PEGAWAI UCTC UPM (kiri) membantu murid menanam pokok.
PEGAWAI UCTC UPM (kiri) membantu murid menanam pokok.
Mohamad Hussin

Projek Laman Herba dan Pertanian Bandaran Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekinchan, Selangor, mula dilaksanakan pada Ogos 2017.

Ia dinamakan Laman Herba Seri Sekinchan (LHSS) untuk tujuan pendidikan dan pameran, dibahagikan pula kepada tiga kategori iaitu herba ubatan, herba ulaman dan masakan serta herba terapeutik.

LHSS juga mengetengahkan konsep penggunaan bahan kitar semula, kotak penanaman, penggunaan pergola dan laluan refleksologi.

Pegawai Pertanian (Pengembangan dan Keusahawanan), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) Mahani Amat berkata, program itu dijangka mengambil masa selama lima bulan bagi melihat impak pembangunan komuniti yang berterusan.

Beliau berkata, terdapat 45 jenis pokok herba yang ditanam di laman herba ini hasil sumbangan UPM, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), SK Seri Sekinchan dan orang perseorangan.

MAHANI memberi penerangan kepada murid SK Seri Sekinchan.
MAHANI memberi penerangan kepada murid SK Seri Sekinchan.

“Setiap pokok di laman herba dilengkapi dengan tanda nama, info jenis famili pokok dan kegunaan herba secara am. Sudut info laman herba juga dibina bagi memudahkan pelajar dan pelawat mendapatkan maklumat ringkas berkaitan laman herba dengan lebih jelas.

“Selain itu, laman herba ini juga ada bakul kompos yang disediakan untuk menghasilkan kompos organik secara semula jadi dan sebagai sumber baja kepada pokok di laman herba.

“Bagi menggalakkan aktiviti pertanian bandar dijalankan warga sekolah, pihak UCTC UPM turut menyumbang satu set kit pertanian bandar iaitu kaedah penanaman yang mempunyai aliran larutan baja berterusan pada akar tanaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran LHSS di SK Seri Sekinchan, baru-baru ini.

Mahani berkata, larutan baja itu disalurkan dari takungan atau tangki terus ke setiap tiub menggunakan pam.

“Ia mengalir ke dalam tiub dan larutan disalurkan kembali ke tangki dari hujung tiub berkenaan serta dikitar semula.

“Kit ini akan menggalakkan aktiviti penanaman dalam kalangan murid sekolah dan sebagai tanda sokongan kepada pihak sekolah di dalam aktiviti pertanian bandaran.

“LHSS dan pertanian bandaran ini diusahakan seluruh warga SK Seri Sekinchan termasuk guru dan ibu bapa membabitkan 10 pegawai UCTC UPM secara berkala setiap bulan,” katanya.

MURID tekun mendengar penerangan mengenai khasiat herba.
MURID tekun mendengar penerangan mengenai khasiat herba.

Menurutnya, antara objektifnya adalah membina laman herba melalui pendekatan konsep pendidikan dan pameran.

“Ia juga dapat membangunkan komuniti dalam kalangan warga sekolah melalui perkongsian ilmu bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknikal pertanian.

“Pada masa sama, ia mendekatkan hubungan dan jaringan UPM dengan komuniti melalui pembabitan pegawai UPM dengan masyarakat serta agensi setempat,” katanya.

Katanya, komuniti akan mendapat manfaat hasil dari perkongsian dan pemindahan ilmu yang dijalankan dari segi peningkatan pengetahuan serta kemahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 2:41 PM