ISKANDAR Zulkarnain ketika menyampaikan taklimat kepada penghuni kolej.
ISKANDAR Zulkarnain ketika menyampaikan taklimat kepada penghuni kolej.
Fazurawati Che Lah

CITA rasa mahasiswa kini yang lebih sukakan sesuatu yang luar biasa menjadi cabaran kepada pengurusan kolej kediaman untuk merangka sesuatu aktiviti atau program supaya ia mampu menarik penghuni yang juga penuntut untuk menyertai acara dijalankan.

Program di kolej kediaman yang dirangka itu bertujuan membantu merit supaya penuntut dapat kekal di kolej kediaman untuk semester berikutnya selain membentuk sahsiah penuntut supaya menjadi graduan yang holistik.

Mendakwa cabaran untuk mengemudi kolej kediaman bukan sesuatu mudah, Iskandar Zulkarnain Adamulhasza, 24, yang memegang jawatan sebagai Presiden Kolej Kediaman Ke-10, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga mengakui perlu lebih kreatif dalam pelbagai aspek.

Pada masa sama juga dia perlu menumpukan perhatian kepada akademik untuk meraih segulung ijazah.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu memberitahu, setiap aktiviti yang bakal dilaksanakan perlu mengikut cita rasa penghuni supaya program tidak menjadi suram kerana tiada penuntut yang mahu menyertainya.

Selain menjaga kebajikan dan hal ehwal kolegiat, kata Iskandar Zulkarnain, tugas sebagai presiden kolej kediaman juga mengkoordinasi program yang bakal dijalankan Jawatankuasa Pengurusan mengikut klauster yang ditetapkan Hal Ehwal Pelajar (HEP) merangkumi program berbentuk kerohanian, sukan, rekreasi, akademik dan komuniti.

“Untuk menjalankan sesuatu acara, mesyuarat bersama jawatankuasa Majlis Perwakilan Kolej perlu dijalankan beberapa kali sehingga menepati syarat dan kriteria ditetapkan pihak pengurusan tertinggi kolej sebelum diluluskan HEP.

“Kebanyakan kegiatan yang dirangka mengambil kira pelbagai aspek termasuk keinginan penuntut masa kini selain keselamatan dan kebajikan. Ini penting supaya acara itu menjadi tarikan kepada penghuni kolej untuk datang ke program dijalankan,” katanya.

TAKLIMAT kepada penuntut sebelum acara bermula.
TAKLIMAT kepada penuntut sebelum acara bermula.

DR Aini menyerahkan anugerah ikon kepada Iskandar Zulkarnain.
DR Aini menyerahkan anugerah ikon kepada Iskandar Zulkarnain.

Katanya, program yang dirangka itu bukan semata-mata untuk pengumpulan merit bagi kelayakan menetap di asrama sahaja, sebaliknya mempunyai pelbagai kebaikan kepada sahsiah penuntut yang menyertai aktiviti dijalankan sebagai persediaan selepas tamat pengajian.

“Untuk memenuhi cita rasa penuntut seramai 1,400 orang di kolej ini, saya perlu memikirkan apa acara yang sesuai supaya penghuni kolej datang dan menyokong acara dijalankan selain kena dengan jiwa penuntut milenia.

“Contohnya, jika dulu acara larian kebanyakannya diadakan sebelah pagi, tapi kami tukar kepada sebelah malam. Jika dulu program berbentuk bicara kita jemput panel dari jabatan tertentu, sekarang kita kena fikir untuk menjadikan program itu lebih menarik kita jemput selebriti seperti pencetus ummah dan artis.

“Bagaimanapun, semua itu perlu menepati garis panduan yang ditetapkan HEP supaya program dilaksanakan itu memberi impak dari sudut nilai dan pengajaran kepada penuntut,” katanya.

Menggalas tugas sebagai pengurusan tertinggi di kolej kediaman sejak dilantik September tahun lalu, anak muda dari Ampang, Selangor itu bukan sahaja menumpukan kegiatan dan kebajikan penuntut lokal, tetapi kepada penuntut antarabangsa.

Katanya, biarpun tiada syarat supaya penuntut antarabangsa terbabit kegiatan di kolej kediaman, tetapi dia sentiasa mengadakan perbincangan dan berkomunikasi dengan penuntut kelompok itu supaya dapat menyokong dan membabitkan diri dengan program dijalankan.

SEBAHAGIAN kegiatan untuk sumbangan komuniti.
SEBAHAGIAN kegiatan untuk sumbangan komuniti.

Iskandar Zulkarnain yang kini berada di tahun ketiga turut memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Akademik dan Penyelidikan 2018/2020.

Mengakui dirinya sibuk setiap hari, namun dia sentiasa berpesan kepada dirinya supaya tidak hanyut dan memanfaatkan masa terluang yang sedikit itu untuk akademik.

Ternyata pengorbanan yang dilakukan itu dibayar dengan kejayaan apabila sentiasa cemerlang pada setiap semester dengan memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.5 dan ke atas dan semester lalu dia memperoleh keputusan PNGK 3.923.

Iskandar Zulkarnain berkata, pendedahan dan pengalaman ketika memegang jawatan dalam ahli jawatankuasa kolej kediaman ketika mengikuti pengajian diploma di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor banyak membantu untuk dia menjadi pemimpin.

“Tidak menafikan jawatan yang disandang ketika itu memberi kesan positif, selain membentuk jati diri menjadi pemimpin.

“Bermula sebagai ahli jawatankuasa kolej kediaman dengan menguruskan beberapa portfolio antaranya protokal, pengurus pentas dan menjadi pengerusi bagi sesuatu program banyak memotivasikan diri, mengasah bakat serta kemahiran memimpin,” katanya.

Sumbangan yang diberikan Iskandar Zulkarnain kepada universiti itu akhirnya terbayar apabila dia dianugerahkan Anugerah Utama Putra Icon UPM dan Anugerah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada tahun ini yang disampaikan Naib Canselor UPM, Datin Paduka Dr Aini Ideris.

AKTIVITI rekreasi menjadi pilihan penuntut masa kini.
AKTIVITI rekreasi menjadi pilihan penuntut masa kini.

PROGRAM hiburan menarik kedatangan penuntut untuk memeriahkan acara.
PROGRAM hiburan menarik kedatangan penuntut untuk memeriahkan acara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 7:00 AM