DUTA produk penjagaan kulit kenaf, Arviena Faira Nadisha menunjukkan produk ECO.
DUTA produk penjagaan kulit kenaf, Arviena Faira Nadisha menunjukkan produk ECO.
Mohamad Hussin

Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dengan kerjasama SIRIM Berhad (SIRIM) berjaya menghasilkan produk Encapsulated Kenaf Carrier Oil (ECO) berasaskan biji kenaf.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, minyak ini mengandungi kandungan omega 6 dan omega 9 yang berfungsi sebagai agen antipenuaan, antikeradangan dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan dalam industri kosmetik.

Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus L adalah sejenis pokok berserat bukan berkayu.

ECO dihasilkan daripada minyak biji benih kenaf . Ia diproses menggunakan proses penyaringan berteknologi hijau dan seterusnya dijadikan produk premium dengan kandungan Omega 6 dan 9 yang lebih tinggi.

Kedua-dua jenis asid lemak (fatty acids) memainkan peranan yang signifikan dalam penjagaan kulit apabila ia mengawal kelembapan kulit bagi kulit kering dan berminyak serta membantu mengurangkan kerengsaan kulit.

Formulasi berteknologi nano pula digunakan untuk menambah baik ciri-ciri fisio-kimia dan biologi untuk aplikasi kosmetik.

Penanaman kenaf di negara ini adalah tanaman pilihan sebagai pengganti tembakau yang mempunyai banyak kegunaan biokomposit iaitu untuk industri automotif dan pembinaan lebih mesra alam, tekstil, kosmetik, pulpa dan kertas serta bahan makanan ternakan yang bakal memberi pulangan lumayan.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, industri kenaf mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai salah satu sumber ekonomi baru mapan kepada negara.

MAKANAN ternakan yang menggunakan kenaf.
MAKANAN ternakan yang menggunakan kenaf.

Beliau berkata, produk berasaskan kenaf yang mempunyai ciri-ciri unik dan mesra alam dikenal pasti mampu memberi nilai ekonomi yang tinggi dalam industri berasaskan pembinaan, automotif, biokomposit, kesihatan dan sebagainya.

“Pelbagai program dan inisiatif dirancang dan dilaksanakan LKTN dalam usaha membangunkan industri berkenaan. Antara program utama sedang dilaksanakan LKTN adalah pembangunan kilang pemprosesan dan pengeluaran produk kenaf yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019 di Setiu, Terengganu.

“Projek ini nanti dijangka menjadi pemangkin kepada industri kenaf di Malaysia kerana ia mempunyai impak besar kepada industri ini terutama dalam penghasilan gentian yang menjadi bahan mentah utama kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi berasaskan kenaf.

“Selain itu, kementerian melalui LKTN juga akan memperbanyakkan lagi aktiviti ke arah pengkomersialan kenaf terutama aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Industri Kenaf 2018 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi LKTN Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN Samsuddin Noor.

SHAMSUL Iskandar (dua dari kiri), dan Wan Abdul Rahim (tengah) menunjukkan produk ECO.
SHAMSUL Iskandar (dua dari kiri), dan Wan Abdul Rahim (tengah) menunjukkan produk ECO.

Persidangan berkenaan membabitkan lebih 300 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, institusi penyelidikan, institusi kewangan, persatuan, koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pekebun kecil serta individu.

Shamsul Iskandar berkata, aktiviti R&D antara prasyarat dalam penghasilan produk baru berasaskan kenaf. Di samping itu, keperluan untuk meluaskan lagi jaringan pasaran dan penggunaan kenaf juga akan terus diberi perhatian.

“Ia penting supaya sasaran untuk menjana pendapatan sebanyak RM350 juta dan RM3.5 bilion masing-masing bagi pasaran domestik dan global menjelang 2025 tercapai.

“Persidangan Kebangsaan Industri kenaf adalah salah satu inisiatif semasa bertujuan membincangkan perkembangan terkini industri kenaf di Malaysia di samping menyebar luaskan maklumat dan mempromosi perkembangan industri kenaf negara.

“Selain itu, persidangan ini turut menjadi medium bermanfaat kepada semua untuk mewujudkan kolaborasi, hubungan strategik dan meluaskan jaringan kerjasama profesional di antara pelbagai pihak melalui perkongsian pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan inovasi,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan sepanjang persidangan ini merangkumi sektor automotif, pembinaan, pembuatan, biokomposit, kesihatan dan ternakan.

“Di samping itu, sesi pemadanan perniagaan turut dijalankan selain pameran oleh agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan pihak swasta serta jualan yang menawarkan pelbagai produk berasaskan kenaf.

“Saya berharap, program ini dapat memberi landskap dan pandangan yang lebih jelas dan luas mengenai kemajuan, potensi dan peluang ekonomi baru kepada semua peserta,” katanya.

SEBAHAGIAN peserta persidangan yang hadir.
SEBAHAGIAN peserta persidangan yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:35 PM