IZHAM (lima dari) dan Abdul Yunus (tiga dari kiri) menunjukkan produk PKS yang dijual di Singapura.
IZHAM (lima dari) dan Abdul Yunus (tiga dari kiri) menunjukkan produk PKS yang dijual di Singapura.
Mohamad Hussin

Malaysia Fest 2018 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berlangsung di Dewan Ekspo Singapura, Changi, Singapura selama empat hari menarik lebih 100,000 pengunjung sekali gus mencapai objektif penganjurannya.

Festival produk makanan, pakaian, kecantikan dan pelancongan itu disertai lebih 100 usahawan dari Malaysia sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan terbabit.

Peningkatan itu merangkumi skop lebih meluas termasuk mempromosikan produk kecantikan dan pelancongan ke Singapura. Ia juga mendapat penyertaan beberapa selebriti terkemuka Malaysia yang menjual produk jenama masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMA Corp) Zainal Abidin Yang Razalli berkata, pihaknya memperoleh pendapatan nilai jualan kira-kira RM7 juta berbanding RM6.4 juta pada tahun lalu sepanjang program berkenaan.

Beliau berkata, objektif penganjuran bertujuan mempromosikan hasil pertanian segar, produk industri asas tani (IAT), produk berasaskan herba, makanan popular dan tradisional serta pelbagai produk keluaran usahawan Malaysia.

“Pada tahun ini, sekali lagi kita menjayakan Malaysia Fest yang dijenamakan semula pada 2016. Sebelum ini, ia dikenali sebagai Malaysia Food Fiesta.

“Kami membuka 250 gerai jualan tahun ini dengan kelainan mengikut segmen tertentu iaitu trak makanan, medan selera dan gaya hidup disamping jualan produk IAT.

“FAMA membawa kelainan dari segi produk apabila ia turut disertai beberapa negeri antaranya Sabah, Perak, Selangor, Melaka, Kedah dan Johor,” katanya ketika ditemui sempena Malaysia Fest 2018 di Dewan Ekspo Singapura, Changi, Singapura, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Ir Izham Hashim dan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak Abdul Yunus Jamshari.

Zainal Abidin berkata, ia menunjukkan kesedaran mengenai Malaysia Fest semakin baik manakala produk tempatan seperti ikan pekasam dan petai yang mendapat sambutan dalam kalangan penduduk Singapura.

 SEBAHAGIAN warga Singapura mengambil peluang membeli-belah di Malaysia Fest 2018.
SEBAHAGIAN warga Singapura mengambil peluang membeli-belah di Malaysia Fest 2018.

“Ia dapat meningkatkan kesedaran pengguna terhadap produk agro makanan jenama Malaysia keluaran usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada masyarakat Singapura dan pelancong.

“Percubaan pasaran bagi produk baru dan pendedahan kepada usahawan tempatan bagi memasarkan produk ke luar negara. Singapura sebagai platform utama sebelum produk mereka pergi lebih jauh,” katanya.

Menurutnya, penganjuran berkonsepkan gerai buah-buahan segar dan pelbagai komoditi buah-buahan tempatan serta bermusim seperti durian, manggis, pulasan, cempedak, rambutan dan jambu batu.

“Selain itu, tanaman jangka pendek seperti ubi kayu, sayur berbuah, sayur-sayuran berbungkus, ulam-ulaman dan jagung turut dijual sepanjang program berkenaan.

“FAMA kini dalam usaha membantu mengetengahkan usahawan muda dalam memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa. Program Malaysia Fest ini adalah landasan bagi usahawan terbabit meneroka ruang pasaran baru di Singapura,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya dengan kerjasama Aladdinstreet.com.sg akan menjual produk usahawan PKS tempatan yang berpotensi secara dalam talian.

“Lebih 150 produk tempatan akan dijual melalui dalam talian bagi memudahkan rakyat negara itu mendapatkan pelbagai barangan,” katanya.

USAHAWAN Malaysia, Fadzlaini Ibrahim (kiri) menunjukkan produk keluarannya kepada Izham.
USAHAWAN Malaysia, Fadzlaini Ibrahim (kiri) menunjukkan produk keluarannya kepada Izham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 12:01 PM