GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Singapura: Portal Agrobazaar Online Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hampir sesak dan aliran trafik untuk memasuki portal tersebut adalah tinggi.

Fenomena ini berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan, kata Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli kepada Bernama baru-baru ini.

April mencatatkan jualan tertinggi menerusi Agrobazaar Online berjumlah RM835, 579.

Ia bermula apabila FAMA bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat hebahan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) pada awal April tahun lalu bagi mempromosikan portal tersebut.

Susulan penguatkuasaan PKP untuk membendung penularan Covid-19, pengguna dilihat sukar untuk mendapatkan barangan segar dan keperluan dapur terutamanya apabila hampir kesemua outlet peruncitan fizikal seperti pasar awam dan pasar tani ditutup.

Menyedari situasi mendesak itu dan trend pengguna yang mula beralih kepada cara pembelian dalam talian, katanya FAMA bertindak agresif dengan memperhebatkan promosi dan publisiti Agrobazaar Online.

Selain SMS, platform media sosial dan liputan media, katanya FAMA turut "membalut" pengangkutan awam seperti KTM, LRT dan ETS dengan cetakan iklan berkaitan Agrobazaar Online.

Portal itu dibangun dan diuruskan FAMA yang menjangkau usia lima tahun sejak dilancarkan pada 5 Dis, 2015.

Bagi memudahkan lagi pengguna mendapatkan barangan, katanya FAMA turut bekerjasama dengan platform e-dagang lain seperti Lazada, Shopee, dan Foodpanda.

Agensi ini turut setanding dengan platform digital tersebut, mampu melakukan Jualan Hebat pada tarikh istimewa 10.10, 11.11, 12.12 serta Jualan Merdeka dan 55 tahun FAMA.

Pada tarikh 11.11 itu, 5,902 jumlah usahawan telah didaftarkan dalam Agrobazaar Online dengan 18,775 unit simpanan stok (SKU) dan mencatat jumlah jualan sebanyak RM7.9 juta.

Beliau berkata, kerjasama selama enam bulan antara FAMA, Lazada dan Shopee yang bermula pada April 2020 berjaya mencatatkan nilai jualan RM128,565.86 dan hampir 258 SKU dipasarkan.

Selain daripada kerjasama strategik itu, Zainal Abidin berkata FAMA sedang merangka kolaborasi untuk melatih usahawan membangunkan sendiri laman sesawang e-dagang melalui platform eFAMAplace dan Shoppergram.Com.

"Usahawan tidak boleh menjadi 'silent participant' sahaja. Mereka perlu sama-sama membuat promosi," kata Zainal Abidin.

Bagi eFAMAplace, katanya ia akan memberi ruang pasaran yang alternatif melalui platform Shopee dengan jangkaan 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mendapat manfaat.

Melalui platform eFAMAplace, FAMA menganggarkan nilai jualan usahawan sebanyak RM1.5 juta bagi tempoh enam bulan.

Melangkah ke hadapan, Zainal Abidin berkata FAMA akan mewujudkan Agrohub iaitu pusat penyimpanan, pembungkusan dan penghantaran bagi jualan dalam talian.

Bagi fasa pertama pembangunan Agrohub, lima lokasi telah dikenal pasti iaitu di Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah, katanya.

"Ia bagi memastikan pengedaran barangan dapat dilakukan dengan lebih cepat, tepat dan kekal kualiti," katanya.

Bagi urusan pengambilan dan penghantaran, katanya FAMA telah bekerjasama dengan syarikat logistik seperti Pos Malaysia, Lalamove dan goget.

Zainal Abidin berharap Agrobazaar Online akan menjadi pelengkap kepada sistem pendigitalan sedia ada dalam memperkasakan sektor pertanian dan agro makanan selaras dengan pemasaran digital.

"Saya melihatnya sebagai rahmat ketika pandemik. Norma baharu telah mengubah cara pembelian rakyat ke arah digital tetapi masih boleh membantu usahawan PKS untuk meningkatkan pendapatan," katanya.

Digitalisasi adalah satu budaya yang kini menjadi antara norma baharu yang sedang diarusperdanakan di semua peringkat termasuk dalam sektor kerajaan, swasta dan masyarakat.

FAMA menerusi Agrobazaar Online dilihat mendahului arus deras tersebut.

Sejak 18 Mac, hari pertama PKP dilaksanakan, hingga 8 Nov, 2020, katanya Agrobazaar Online dan perkhidmatan pesanan secara pra-pesanan melalui Whatsapp mendapat sambutan dengan nilai jualan mencecah RM15.43 juta dengan 122,720 penghantaran.

Nilai jualan keseluruhan tahun 2019 hanya RM1.043 juta.

Dalam tempoh 10 bulan pertama 2020, portal tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 523 peratus atau 44, 041 pengguna berbanding 7,068 pengguna dalam tempoh sama pada 2019.

Pesanan juga meningkat 275 peratus atau 16,849 berbanding 4,495 pesanan.

Termasuk outlet pemasaran fizikal, FAMA berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM721.58 juta dalam tempoh 18 Mac hingga 8 Nov, 2020.

  • Lagi berita Agro
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 12:51 PM