APABILA teguran dilakukan secara beradab, permusuhan dapat dihindari dan mengekalkan persaudaraan.
APABILA teguran dilakukan secara beradab, permusuhan dapat dihindari dan mengekalkan persaudaraan.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara kejahilan mengenai adab memberi teguran yang dikhuatiri makin berleluasa kini ialah membuat penjelasan tentang sesuatu kesilapan atau kesalahan dilakukan seseorang di media sosial tanpa individu terbabit mengetahui teguran disampaikan. Sedihnya, dia hanya tahu setelah video atau entri berkenaan ditonton atau dibaca oleh ribuan, malah puluhan ribu orang sedangkan maruahnya sudah pun jatuh dan tercalar. Adakah begini adab yang diajarkan Islam?

Niat yang ikhlas tidak memadai, jika cara digunakan hakikatnya hanya menjatuhkan, mengaibkan atau memburukkan peribadi seseorang. Sepatutnya hanya kesalahannya sahaja yang diceritakan tanpa menyebutkan namanya kerana demikianlah cara sunah yang sebenar. Rasulullah SAW apabila menegur seseorang baginda akan menyebut secara umum: "Ma balu aqwam..." (Apa kena orang ini...) Riwayat Abu Dawud

Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta nasihat-menasihati, berpesan-pesan dan tegur-menegur amalan yang dituntut oleh agama. Nabi SAW bersabda: "Agama itu adalah nasihat". Kami bertanya: "Untuk siapa?" Baginda menjawab: "Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk pemimpin golongan Muslimin dan seluruh umat lslam." Riwayat Muslim

Bagaimanapun, dalam memberi nasihat perlulah dipelihara matlamat dan adabnya, apabila nasihat yang diberikan bertujuan supaya umat Islam sentiasa melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya, sentiasa membaca dan mengamalkan tuntutan al-Quran serta sentiasa mencintai serta megikuti sunah Nabi SAW.

Nasihat untuk pemimpin boleh dibahagikan kepada dua, sama ada pemimpin dunia mahupun pemimpin agama (ulama). Nasihat untuk pemimpin dunia adalah bertujuan supaya mereka bersikap adil, tidak berbuat zalim serta memperjuangkan kebenaran. Nasihat untuk ulama pula adalah bertujuan supaya mereka menyampaikan ilmu, menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Namun, cara menasihati mereka hendaklah dengan lemah lembut, penuh adab, hormat serta menjaga lidah daripada mencaci mereka.

Diceritakan, Khalifah al-Ma'mun pernah meminta seorang zahid memberikannya nasihat, lalu dia bertanya: "Bolehkah aku bercakap lantang terhadapmu?" Jawab Khalifah: "Tidak, kerana sesungguhnya Allah telah mengutuskan Musa AS, sedangkan dia lebih baik daripadamu, kepada Firaun, sedangkan dia lebih buruk daripadaku. Namun firman-Nya: Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut." Surah Taha: 44

Allah SWT turut berfirman: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik." Surah an-Nahl: 125

Diriwayatkan, Hisyam bin Hakim RA pernah menegur seorang gabenor, Iyadh bin Ghanm RA dengan kata-kata kasar sehingga Iyadh naik marah. Kemudian beliau membacakan kepada Hisyam hadis Nabi SAW: "Sesiapa yang hendak menasihati sultan (penguasa) tentang sesuatu perkara maka janganlah dia melaksanakannya secara terang-terangan, tetapi hendaklah dia mengambil tangannya, lalu duduk bersunyian dengannya. Jika dia menerima nasihatnya maka itulah sememangnya dan jika tidak, dia telah pun menunaikan kewajipannya terhadapnya." Riwayat Ahmad

Nasihat untuk seluruh umat lslam adalah bagi membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada mereka demi kemaslahatan diri mereka juga, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Justeru, orang yang memberi nasihat perlu menjaga maruah orang yang dinasihati dan menutup keaibannya. Elakkanlah daripada menasihatinya di depan orang ramai, tetapi nasihatilah ketika dia bersendirian atau di tempat tertutup. Imam as-Syafie berkata: "Sesiapa yang menegur saudaranya secara sembunyi-sembunyi maka dia benar-benar telah menasihatinya dan menjaga aibnya. Namun, sesiapa yang menegurnya secara terang-terangan maka sesungguhnya dia telah memalukannya dan membuka aibnya."

Beliau turut berpesan: "Sampaikanlah nasihatmu kepadaku semasa aku bersendirian dan elakkanlah memberi nasihat kepadaku sewaktu orang ramai. Sesungguhnya memberi nasihat di khalayak ramai itu adalah salah satu bentuk celaan yang aku tidak reda mendengarnya. Sekiranya kamu menyalahiku dan mengingkari pesanku ini maka janganlah kamu terkejut jika nasihatmu itu tidak ditaati."

Seorang ahli hadis, Mis'ar bin Kidam ditanya: "Adakah kamu suka orang yang mengkhabarkanmu tentang keaibanmu?" Lalu dijawabnya: "Sekiranya dia menasihatiku dalam keadaan hanya diriku dan dirinya maka jawabnya ya. Namun, sekiranya dia menegurku di khalayak ramai, jawabnya tidak."

Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulumiddin mengulas: "Benar kata beliau kerana sesungguhnya teguran di khalayak ramai itu hanyalah perbuatan memalukannya."

Jelasnya, teguran secara private (tertutup) adalah cara yang paling afdal dan lebih menarik orang yang dinasihati untuk mendengar serta menerima dengan insaf. Seandainya umat Islam menghayati kefahaman sedemikian, nescaya permusuhan dan perpecahan yang berlaku dapat dielakkan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 5:59 AM