KHASIAT yang ada pada biji nangka mampu mencegah kanser.
KHASIAT yang ada pada biji nangka mampu mencegah kanser.
TIGA jenis empingan seperti biji nangka, ubi keledek dan kismis.
TIGA jenis empingan seperti biji nangka, ubi keledek dan kismis.
PENCAPAIAN yang dimiliki oleh pengusaha emping biji nangka.
PENCAPAIAN yang dimiliki oleh pengusaha emping biji nangka.
Amri Mutalib

Dalam usaha menyahut cabaran kerajaan untuk meningkatkan sumbangan industri asas tani, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor, mencipta inovasi baru kepada industri makanan dengan penghasilan emping daripada biji nangka dan ubi keledek kuning, jingga dan oren.

Emping biji nangka yang diperkaya dengan ubi keledek dan buah-buahan kering adalah alternatif kepada sajian sarapan atau jajanan yang boleh diambil kanak-kanak serta dewasa.

Menurut pensyarah selaku ketua penyelidik Jabatan Pelancongan Dan Hospitaliti, Nurshayzwani Abd Samad, produk ini dilihat mampu menandingi pasaran sedia ada kerana mempunyai khasiat dan warna semula jadi yang menarik.

“Produk yang mempunyai potensi dipasarkan kerana kos penghasilannya rendah memandangkan nangka dan ubi keledek adalah buah-buahan tempatan tidak bermusim yang boleh didapati sepanjang tahun,” katanya.

Dalam pada itu, biji nangka boleh didapati dengan cara mudah daripada pengusaha yang berasaskan buah nangka.

Menurutnya, biji nangka mempunyai manfaat yang sangat luas kepada kesihatan kerana mengandungi lignan, isoflavon, saponin, dan fitonutrien yang membantu mencegah barah, antihipertensi, antipenuaan dan antiulser.

“Zat khasiat yang tinggi pada biji nangka sesuai untuk dijadikan sebagai makanan kesihatan. Menerusi terhasilnya produk emping ini, penggunaan nangka dapat dimaksimumkan dan boleh menjadi punca pendapatan kepada usahawan serta petani.

“Produk yang sesuai untuk semua golongan ini dihasilkan tanpa pewarna tambahan, rendah kandungan gula, garam dan lemak.

“Selain rasa enak dan mudah disediakan, produk ini lebih mesra alam kerana ia berteraskan teknologi hijau selain tiada bahan buangan industri,” katanya.

Malah produk ini boleh menjadi alternatif kepada bijirin sarapan yang biasanya dihidangkan antara sajian sarapan pagi di dalam industri perhotelan.

Produk divariasikan dengan penambahan nutrien daripada bahan mentah itu mempunyai khasiat dan manfaat yang banyak dari segi kesihatan seperti kacang almond, madu, biji bunga matahari serta kurma.

Dalam pek bungkusan seberat 100 gram (g) itu mengandungi 60 peratus emping biji nangka, 20 peratus emping ubi keledek, 10 peratus kismis dan 10 peratus emping nangka.

Produk empingan sihat ini saling bekerjasama dengan Cemara Food Industries Sdn.Bhd yang membekalkan bahan mentah iaitu biji nangka bagi tujuan penghasilan produk inovasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 10:52 AM