NUR Hanim (dua dari kiri) bersama kumpulannya membangunkan taman sayuran.
NUR Hanim (dua dari kiri) bersama kumpulannya membangunkan taman sayuran.
Noor Hidayah Tanzizi

Masjid bukan saja berfungsi sebagai tempat ibadat malah ia dapat dikembangkan dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertanian.

Bagi memanfaatkan ruang masjid, sekumpulan kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar membangunkan projek tanaman sayuran hijau.

Taman sayuran yang diberi nama ‘Recycle Edible Garden’ dibangunkan di Masjid As Siddiq, Taman Seri Iskandar Perdana, Seri Iskandar itu turut memberi manfaat kepada kariah dan komuniti setempat.

Ia dibangunkan dengan pelbagai tanaman antaranya kesum, serai, kucai, pandan, limau kasturi, cili padi, bunga telang, cekur, limau nipis dan rosemary iaitu sejenis tumbuhan herba saka berkayu yang berasal dari Mediterranean.

Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina Landskap UiTM itu merangkap ketua projek Nur Hanim Ilias berkata, taman itu adalah projek komuniti universiti bersama kariah masjid yang turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, ia dibangunkan melalui dana Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di atas tanah berkeluasan 200 meter persegi di kawasan masjid.

“Projek bermula 1 November 2016 dan kerja pembinaan mula dibangunkan Mac tahun lalu, namun pengurusan taman berkenaan sudah diserahkan sepenuhnya kepada pihak masjid pada 31 Oktober lalu.

“Begitupun, kerjasama masih diteruskan melalui bantuan, nasihat dan kepakaran dalam pengurusan taman serta usaha berterusan pihak masjid seharusnya dipuji,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, baru-baru ini.

PETAK tanaman yang menggunakan bata dan dipasang sistem pengairan menggunakan air hujan.
PETAK tanaman yang menggunakan bata dan dipasang sistem pengairan menggunakan air hujan.

Nur Hanim berkata, tujuan utama projek adalah menggunakan kepakaran dan berkongsi pengetahuan untuk kemudahan komuniti setempat selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

Katanya, inisiatif itu juga menjadikan masjid lebih hijau dengan hasil daripada tanaman yang diusahakan memberi manfaat kepada mereka. Sekali gus dapat menjadi contoh kepada masjid lain untuk mengusahakan perkara sama.

“Kita juga menggunakan inovasi dengan kaedah tuaian hujan dengan air hujan yang mengalir dari bumbung masjid disalurkan terus dalam tangki khas disediakan. Ia sebagai sumber air untuk siraman tanaman yang memudahkan pihak masjid.

“Taman ini juga menggunakan barangan terpakai seperti botol sebagai pasu atau bekas tanaman untuk sayuran dan rim basikal untuk tumbuhan menjalar yang diubah suai mengikut kreativiti supaya lebih menarik,” katanya.

Menurutnya, hasil tanaman itu juga terbuka kepada komuniti setempat. Malah pemilihan masjid itu disebabkan ia adalah pusat utama di kawasan terbabit yang komunitinya aktif selain ada berpotensi untuk dibangunkan.

“Ia juga memudahkan pihak terbabit menggunakan hasil tanaman ini sebagai bahan asas masakan jika ada majlis. Setakat ini maklum balas yang diterima juga sangat menggalakkan.

“Malah, taman ini sering menjadi lokasi lawatan universiti lain yang datang ke kampus kami dan secara tidak langsung usaha ini dapat diketengahkan di tempat lain pula,” katanya.

 TANAMAN dalam pasu kecil menjimatkan ruang.
TANAMAN dalam pasu kecil menjimatkan ruang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 12:20 PM