SEGALA bentuk sunah Rasulullah harus ditegakkan  manakala ajaran yang menyeleweng dan bercanggah dengan sunah  hendaklah dibanteras.
SEGALA bentuk sunah Rasulullah harus ditegakkan manakala ajaran yang menyeleweng dan bercanggah dengan sunah hendaklah dibanteras.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Nabi Muhammad SAW adalah personaliti unggul yang menjadi ikutan dan sebutan sepanjang zaman. Michael H Hart pengarang buku yang berjudul The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History pernah menyenaraikan baginda sebagai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah. Bagi umat Islam, mencintai Rasulullah SAW menjadi sebahagian daripada tanda keimanan kepada Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia lebih mencintaiku daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesempurnaan iman bergantung kepada sejauh mana kecintaan seseorang kepada Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 24 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasu-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah perasaan rindu untuk bertemu dengan baginda. Perkara tersebut berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Demi Dzat yang jiwa Muhammad ada dalam genggaman-Nya, sungguh akan datang suatu masa, di mana seseorang tidak akan melihatku lagi, kemudian jika seandainya dia mahu melihatku, maka hal itu lebih ia cintai daripada keluarga dan hartanya" - (Riwayat Muslim). Rasulullah SAW sendiri amat rindu untuk bertemu dengan umatnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sangat aku kasih untuk bertemu dengan saudaraku. Maka berkata sahabat Nabi SAW: Bukankah kami ini saudara-saudaramu? Jawab Nabi: "Bermula kamu semua adalah sahabatku akan tetapi segala saudaraku ialah sekalian orang yang telah beriman denganku dan pada hal mereka belum melihatku" (Riwayat Ahmad) Sebahagian orang sanggup berbelanja besar dan meninggalkan keluarga tercinta untuk ke Tanah Suci menziarahi makam Nabi Muhammad SAW bagi mengubati kerinduan kepada baginda.

Tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW juga ditunjukkan melalui tindakan mempertahankan baginda pada setiap masa. Generasi sahabat terdahulu membuktikan mereka sanggup mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad SAW daripada difitnah sama ada secara fizikal mahupun kata-kata. Zaid bin Harithah sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan Rasulullah SAW daripada dicederakan oleh penduduk Thaif semasa melaksanakan seruan dakwah manakala Talhah dan Abu Dujanah sanggup menjadi perisai untuk melindungi Rasulullah SAW daripada serangan golongan musyrikin dalam peperangan Uhud. Saidina Abu Bakar pula diberikan gelaran istimewa iaitu 'al-Siddiq' yang bermaksud sentiasa 'membenarkan' kerana beliau sangat mempercayai dan meyakini segala kata-kata dan perbuatan baginda terutamanya dalam peristiwa Isra' Mikraj yang tidak dipercayai oleh sesiapa pun ketika itu.

Selain itu, seorang Muslim yang mendakwa mencintai Rasulullah SAW perlu melaksanakan perintah baginda dalam segenap aspek kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah Ali-'Imran ayat 31 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur'an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW)." (Riwayat Malik). Manusia akan mula menyimpang dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar apabila meninggalkan salah satu daripada sumber rujukan tersebut dalam kehidupan.

Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga dibuktikan dengan cara menghidupkan sunah baginda dan menjadikan cara kehidupan seharian Nabi Muhammad SAW sebagai model ikutan. Segala bentuk sunah baginda harus ditegakkan setiap masa manakala ajaran yang menyeleweng dan bercanggah dengan sunah baginda hendaklah dibanteras habis-habisan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)."

Perkara paling mudah untuk diamalkan sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah berselawat kepada baginda. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan tentang kelebihan dan ganjaran berselawat yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali." (Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 56 bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

Peristiwa penghinaan terhadap baginda Nabi Muhammad SAW dalam apa jua cara pada bila-bila masa adalah suatu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh sesiapa pun. Menghormati kepercayaan dan pegangan agama lain adalah suatu prinsip sejagat yang harus diamalkan oleh setiap manusia agar keamanan dunia sentiasa terpelihara. Justeru tindak balas kemarahan dan bantahan umat Islam terhadap isu tersebut adalah tindakan yang amat wajar. Namun tindakan yang lebih utama dari itu adalah usaha kita semua untuk terus menyebarluaskan keindahan akhlak dan mempromosikan ketinggian budi pekerti Rasulullah SAW yang ditunjukkan dalam sirah baginda agar lebih ramai manusia dapat mengenali susuk agung yang diiktiraf dunia dan dimuliakan oleh Allah SWT. Semoga dengan iltizam menghidupkan sunah baginda dalam kehidupan menjadikan kita sebahagian daripada umat yang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.

   


Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 6:00 AM