Mohamad Hussin

Sebut saja serai dan daun pandan, sudah tentu terbayang dalam fikiran kegunaannya dalam masakan.

Ia digunakan bagi membangkitkan aroma dalam masakan seperti rendang, asam pedas dan nasi lemak.

Melihat keunikan itu, Tropical BioEssence Sdn Bhd (TBESB) menggunakan pelbagai tumbuhan semula jadi dan herba dalam menghasilkan produk aromaterapi, wangian serta penjagaan diri.

Bukan serai dan daun pandan saja malah pelbagai jenis tumbuhan semula jadi lain serta herba boleh diekstrak.

Pengarah Urusannya Mohd Khairil Said berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan petani secara ladang kontrak bagi mengambil hasil tani mereka.

PEKERJA memasukkan daun pandan ke dalam mesin ekstrak stim pelbagai guna.
PEKERJA memasukkan daun pandan ke dalam mesin ekstrak stim pelbagai guna.

Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan produktiviti yang semakin memberangsangkan, pihaknya turut menjayakan amalan pertanian baik (MyGap) dengan menyediakan pelbagai jenis tanaman.

“Kami juga mempunyai ladang serai seluas dua hektar bagi memastikan bekalan mencukupi dan kualiti bahan mentah terjamin.

“Selain ditanam sendiri, kami mempunyai rakan niaga dan pembekal yang akan menghantar pelbagai jenis hasil tanaman seperti buah Melaka, buah zaitun dan nanas mengikut tempahan.

MESIN ekstrak stim pelbagai guna untuk mendapatkan minyak pati.
MESIN ekstrak stim pelbagai guna untuk mendapatkan minyak pati.

“Tanaman ini akan diekstrak bagi mendapatkan minyak pati untuk menghasilkan produk aromaterapi, wangian dan penjagaan diri,” katanya yang ditemui sempena lawatan media ke kilang TBESB di Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

Mohd Khairil yang juga lulusan Universiti Malaysia Sarawak (UMS) dalam jurusan Kejuruteraan Kimia Marin berkata, syarikatnya yang sudah beroperasi lebih 10 tahun itu antara pengilang dan pengeluar minyak pati dan ekstrak herba terbesar di Melaka.

MOHD Khairil menunjukkan lapisan pati minyak yang dihasilkan.
MOHD Khairil menunjukkan lapisan pati minyak yang dihasilkan.

“Hingga kini, TBESB berjaya mengeluarkan produk yang ke-90 jenama Sutra menggunakan hasil tumbuhan semula jadi dan herba.

“Faktor lain yang mendorong kami menambah jumlah produk kerana hasil formulasi yang saya lakukan sendiri di makmal. Setiap satu mempunyai kegunaan, kelebihan dan manfaat berbeza,” katanya yang juga bekas Pegawai Penyelidik Kimia di Institut Bioteknologi Melaka.

Malah pihaknya masih mengekalkan tiga kategori iaitu aromaterapi, wangian dan penjagaan diri sebagai produk utama.

PATI minyak wangi.
PATI minyak wangi.

Katanya, TBESB yang berstatus Bio Nexus mendapat pengiktirafan dari Bioteknologi Malaysia agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sejak empat tahun lalu.

“Kami memiliki pelbagai kelebihan yang disokong agensi kerajaan dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Amalan Pengilangan Baik,” katanya.

PROSES menghasilkan produk.
PROSES menghasilkan produk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 12:46 PM