KUMPULAN penyelidik dan penuntut UMT yang menyertai Pi-ENVEX 2020.
KUMPULAN penyelidik dan penuntut UMT yang menyertai Pi-ENVEX 2020.
Fazurawati Che Lah


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) memenangi empat pingat emas, enam perak dan tiga gangsa dalam pertandingan Perlis International Engineering Invention & Innovation Exhibition 2020 atau ringkasnya Pi-ENVEX 2020 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menariknya, pertandingan itu diadakan secara maya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Lebih membanggakan, UMT turut memenangi Anugerah Khas Inovasi Creative Invention Awards yang diketuai Dr Shahrul Ismail daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKKI) bersama kumpulan penuntut.

Menurut penuntut tahun empat Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar), Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Kelautan, Nurqistina Izzati Kamarulzaman, projek yang dinamakan Methanator-Advance Pilot Plant Anaerobic Digester adalah projek penyediaan mesin pencernaan anaerobik (tanpa oksigen) yang diinovasikan bersama panel solar dan penentu masa.

"Sisa organik ditukarkan kepada biogas yang bermanfaat, contohnya gas methana yang boleh digunakan untuk gas memasak ataupun penjanaan elektrik.

"Ia berkonsepkan mesra alam dan menjimatkan kos yang membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembuangan bahan sisa sampah," katanya.

PROJEK Methanator Miniature yang memenangi anugerah Khas
PROJEK Methanator Miniature yang memenangi anugerah Khas

SEBAHAGIAN penuntut UMT yang menyertai Pi-ENVEX 2020.
SEBAHAGIAN penuntut UMT yang menyertai Pi-ENVEX 2020.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Holistik dan Kokurikulum (PPHK), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Dr Izan Jaafar berkata, pihaknya diberikan tanggungjawab menyelaras 11 penyertaan membabitkan penuntut UMT ke Pi-ENVEX 2020 melalui Dana Khas Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar menzahirkan rasa bangga dan syabas terhadap semangat dan kesungguhan ditunjukkan penuntut meskipun dalam pergerakan terbatas berikutan PKP.

Beliau turut mengharapkan semangat juang mengharumkan nama UMT diteruskan oleh setiap warganya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:53 AM