NIK Muhammad Zawawi Salleh (tiga, kanan) mengadakan lawatan kerja pada program pertanian di Ladang Sungai Ambat, Mersing.FOTO Nurul Amanina Suhaini
NIK Muhammad Zawawi Salleh (tiga, kanan) mengadakan lawatan kerja pada program pertanian di Ladang Sungai Ambat, Mersing.FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

Mersing: Ladang Sungai Ambat, di sini, berpotensi dibangunkan menjadi kawasan agro pelancongan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Koperasi Ladang Berhad yang mengendalikan kawasan seluas 1,956 hektar itu juga menumpukan projek pertanian lain antaranya ternakan lembu, kelapa pandan, buah-buahan dan sayuran tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, selain menyasarkannya sebagai pusat sehenti kepada masyarakat setempat mahupun luar, ia menggalakkan pelbagai pihak terbabit secara langsung untuk mengusahakannya.

"Koperasi ini memayungi asnaf, itu kelebihannya kerana diusahakan pekebun kecil. Selain mahu kawasan ini bukan sekadar kawasan pertanian, malah (menjadi) sebagai (lokasi) agro pelancongan untuk masyarakat setempat termasuk yang datang dari luar.

"Seperti negara luar di Indonesia, penternakan lembu ini dianggap sebagai sumber negara, jadi hasil negara itulah boleh buat 'tourism' (pelancongan)," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di ladang berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Ladang Berhad, Mohd Damanhuri Mohd Jamli berkata, sehingga kini, terdapat 1,500 ternakan lembu diusahakan pekebun kecil secara integrasi dan fidlot, manakala 12.14 hektar pula digunakan bagi penanaman kelapa pandan.

Katanya, sebanyak 60.70 hektar pula diusahakan bagi penanaman buah-buahan dan sayuran tempatan.

"Selain memfokuskan bantuan kebajikan, ahli koperasi juga diberi peluang untuk bersama memajukan industri pertanian di dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:36 PM