GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prospek industri makanan dan pertanian akan menjadi lebih penting dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang apabila Malaysia beralih kepada ekonomi yang didominasi oleh perkhidmatan, sekali gus menjadikan penyertaan golongan belia dalam sektor ini dengan sentuhan teknologi moden lebih ketara berbanding sebelum ini.

Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Dr Sarena Che Omar berkata, di negara maju apabila sektor perkhidmatan menguasai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pertanian dan makanan terus berkembang dan berinovasi sejajar dengan pertumbuhan permintaan pengguna.

"Di negara berpendapatan tinggi, keselamatan makanan, hak buruh di ladang dan kaedah pertanian yang mampan penting apabila membeli makanan. Ini kurang berlaku di negara miskin apabila tumpuan tertumpu kepada kemampuan dan kuantiti makanan, berbanding kualiti.

"Oleh itu, apabila Malaysia beralih kepada negara berpendapatan tinggi, ia akan menjadi lebih penting makanan tempatan dihasilkan secara mampan mengikut keperluan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), selamat untuk dimakan dan mematuhi situasi buruh yang adil apabila petani dan pekerja dibayar dengan saksama dan terdapat kebolehkesanan makanan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ini sasaran Malaysia serta sektor pertanian dan makanan perlu diselaraskan untuk memenuhi permintaan yang berubah-ubah ini.

Pada September lalu, kerajaan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2025 dengan kualiti hidup yang lebih baik dan teknologi tinggi berikutan pelaksanaan pembaharuan.

Di bawah RMK12, Program Usahawan Tani Muda akan terus dilaksanakan untuk menarik lebih ramai dan mengekalkan penyertaan belia dalam pertanian serta strategi dan inisiatif khusus mengenai pertanian pintar akan turut diperkenalkan untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi.

Mengulas mengenai mengekalkan penyertaan belia, Sarena berkata ia memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat berikutan ia memerlukan seluruh ekosistem untuk menarik dan mengekalkan petani muda.

"Sektor awam, swasta dan kerajaan perlu bekerjasama. Misalnya, kita boleh menarik lebih ramai petani muda untuk menanam cili melalui pelbagai inisiatif kerajaan mengikut standard terbaik, dengan mengguna pakai MyGAP.

"Bagaimanapun, jika tiada orang tengah untuk membeli dan mengangkut cili kepada peruncit atau pelanggan tidak ambil peduli mengenai pensijilan MyGAP, ia perlahan-lahan akan menghalang petani muda kita daripada menyertai dan menjalankan amalan pertanian yang bertanggungjawab.

"Terdapat juga nilai tambah daripada hasil ladang kita, yang sekali lagi memerlukan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk dan kemahiran pemasaran yang kita tidak boleh hanya menjangka petani muda kita dapat menangani semua faktor ini dengan sendiri," katanya.

Sarena turut berharap kerajaan dapat memperkenalkan dan menambah baik strategi yang akan membantu petani muda mengambil alih, menyepadukan dan mengusahakan kawasan tanah yang lebih besar, yang akan memerlukan penyelarasan antara bank, pejabat tanah dan penyedia perkhidmatan ladang.

"Terdapat hubungan positif antara usia yang lebih muda, saiz ladang yang lebih besar dan produktiviti ladang yang lebih baik. Misalnya, pada masa ini kami memerlukan 100 petani yang berusia untuk menghasilkan x jumlah makanan tetapi kami berharap pada masa depan, kami boleh mempunyai hanya 10-20 usahawan tani yang amat produktif untuk menghasilkan jumlah yang sama jika tidak lebih untuk negara.

"Ini adalah strategi yang perlu kita sasarkan, berdasarkan Malaysia sedang menuju ke arah penduduk semakin berusia.

"Kami turut berharap dapat menyaksikan penambahbaikan dalam program kokurikulum sekolah seperti Kelab Kebun, apabila mereka boleh menganjurkan lawatan ladang dan mewujudkan program kerajaan-pertubuhan bukan kerajaan-sekolah mengenai pertanian dan kebun komuniti," katanya.

