TS Nurulakla (tengah) mengetuai aktiviti berjalan sekitar kampus sempena Kembara Lestari Merdeka
TS Nurulakla (tengah) mengetuai aktiviti berjalan sekitar kampus sempena Kembara Lestari Merdeka
Suliati Asri


SERAMAI 63 kakitangan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pekan, Pahang berjalan sejauh tiga kilometer sambil mengibarkan jalur gemilang sebagai menzahirkan rasa kecintaan kepada negara dalam menjayakan program Kembara Lestari Merdeka anjuran Jabatan Pendaftar, baru-baru ini.

Program ini juga memberi peluang kepada peserta meneroka kehijauan kampus yang indah selain dapat menjadikan aktiviti itu sebagai aktiviti beriadah dan amalan gaya hidup sihat.

Kembara Lestari Merdeka yang dirasmikan Naib Canselor UMP Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff itu bermula dari perkarangan bangunan Canseleri Tun Abdul Razak membawa peserta menyusuri Rimba Lestari, Kawasan Tumbuhan Nadir dan ke Dusun UMP.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Ts Dr Mohd Rosli Hainin, Ketua Pustakawan, Azman Abdul Rahim, Dekan Kanan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, Profesor Madya Dr Hasan Ahmad, Dekan Pusat Sains Kemanusiaan, Dr Mohamad Hilmi Mat Said†dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Dr Mohamad Idris Ali.

WAN Azhar turut menanam pokok Longan sebagai simbolik berakhirnya program Kembara Lestari Merdeka di Dusun UMP
WAN Azhar turut menanam pokok Longan sebagai simbolik berakhirnya program Kembara Lestari Merdeka di Dusun UMP

Ketua Unit Kelestarian dan Penghijauan Kampus, Ts Nurulakla Mohd Azlan berkata, peserta bukan sahaja meneroka keindahan kampus tetapi turut berpeluang memperoleh maklumat mengenai spesies pokok tropika dan pokok jenis nadir yang terdapat di dalam kampus.

"Rimba Lestari yang berkeluasan lebih kurang 10 hektar mempunyai 800 pokok hutan dan 1,800 pokok akasia. Antara pokok kayu tropika yang terdapat di Rimba Lestari ini ialah tongkat ali, meranti tembaga, ketapang, merbau, cengal, beruas, jelutung dan lain-lain.

"UMP juga mempunyai dusun berkeluasan lebih kurang 0.8 hektar dengan 100 pokok buah-buahan antaranya pokok mangga, durian, rambutan, durian belanda, limau bali dan banyak lagi. Kebanyakan pokok buah-buahan ini sudah mula berbunga dan ada yang sudah mengeluarkan buah," katanya yang mengetuai kembara kibarkan jalur gemilang.

Pada masa yang sama, Profesor Ir Dr Wan Azhar turut menanam pokok longan sebagai simbolik berakhirnya program Kembara Lestari Merdeka di Dusun UMP.

WAN Azhar memasang jalur gemilang di kenderaan universiti simbolik perasmian bulan kemerdekaan peringkat UMP.
WAN Azhar memasang jalur gemilang di kenderaan universiti simbolik perasmian bulan kemerdekaan peringkat UMP.

Selain program Kembara Lestari Merdeka, UMP turut menyediakan pelbagai program termasuk pertandingan video pendek Merdeka, Pertandingan Infografik Merdeka dan Aspirasi Merdeka bermula 15 Ogos hingga 16 September ini.

Pertandingan ini bukan sahaja untuk warga UMP malah terbuka kepada orang awam yang berminat.†

Program Derma Darah, Pameran Hari Kebangsaan dan Program Jom Tanya Pakar Khas Sempena Hari Kemerdekaan dengan tajuk 'Merdekakah Kita' bersama Dr Mat Rofa Ismail yang juga pengkaji sejarah Melayu dan Islam menerusi Facebook live-Pusat Islam UMP juga diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 6:25 AM