FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Budaya hidup masyarakat kini semakin berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan media baharu lebih-lebih lagi dalam tempoh negara dilanda pandemik Covid-19. Penggunaan aplikasi media sosial dilaporkan meningkat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) turut mendedahkan bahawa rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak dua juta atau tujuh peratus dalam tempoh setahun dari tahun 2020.

Laman facebook Public Health Malaysia baru-baru ini berkongsi senarai aplikasi media sosial popular seperti Tinder, WeChat, Dating.com, Hornet, Tumbler, Grindr, Bigo Live, TikTok, PUBG, Mobile Legends dan pelbagai lagi yang perlu diawasi penggunaannya dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Perubahan trend dan gaya hidup norma baharu menyaksikan umat Islam semakin terdedah kepada kegiatan maksiat dan menyalahi syariat melalui kaedah dan medium yang berbeza. Tanpa menafikan manfaat yang diperolehi hasil perkembangan teknologi dan aplikasi terkini, medium tersebut juga boleh mengundang mudarat apabila segelintir masyarakat menggunakannya bagi tujuan melakukan perbuatan dosa dan maksiat sehingga berbangga serta mempromosikannya kepada masyarakat umum.

Apakah faktor yang menarik minat orang ramai kepada media sosial? Selain daripada perubahan gaya hidup masyarakat yang memerlukan sesuatu urusan dan maklumat diperoleh dengan mudah dan pantas, pelbagai bentuk aplikasi media sosial turut menawarkan kandungan hiburan secara percuma, jaringan hubungan baharu, interaksi dan komunikasi dua hala serta perkongsian maklumat yang mudah diakses. Media sosial menyediakan ruang untuk seseorang individu mendapatkan pengikut, meraih populariti dan menjana pendapatan sampingan melalui saluran sendiri tanpa perlu terlibat dalam platform penyiaran konvensional seperti radio dan televisyen. Sebahagian masyarakat juga memanfaatkan media sosial bagi tujuan memasarkan produk perniagaan secara kecil-kecilan terutama bagi golongan yang memulakan perniagaan baharu susulan terkesan dengan pandemik Covid-19.

Selain pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan daripada penggunaan media sosial, apakah cabaran yang menanti para pengguna sekiranya kemudahan tersebut tidak dimanfaatkan secara berhemah? Media sosial turut berpotensi menjadi ruang berlakunya perbuatan jenayah, penipuan, fitnah, maksiat, kebejatan akhlak serta terpengaruh dengan trend dan gaya penampilan yang mengubah budaya, nilai dan norma kehidupan masyarakat. Sebahagian masyarakat berasa teruja dengan pengalaman baharu di media sosial dan mengejar keseronokan yang akhirnya menyebabkan mereka mudah terjebak dalam aktiviti tidak bermoral sehingga merosakkan nilai agama dan budaya. Laporan media mendedahkan bahawa golongan remaja gemar meneroka pekara baharu melalui kemudahan peranti pintar dan internet. Bahkan pendedahan kepada senario seks bebas bermula dengan perkenalan di media sosial yang kemudian menarik minat mereka untuk mencuba melakukan hubungan terlarang.

Justeru setiap individu Muslim harus melengkapkan diri dengan sifat bertanggungjawab serta kesedaran yang tinggi dalam penggunaan media sosial. Sebarang kandungan yang dilayari dan dikongsikan mestilah sesuatu yang dapat memberikan manfaat serta dorongan ke arah kebaikan sebagaimana maksud hadis daripada Uqbah bin 'Amr bahawa  Rasulullah  SAW  bersabda: "Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya."  (Riwayat Muslim)

Walaupun berinteraksi secara maya di media sosial, kewajiban memelihara akhlak, menjaga batasan aurat dan pergaulan, memelihara keaiban, maruah, hal-hal kerahsiaan dan peribadi harus sentiasa dititikberatkan.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Isra' ayat 36 yang bermaksud: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."

Islam menetapkan panduan untuk menjaga akhlak dan maruah diri terutama dalam cara berpakaian, pertuturan dan pergaulan pada setiap masa termasuk di media sosial. Sebagai Muslim kita wajib memelihara semua adab tersebut supaya maruah tidak tercemar apatah lagi sehingga mendorong kepada perlakuan tidak bermoral.

Peringatan untuk seorang Muslim memelihara maruah diri amat penting agar tergolong dalam kalangan orang yang berjaya sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran surah al-Mukminun ayat 3 dan 5 yang bermaksud: "Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang menjaga kehormatannya."

Selain itu, sifat malu juga menjadi benteng yang mengawal gerak-geri dan perlakuan manusia termasuk di media sosial.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-Mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: "Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan daripada dirinya." (Riwayat Al-Bukhari)

Perbuatan maksiat yang berterusan apatah lagi dilakukan secara terbuka akan menghilangkan perasaan malu sedangkan malu itu mencegah seseorang daripada melakukan amalan yang buruk.

Ibu bapa, keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat perlu sentiasa menyampaikan pengetahuan dan kesedaran supaya menggunakan media sosial secara berhemah. Peraturan dan undang-undang khusus perlu dikuatkuasakan, ibu bapa perlu mewujudkan masa berkualiti bersama anak-anak seperti berkongsi tentang isu semasa dan keselamatan serta mendengar kebimbangan dan pertanyaan. Dalam konteks pengawalan, ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak di media sosial.

Selain itu, penyampaian dakwah melalui kandungan kreatif serta pendekatan yang lebih santai dan interaktif harus dipergiatkan di media sosial yang menjadi pilihan utama sebahagian besar masyarakat terutama generasi muda. Perkara tersebut penting agar minat dan perhatian masyarakat tidak hanya tertumpu kepada pelbagai bentuk kandungan yang sia-sia dan melalaikan.

Penyertaan pendakwah secara aktif amat diperlukan bagi mengimbangi pengaruh yang tidak baik di pelbagai aplikasi media sosial. Pempengaruh media sosial dalam kalangan remaja dan anak muda melalui pelbagai kandungan yang bermanfaat wajar diberikan galakan. Dakwah harus menggunakan pendekatan yang sesuai dengan zaman seiring dengan saranan Nabi Muhammad SAW agar mendekati kelompok manusia mengikut tahap kefahaman dan penerimaan mereka sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: "Berbicaralah kepada manusia sesuai dengan yang mereka ketahui; apakah kamu mahu Allah dan Rasul-Nya didustakan?"  (Riwayat Al-Bukhari)

Hakikatnya, media sosial hanyalah alat bagi mencapai matlamat untuk menyebarkan sebanyak mungkin kebaikan kepada seluruh umat manusia.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:00 AM