Mengubah naratif pertanian bagi menarik golongan belia

Sarena berpendapat mengubah naratif bahawa sektor pertanian adalah industri 3D (kotor, sukar dan berbahaya) amat penting dan ia bermula dengan memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai pertanian dan aktiviti berkebun sejak usia muda.

Katanya berdasarkan pertanian beralih daripada 3D kepada teknologi tinggi, sektor ini akan mula menarik generasi muda, menjadikan alasan yang kukuh bagi negara untuk melabur dalam pertanian dan R&D berkaitan makanan.

Usaha untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor pertanian bermula pada 2016 dengan memperkenalkan Program Usahawan Tani Muda di bawah RMK11 (2016-2020), bertujuan untuk meningkatkan penyertaan belia berumur daripada 18 hingga 40 tahun dalam pengeluaran makanan dan aktiviti perkhidmatan.

Program ini membolehkan golongan belia yang layak dikenali sebagai usahawan tani muda akses kepada pinjaman, geran dan latihan sepanjang RMK11; RM126 juta nilai geran dan pinjaman diluluskan, memberi manfaat kepada 6,969 usahawan tani muda untuk memulakan dan mengembangkan aktiviti pertanian.

Di sebalik usaha dan pencapaian ini, sektor pertanian Malaysia masih didominasi oleh pekebun kecil dengan purata umur melebihi 55 tahun. Golongan belia menyumbang 44 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, dan hanya kira-kira 15 peratus terlibat dalam sektor pertanian.

Petani yang semakin berusia dijangka kurang terbuka kepada idea untuk menggunakan teknologi moden yang diperlukan dalam meningkatkan produktiviti dan mewujudkan kerosakan yang lebih kecil kepada alam sekitar.

Penggunaan teknologi pertanian dan automasi masih rendah dan pertanian sebahagian besarnya berteraskan buruh dengan pekerja asing berkemahiran rendah membentuk 31 peratus daripada tenaga kerja pertanian.

Berdasarkan golongan petani yang semakin berusia mula meninggalkan tenaga kerja secara berperingkat, terdapat keperluan mendesak untuk menarik minat belia dalam bidang pertanian untuk menjamin masa depan.

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahagian sektor pertanian merosot dari tahun 1970-an hingga Abad ke-21 apabila sektor lain seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan menunjukkan prestasi yang lebih baik.

Bagaimanapun, dari segi harga semasa, nilai sektor pertanian meningkat daripada RM16.2 bilion pada 1987 kepada RM116.1 bilion pada 2020.

Sektor pertanian terus berdaya tahan: Jabatan Perangkaan Malaysia

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, KDNK negara dalam tempoh sebelum pandemik (2019) menyaksikan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus dengan nilai sebanyak RM1.42 trilion dan sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan dua peratus dengan nilai sebanyak RM101.6 bilion, mewakili bahagian sebanyak 7.1 peratus.

"Pasca pandemik pada 2020, KDNK kita merosot 5.6 peratus kepada RM1.34 trilion, pengurangan sebanyak RM80.4 bilion daripada nilai pada 2019 manakala sektor pertanian merosot 2.2 peratus.

"Bagaimanapun, bahagian sumbangan sektor pertanian kepada KDNK meningkat daripada 7.1 peratus pada 2019 kepada 7.4 peratus pada 2020, memberi petunjuk bahawa daya tahannya kekal dalam tempoh pasca pandemik berbanding sektor lain," katanya.

Mohd Uzir berkata, dengan tempoh kurang daripada 10 tahun hingga tarikh akhir 2030 untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerajaan perlu meningkatkan usaha mereka untuk memenuhi sasaran keselamatan makanan dan alam sekitar global.

Prospek Pertanian OECD-FAO 2021-2030 menyediakan penilaian konsensus prospek untuk tempoh 10 tahun akan datang untuk komoditi pertanian dan pasaran ikan di peringkat nasional, serantau dan global, selain menjadi rujukan untuk analisis dan perancangan dasar yang berpandangan ke hadapan.

Laporan itu merupakan usaha kerjasama Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, disediakan dengan input daripada kerajaan negara anggota dan organisasi komoditi antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 11:23 AM