PENDUDUK menjala ikan di parit monsun yang diubah menjadi kolam ternakan ikan air tawar.
PENDUDUK menjala ikan di parit monsun yang diubah menjadi kolam ternakan ikan air tawar.
Zaitie Satibi


Parit monsun biasanya dikaitkan dengan bau busuk akibat sampah yang berlonggok dan tempat pembiakan nyamuk.

Malah, air parit monsun yang keruh, hitam dan berkeladak serta bau kurang menyenangkan pastinya memualkan sesiapa saja.

Bagaimanapun, inisiatif penduduk Taman Universiti Utama, Seksyen 30, Shah Alam, mengubah landskap parit monsun dengan pemandangan menjelikkan di perumahan mereka kepada kolam penternakan ikan air tawar.

Ikan seperti talapia, sepat, keli, belut, puyu dan haruan yang diternak bukan saja untuk kegunaan seisi penduduk taman sebagai juadah di meja makan, malah sebahagiannya turut dijual bagi menjana pendapatan untuk menampung kos penyelenggaraan dan aktiviti komuniti di taman berkenaan.

ANTARA ikan yang diternak dalam parit monsun.
ANTARA ikan yang diternak dalam parit monsun.

Pengerusi Taman Universiti Utama Zulkepli Md Salleh berkata, projek mengubah parit monsun sepanjang kira-kira 150 meter itu kepada kolam penternakan ikan membabitkan penyertaan penduduk taman seramai 350 orang.

Ia membolehkan komuniti setempat berinteraksi, di samping inisiatif memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti untuk menjaga kebersihan persekitaran parit monsun.

Bagi memastikan keadaan persekitaran parit monsun bersih, menarik dan penternakan ikan dilaksanakan secara berterusan, pihaknya membuat sistem giliran untuk menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan penduduk serta memainkan peranan mereka.

“Sebelum ikan dilepaskan, kawasan parit monsun dibersihkan dengan sampahnya dibuang secara gotong-royong, sementara airnya dirawat dengan kaedah bebola lumpur yang membantu menyelesaikan masalah pencemaran dan membaik pulih kualiti air sedia ada.

“Dengan meletakkan bebola lumpur dibuat sendiri dengan campuran tanah, gula melaka, sekam padi dan bahan aktif mampu menstabilkan kadar pH air, mengurangkan bau busuk air, menjernihkan air dan mengurai bahan buangan yang menyebabkan pencemaran air,” katanya.

BEBOLA lumpur buatan sendiri untuk merawat air tercemar parit monsun.
BEBOLA lumpur buatan sendiri untuk merawat air tercemar parit monsun.

Beliau berkata, ikan ternakan berkenaan selain dibahagi-bahagikan sesama penduduk, pihaknya turut memprosesnya untuk dijadikan pekasam dan dijual sebagai produk keluaran setempat.

“Ikan segar terus dari parit monsun diperam bersama beras goreng dan asam keping dalam bekas kedap udara selama beberapa minggu. Ia diusahakan wanita di perumahan ini dan sering mendapat permintaan menggalakkan daripada penggemar makanan tradisi.

“Selain penternakan ikan, antara aktiviti lain dilaksanakan di perumahan ini adalah kebun komuniti, laman herba dan penternakan burung puyuh. Hasil kebun dan herba seperti kangkung, kunyit, kacang panjang, serai, ulam raja, mahkota dewa turut dibahagikan antara penduduk dan selebihnya dijual di kedai runcit berhampiran.

“Begitu juga burung puyuh apabila telurnya akan dikutip setiap hari dan diedarkan kepada penduduk mengikut giliran,” katanya.

SELAIN dimakan sendiri, ikan ternakan turut dijadikan pekasam.
SELAIN dimakan sendiri, ikan ternakan turut dijadikan pekasam.

Usaha penduduk perumahan berkenaan membuahkan hasil apabila mereka mengungguli tempat pertama bagi kategori terbuka dalam Anugerah Hijau Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) Antara Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Shah Alam 2017 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, pertandingan Minizeebee dimulakan sejak 2014 bertujuan memupuk kesedaran terhadap kebersihan melalui pembabitan komuniti dan mengeratkan perpaduan serta muafakat dalam kalangan masyarakat di kawasan pentadbiran MBSA.

“Penganjuran pertandingan seumpama ini adalah inisiatif pihak MBSA untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat khususnya warga kota Shah Alam akan pentingnya konsep pembangunan mampan sekali gus dapat berkongsi pengalaman sesama masyarakat berhubung aktiviti yang dilaksanakan di MPP masing-masing.

“Ini juga akan mengangkat MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin dan bertanggungjawab dalam memastikan program Lokal Agenda 21 (LA21) dan inisiatif hijau dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat serta bersama-sama menjadikan Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon Menjelang 2030,” katanya.

KEBUN komuniti diusahakan penduduk yang menjana sayuran dan herba sendiri.
KEBUN komuniti diusahakan penduduk yang menjana sayuran dan herba sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 11:51 AM