TAN Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika melancarkan MyDigital dan Rangka Tindakan (BluePrint) Ekonomi Digital Malaysia secara atas talian.
TAN Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika melancarkan MyDigital dan Rangka Tindakan (BluePrint) Ekonomi Digital Malaysia secara atas talian.
Noor Mohamad Shakil Hameed

Ekonomi digital di negara ini didefinisikan sebagai semua jenis aktiviti ekonomi dan sosial yang membabitkan pengeluaran dan penggunaan teknologi digital oleh individu, perniagaan dan kerajaan. Bagi meningkatkan kesediaan negara dalam menguasai ekonomi digital, kerajaan menyediakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

Secara umumnya, ekonomi digital disifatkan sebagai instrumen penting untuk negara menuju ke arah usaha pemulihan dan menjamin ketahanan masa depan ekonomi Malaysia terutama dalam era pasca pandemik Covid-19. Justeru, rakyat perlu merebut peluang yang disediakan termasuk menerusi inisiatif MyDigital yang bertujuan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dengan berpaksikan teknologi dan pendigitalan.

Ekonomi digital dilihat semakin menjadi tumpuan dan fenomena yang cukup signifikan dalam musim pandemik. Ia berikutan pada ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baik pengguna mahupun peniaga seolah-olah sudah tidak ada pilihan selain meneroka teknologi digital sebagai platform terbaik untuk urusan jual beli. Ternyata pandemik mengubah landskap perniagaan di seluruh dunia dan pendigitalan adalah cara atau norma baharu untuk semua entiti perniagaan terus melangkah ke hadapan.

Justeru, semua pihak perlu bersedia untuk memberikan tumpuan yang lebih khusus bagi meneroka potensi dan peluang dalam ekonomi digital. Dalam konteks ini kita perlu bersiap siaga bagi mendepani cabaran untuk meningkatkan tahap kesediaan dalam menguasai ekonomi digital.

Kelompok peniaga khususnya daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) wajar melihat potensi besar yang ada dalam ekonomi digital untuk merancakkan perniagaan masing-masing. Untuk mengadaptasi dengan fenomena baharu ini, antara cabaran besar kelompok peniaga adalah dari segi perubahan pemikiran dan corak perniagaan serta kemudahan capaian internet di lokasi masing-masing.

Peniaga tempatan khususnya pengusaha PMKS dan PKS perlu sahut cabaran dan merebut peluang ekonomi digital. Kita tidak boleh lagi meneruskan amalan dan budaya perniagaan biasa dan secara tradisional sebaliknya perlu mengikut arus perubahan dan kehendak pasaran domestik dan antarabangsa.

Kita perlu sedar ini masa terbaik untuk memasarkan produk tempatan ke seluruh pelosok dunia, sekali gus merancakkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan. Dalam konteks ini, PMKS dan PKS perlu melihat kebaikan penggunaan teknologi dalam perniagaan, antaranya urusan promosi dan pemasaran serta jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping boleh menggunakan teknologi untuk meningkatkan hasil, mengurangkan kos operasi, meningkatkan kepuasan pelanggan, rakan kongsi dan pekerja.

Selain membantu dalam peningkatan hasil, penggunaan teknologi digital juga dapat mengembangkan capaian ke negara lain dengan wujudnya kemudahan yang lebih canggih terutama platform seperti e-dagang. Jadi, peniaga tempatan perlu segera mengadaptasikan diri dan perniagaan masing-masing ke arah ekonomi digital demi kelangsungan perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, satu lagi cabaran utama kelompok peniaga era ekonomi digital ini adalah dari segi kemudahan capaian internet. Kita perlu akui bahawa kualiti capaian internet di negara ini khususnya di luar bandar masih kurang memberangsangkan dan situasi ini memberikan cabaran besar kepada sektor perniagaan seperti PMKS dan PKS. Ia dilihat sebagai cabaran yang cukup signifikan kerana kemudahan internet sangat penting dalam memacu agenda ekonomi digital secara menyeluruh dengan sumbangannya kepada pertumbuhan negara juga menjadi lebih ketara.

Justeru, kita berharap beberapa inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan dapat membantu meningkatkan tahap capaian internet di seluruh negara, sekali gus memudahkan proses perniagaan semua pemain industri khususnya kelompok PMKS dan PKS. Antaranya ialah, pelaburan RM21 bilion sepanjang lima tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada dan pelaksanaan rangkaian 5G ke seluruh negara.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, ketersediaan rangkaian 5G akan tercapai secara berperingkat bermula di Putrajaya, Cyberjaya dan seterusnya di Kuala Lumpur pada Disember ini dan dijangka diperluaskan ke kawasan lain bermula tahun depan. Ringkasnya, kerajaan menyasarkan dalam tempoh tiga tahun dapat menyediakan capaian 80 peratus rangkaian 5G di seluruh negara.

Ternyata kerajaan memandang serius penggunaan serta keperluan teknologi 5G kerana ia berpotensi membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak lima peratus atau RM122 bilion menjelang 2030. Malah, 5G juga dijangka menyokong penciptaan 148,000 peluang pekerjaan serta menyumbang kepada peningkatan dalam peratusan pekerjaan berkemahiran tinggi. Di samping itu, kerajaan juga bakal membina 1,000 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang mampu mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar. Transformasi pusat internet desa yang kini hanya terhad kepada perkhidmatan kemudahan asas internet kepada PEDi ini akan menyediakan modul latihan kepada rakyat untuk memiliki kemahiran ekonomi digital.

Tambahan pula, pelaksanaan Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 (PMKS 2021) yang dilancarkan Perdana Menteri dilihat dapat mendekatkan usahawan kecil dengan ekonomi digital, meningkatkan kecekapan dan seterusnya memacu perniagaan melalui pelbagai jenis bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan swasta.

Mengambil kira pelbagai inisiatif kerajaan, diharap masyarakat peniaga dan pemain industri tempatan dapat merebut peluang, sekali gus menjadi komuniti ekonomi digital yang mampu menangani cabaran fenomena ekonomi digital dengan bijak. Semoga Malaysia mampu mencapai visi menjadi peneraju serantau bagi ekonomi digital.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:00 AM