yusof al Qaradhawi tetap meneruskan kerja dakwah walaupun dalam masa yang sama menempuhi pancaroba dan ancaman daripada musuh," katanya yang kini turut mengasah bakat dalam bidang jahitan.

Antara lain, gadis manis ini turut mengimpikan memiliki sebuah butik yang menawarkan fesyen pakaian Muslimah.

MEMORI indah ketika terpilih menjadi fasilitator di bawah program Academic Motivational Camp.
MEMORI indah ketika terpilih menjadi fasilitator di bawah program Academic Motivational Camp.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 6:30 AM