ZALIMAN (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
ZALIMAN (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
Fazurawati Che Lah


KESULITAN yang dihadapi penduduk Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai, Kelantan akibat bencana banjir, baru-baru ini mendapat perhatian pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Ia menerusi penganjuran program Misi Bantuan Pascabanjir oleh Sukarelawan Siswa UMK, baru-baru ini.

Diadakan selama dua hari, program itu diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Profesor Dr Zaliman Sauli yang turun padang bagi menjayakan program gotong-royong dan membersihkan rumah mangsa banjir.

Profesor Zaliman berkata, program itu bertujuan meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UMK selain menepati konsep universiti untuk masyarakat.

“Malah, program kali ini membabitkan 86 keluarga yang terkesan dengan musibah banjir yang melanda kawasan berkenaan pada awal Disember lalu.

“Operasi ini dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut pelan lokasi banjir yang membabitkan aktiviti pembersihan (luar dan dalam) rumah,” katanya.

Lebih 80 sukarelawan daripada Kor Sukarelawan Polis Siswa/siswi (SUKSIS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut (PALAPES) Kor Siswa-siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA), Pasukan Askar Wataniah UMK, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Komuniti Sukarelawan (KOSUM) dan Volunteer Malaysia (VM) mengambil bahagian dalam misi berkenaan.

Sempena misi bantuan itu juga, operasi bancian mangsa banjir dilakukan pasukan PBSM yang diketuai Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, Dr Aswan Ismail turut diadakan bersama Seksyen Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Profesor Zaliman berkata, hasil daripada misi itu, pihak UMK membuat pengumpulan maklumat berkaitan semakan semula jumlah rumah mangsa banjir yang terjejas, pelaksanaan pembahagian bantuan dan penyelarasan pembahagian tugas kepada pasukan sukarelawan UMK dengan bantuan Ketua Pusat Pemindah Banjir, Azlan Che Soh.

“Fasa kedua pula diadakan di lokasi sama dengan pembabitan seramai 40 sukarelawan UMK, sukarelawan Universiti Awam (UA) dan pasukan daripada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 10:25 AM