AJARAN Batiniah menyalahi iktikad yang terdapat dalam Rukun Iman.
AJARAN Batiniah menyalahi iktikad yang terdapat dalam Rukun Iman.
Dr Mohd Hamidi Ismail

 

Ajaran batiniah sinonim dikaitkan dengan kelompok Ismailiyyah daripada Syiah yang mengangkat Ismail bin Ja'far sebagai imam yang terpilih. Mereka terkenal dengan konsep 'akal pemula', 'yang berhak dengan hak' dan lain-lain lagi yang berbeza dengan kebanyakan ajaran Syiah malah jauh menyimpang daripada Ahlu Sunnah wal Jama'ah. 

Menurut al-Shahrastani (548H), kelompok batiniah Ismailiyyah terpengaruh dengan fahaman ahli falsafah khasnya dalam permasalahan akidah dan iktikad. Ajaran batiniah yang dinisbahkan kepada mereka ialah pegangan wujud Allah antara ada dan tiada, Dia bersifat mengetahui dan pada masa yang sama boleh menjadi jahil, Dia berkuasa dan adakalanya lemah.  

Mereka turut menafikan sifat hakiki bagi Allah kerana dengan sifat terbabit menggambarkan Allah sama dengan makhluk. Meskipun begitu, mereka tidak pula menafikan secara mutlak bahawa Allah memiliki sifat. Seolah-olahnya di sisi Batiniah, Allah tidak dapat dijelaskan dengan sebarang penjelasan yang mampu difahami oleh manusia bagi memakrifahi-Nya.  

Ia merupakan suatu kepincangan dalam berfikir yang disifatkan oleh Imam al-Ghazali (505H) sebagai menolak kesempurnaan yang mesti ada pada Allah, mereka seperti mahu menafikan kewujudan Allah SWT sebagai Pencipta. 

Mereka turut mempunyai kepincangan berfikir dalam permasalahan kenabian dengan tanpa membezakannya dengan imamah, malah imam pada mereka adalah maksum dan menerima wahyu sepertimana nabi. Lebih jauh daripada itu, mereka mengingkari adanya Hari Kiamat sebagai saat kebinasaan alam, sebaliknya saat tersebut bagi mereka adalah masa kemunculan al-Mahdi. 'Al-Ma'ad' iaitu kekembalian manusia pula di sisi mereka sebagai kekembalian unsur jasad dan rohani insan kepada asal, iaitu jasad kepada unsur semula jadi manakala rohani kepada unsur akal. Justeru, tiada istilah Mahsyar, syurga dan neraka dalam pegangan Batiniah. 

Kesalahan kelompok Batiniah terletak pada kaedah mereka mentakwil keterangan nas. Mereka tidak mempunyai sebarang dasar pedoman yang jelas membangunkan kaedah takwilan melainkan dakwaan kosong dan batil. Perkara ini telah diterangkan oleh Imam al-Ghazali bagaimana Batiniah tidak menggunakan hujah aksiom dalam mentakwil kerana hasil takwilan mereka amat ketara bertentangan dengan rasional akal yang sihat. Mereka tidak menggunakan penelitian kerana ia menyalahi prinsip ajaran mereka iaitu hanya bersumberkan panduan imam maksum. Imam al-Ghazali menegaskan, jika Batiniah mengambil daripada imam-imam mereka maka imam terbabit mesti membuktikan diri mereka maksum terlebih dahulu. Hanya mukjizat yang dapat membuktikan perkara tersebut tetapi ia tidak ditemui di sisi Batiniah melainkan mereka hanya mendakwa imam mereka maksum.

Ajaran Batiniah menyalahi iktikad yang terdapat dalam Rukun Iman. Misalnya dalam permasalahan ketuhanan, Batiniah berpegang ada dua Tuhan bersifat qadim dan tiada permulaan bagi kewujudan kedua-duanya, salah satunya menjadi kesan pada yang lain, dan alam ini tercipta daripada kesan tersebut. Batiniah merujuk kewujudan dua Tuhan ini kepada ayat-ayat al-Quran seperti Surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud: "Sesungguhnya  Kami  telah menurunkan..." atau Surah al-Zukhruf ayat 32 yang bermaksud: "Kami  membahagikan..."

Manakala dalam permasalahan kenabian, Batiniah mendakwa bahawa nabi adalah individu yang telah mencapai kemampuan berfikir yang optimum. Malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu itu pula adalah simbolik kepada akal aktif yang berinteraksi dalam diri nabi.

Imam al-Ghazali mengaitkan pegangan Batiniah dengan ajaran Majusi, Zoroastrian dan ahli falsafah. Mereka mengunci pemahaman mereka dengan kebatilan dan cereka tahyul sehingga Imam al-Ghazali menyifatkan mereka sebagai kelompok yang paling dungu malah mudah menerima citra khurafat. Mereka sebati dengan pendustaan menisbahkan keakraban mereka dengan ahli bait walhal mereka adalah pembenci dan penentang kepada sunah Rasulullah SAW. Mereka sebenarnya merupakan salah satu kumpulan daripada kumpulan Syiah Rafidah.

Motif Batiniah adalah memesongkan akidah umat Islam. Seruan kepada keterangan isi atau 'batin ayat' merupakan seruan persuasif supaya umat Islam beralih arah daripada berpegang dengan Mazhab Ahli Sunnah wal Jama'ah yang disifatkan 'kulit' atau 'sepah', yang tidak membawa kepada makrifah hakiki Allah SWT. Di setengah tempat, ajaran Batiniah mendapat sambutan daripada orang Islam dan membawa mereka menyertai kelompok Batiniah-Syiah. 

Di tempat yang lain pula, ajaran Batiniah diterima dalam bentuk pentafsirannya. Mereka tidak menyeru orang ramai membaiah imam berketurunan ahli bait tertentu, tetapi mentakwilkan ayat-ayat al-Quran atau pun hadis dengan takwilan sendiri dan bertentangan dengan hukum syarak. Tujuan mereka adalah mencari pengaruh atau agenda khusus tertentu. Daripada catatan pihak berkuasa di negara ini, kumpulan ajaran Batiniah sering dikaitkan dengan pengumpulan harta kekayaan, serakah hawa nafsu dan perampasan kuasa. Kumpulan ajaran Hassan Anak Rimau, Ayah Pin, Golongan Rohaniah, Mohd Nasir Ismail dan lain-lainnya, terkenal sebagai ajaran yang mengandungi unsur batiniah yang muncul lewat 1970-an hingga 1990-an. Meskipun individu pelopor ajaran ini sudah meninggal dunia, tetapi pengaruh dan tafsiran mereka masih ada dan diikuti oleh pengikut mereka yang setia. 

Dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Mantan Mufti Negeri Sembilan, almarhum Dato' Haji Mohd Murtadza, beliau mengklasifikasikan ajaran Batiniah sebagai ajaran sesat kerana ia direka atau dicipta dan menyeleweng daripada akidah dan syariah Islam seperti ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin. Umumnya, ajaran Batiniah sukar dikesan kerana tidak disebarkan secara terbuka dan penyebarannya berperingkat mengikut tingkatan penerimaan ahli. Oleh yang demikian, usaha menyekat atau membanteras ajaran Batiniah tidak berjaya sepenuhnya. Untuk ke arah itu, ia mesti dimulakan dengan penerapan akidah dan syariat yang betul kepada masyarakat, khasnya di peringkat sekolah rendah dan menengah serta di masjid dan surau. Usaha yang gigih memperkenalkan orang ramai dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jama'ah dapat menyelamatkan mereka daripada terpengaruh dengan tafsiran Batiniah.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:01 AM