HADIS yang menyatakan Islam bermula dalam keadaan asing dan berakhir juga dengan keadaan asing merujuk amalan umat Islam akhir zaman yang kebanyakannya tewas terhadap godaan serta fitnah dunia.
HADIS yang menyatakan Islam bermula dalam keadaan asing dan berakhir juga dengan keadaan asing merujuk amalan umat Islam akhir zaman yang kebanyakannya tewas terhadap godaan serta fitnah dunia.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Telah dijelaskan dalam siri lalu tentang kepincangan hujah pihak yang mendakwa: 'Kebenaran tidak selamanya berada bersama majoriti.' Mereka juga mungkin berhujah dengan beberapa hadis dan kalam salafussoleh yang menegaskan supaya tetap berada di atas agama Islam, jemaah atau sunah walaupun terpaksa berada dalam golongan minoriti.

Sedangkan hadis dan kalam mereka itu perlu difahami melalui pengumpulan jalan riwayat dan konteks ia diucapkan. Setelah diteliti, jelas didapati bahawa ia lebih berkait dengan perihal amalan majoriti umat Islam, bukannya pegangan akidah mereka. Misalnya, sabda Nabi SAW: "Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka, beruntunglah bagi golongan yang asing (ghuraba') itu." (Riwayat Muslim)

Sebenarnya, hadis ini merujuk kepada amalan umat Islam pada akhir zaman yang kebanyakan mereka tenggelam hanyut dalam menghadapi godaan dan fitnah dunia. Ini diketahui berdasarkan jalan riwayat hadis yang menafsirkan ghuraba' itu ialah golongan yang menghidupkan sunah Nabi SAW yang dirosakkan oleh manusia (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan) atau golongan yang melaksanakan islah ketika rosaknya umat manusia. (Riwayat at-Tabarani, dan kata al-Haithami: "Para perawinya adalah para perawi as-Sahih kecuali Bakr bin Salim seorang yang thiqah")

Malah, ada hadis yang jelas menyebut bahawa jumlah umat Islam pada akhir zaman cukup ramai hingga diumpamakan seperti buih air semasa banjir, tetapi kebanyakan mereka lemah (al-wahn) disebabkan sikap cinta dunia dan takut kepada mati. (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad dengan sanad hasan)

Hadis di atas menunjukkan kualiti amalan kebanyakan umat Islam pada akhir zaman tidak lagi menurut sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dan salafussoleh. Namun, ilmu amalan berkenaan tetap ada diwarisi oleh alim ulama Islam. Maka, jelas bahawa hadis ghuraba' tadi bukan bermaksud kesesatan pegangan akidah majoriti ulama, tetapi adalah tentang kemunduran amalan majoriti umat Islam.

Realiti amalan umat Islam pada masa kini juga jelas menunjukkan bahawa kebanyakan mereka tidaklah 100 peratus mengikut amalan Nabi SAW dan sahabat RA. Ini bukan bermakna mereka tidak mengikut usul dan pegangan akidah yang betul. Antara dalil yang jelas menyatakan tentang perbezaan antara pegangan akidah dan amalan umat Islam ini ialah sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya aku telah diberikan kunci khazanah bumi atau kunci bumi. Sesungguhnya aku, demi Allah, tidak khuatir ke atas kamu sekalian akan mensyirikkan Allah selepas peninggalanku, tetapi yang aku khuatirkan terhadap kamu sekalian ialah kamu akan berlumba-lumba merebutnya (kekayaan dunia)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cukup jelas bahawa Nabi SAW tidak khuatir terhadap pegangan akidah umatnya dalam mentauhidkan Allah SWT, tetapi yang baginda khuatirkan adalah terhadap amalan mereka dalam mengharungi fitnah dunia.

Begitu juga nukilan yang diriwayatkan daripada salafussoleh, perlulah difahami melalui konteks ini. Ibn Mas'ud RA (wafat 32H) pernah ditanya tentang majoriti orang yang melewatkan waktu solat dan beliau mengatakan: "Solatlah di rumah." Lalu, seseorang bertanya: "Bagaimana kita dengan al-jama'ah?" Jawab Ibn Mas'ud: "Wahai Amru bin Maimun, sesungguhnya majoriti al-jama'ah itulah yang menyalahi al-jama'ah. Sesungguhnya al-jama'ah itu ialah apa yang menepati ketaatan terhadap Allah, walaupun kamu hanya seorang diri."

Ali bin al-Hasan berkata: "Aku pernah bertanya Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181H): "Siapakah al-jama'ah itu?" Jawabnya: "Abu Bakr RA dan Umar RA". Lalu ada yang membalas: "Abu Bakr RA dan Umar RA telah meninggal dunia." Jawab beliau lagi: "Fulan dan Fulan." Lalu ada yang membalas: "Fulan dan Fulan juga telah meninggal dunia." Maka, jawab Abdullah bin al-Mubarak: "Abu Hamzah as-Sukkari adalah al-jama'ah."

Kemudian at-Tirmizi menjelaskan: "Abu Hamzah as-Sukkari ialah Muhammad bin Maimun (wafat 167H), seorang syeikh yang soleh dan Ibn al-Mubarak mengucapkan perkataannya ini semasa hayat hidupnya menurut kami."

Dua kisah ini bukan bermakna semasa hidup Ibn Mas'ud RA atau Abdullah bin al-Mubarak, majoriti ulama Islam tidak lagi berada di atas kebenaran kerana zaman itu adalah zaman ulama salaf. Tanggapan sebegini pastinya amat salah sama sekali kerana mereka semua adalah salafussoleh. Pandangan Ibn Mas'ud RA di atas adalah sama ada jawapan beliau kepada situasi tertentu yang berlaku atau fatwa umum beliau bagi menunjukkan ketegasan sekiranya menghadapi situasi fitnah sedemikian. Pandangan Abdullah bin al-Mubarak pula jelas merujuk kepada suatu pencapaian amalan seorang individu soleh yang amat cemerlang.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 7:00 AM