TENTERA Al-Shabaab.
TENTERA Al-Shabaab.
Addin

Islam agama kedamaian, ia sekali-kali tidak menganjurkan perbuatan menzalimi orang lain atau penindasan dengan jalan keganasan yang tiada hak di sisi syarak. Walaupun Islam meletakkan kewajipan mempertahankan diri, ia mengandungi prinsip dan peraturan yang ketat serta jelas.

Menyertai sebuah pertubuhan pengganas kononnya atas dasar ingin memartabatkan Islam, ia bukan cerminan Islam sebenar sebaliknya dikhuatiri nama 'Islam' itu sebagai topeng kepada agenda sebenar sesebuah pertubuhan.

Buat pertama kalinya seorang rakyat Malaysia bernama Ahmad Mustakim Abdul Hamid ditangkap dan dibicarakan di Mahkamah Tentera Somalia kerana menyertai kumpulan pengganas, Al-Shabaab. Beliau ditahan pada 2019 atas kesalahan memasuki Somalia untuk menyertai aktiviti keganasan melalui kumpulan terroris yang berafiliasi dengan Al-Qaeda. Mustakim ditahan bersama rakannya, Darren Anthony Byrness, warga Britain beragama Islam di Mogadishu oleh tentera kerajaan Somalia. Mustakim dipercayai berada di Afrika sejak 2009 dan mempunyai keluarga yang tinggal di rantau berkenaan. Setelah meringkuk selama dua tahun di penjara, akhirnya Mustakim dibawa ke muka pengadilan dan dijanjikan perbicaraan yang adil dan saksama. Perkara ini juga disahkan oleh Wisma Putra dan Kedutaan Somalia di Kuala Lumpur. Walau apa pun keadaannya, ini adalah naratif baharu penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti keganasan. Sebelum ini, maklumat menyatakan sekurang-kurangnya 120 rakyat Malaysia menyertai kumpulan Isis di Iraq dan Syria. Sekurang-kurangnya 100 rakyat Malaysia pula menyertai kumpulan Al-Qaeda yang berpangkalan di Afghanistan melalui dua gelombang, perang Afghan-Rusia pada 1980-an dan perang terhadap keganasan sekitar 2001-2010. Malah data yang didedahkan media antarabangsa yang terkini juga sudah melihatkan kepada penglibatan rakyat Malaysia pasca penjajahan Amerika 2021 atau pada era Taliban 2.0. Pembabitan rakyat Malaysia dalam kegiatan keganasan di Afrika adalah baharu dan unik. Ia pastinya mempunyai hubungan istimewa yang menjadikan rakyat Malaysia tertarik menyertai kumpulan ini.

Perjuangan Al-Shabaab lebih kepada Al-Qaeda terutama apabila mereka melakukan baiah sejak 2004 untuk bersama-sama perjuangan Osama Laden dalam menegakkan khilafah Islamiyah di Afrika. Malah Al-Shabaab adalah 'ally' yang paling penting bagi Al-Qaeda di luar pusat operasi mereka di Tora-Bora, Nangahar. Selepas kejatuhan Al-Qaeda di Afghanistan, Afrika terus menjadi kubu kuat mereka. Sebilangan besar jihadis Al-Qaeda memilih untuk bergabung dengan Al-Shabaab berbanding Isis.

Namun, setelah penubuhan gerakan Isis-Mozambique dan JNIM, beberapa unit kecil Al-Shabaab dipercayai keluar daripada perjuangan mereka dan mula bergabung dengan Isis. Al-Shabaab menjadi semakin dinamik apabila mereka juga menyerang askar kerajaan, tentera Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nat0) malah juga menyerang mana-mana pihak termasuk masyarakat awam yang menentang perjuangan mereka serta mempunyai jaringan semakin meluas di Afrika. Pada ketika ini, hanya seorang rakyat Malaysia yang disahkan menyertai Al-Shabaab. Namun, ada sumber mengatakan terdapat sejumlah rakyat Malaysia di Somalia. Bagaimanapun, data ini belum dapat dibuktikan.

Pada kebiasaannya, keberadaan mereka hampir tidak dapat disahkan kerana sifat pergerakan mereka yang sentiasa dalam kerahsiaan, malah hanya berhubung dalam komuniti mereka sendiri. Penglibatan rakyat Malaysia hanya diketahui apabila data berkaitan didedahkan oleh media atau setelah mayat dijumpai (kerana pertempuran antara Al-Shabaab dan tentera pemerintah) atau setelah berlaku tangkapan. Malah menjadi semakin sukar apabila akses kerajaan Malaysia kepada tahanan rakyat kita dinafikan atas pelbagai alasan. Antara sebab yang menarik bagi rakyat Malaysia untuk bergabung dengan Al-Shabaab adalah kerana kebersamaan ideologi iaitu untuk menjadi 'jihadis' dan mencari syahid. Kelompok ini mempunyai matlamat yang paling tinggi iaitu mendapatkan cara terbaik atau jalan pintas ke syurga. Dengan peluang sebegini, mereka mempunyai harapan untuk menjadi jihadis, ini juga bererti mereka mempunyai peluang yang lebih luas untuk mendapatkan mati syahid kerana dengan itu mereka tidak perlu melalui hisab atau perbicaraan pada hari akhirat. Satu sebab lagi rakyat Malaysia menyertai kumpulan Al-Shabaab ini adalah kerana peluang untuk berada di medan jihad. Selepas kejatuhan Isis dan Al-Qaeda, hanya al-Shabaab yang didapati menyediakan medan untuk melakukan jihad. Walaupun negara seperti Filipina, Afghanistan, Iraq dan Syria menyediakan medan yang sama, tetapi Somalia, Mozambique, Nigeria, Niger serta Mali didapati lebih kondusif kerana kurangnya kekuatan musuh dan kosentrasi yang lemah oleh Barat. Somalia yang menjadi kubu kuat Al-Shabaab, menyediakan medan jihad yang terbaik dibantu pula oleh keupayaan serangan secara gerila dan pemilikan senjata yang canggih serta maju.

Dengan cara ini, politikal agenda mereka ke arah menubuhkan khilafah Islamiyah boleh direalisasikan. Tafsiran bangkitnya dan tertegak semula kerajaan Islam di muka bumi ini dipelbagaikan, ada yang mengatakan ia bermula di Iraq/Syria, ada yang mengatakan dari Asia Tenggara, ada juga mengatakan dari Khurasan (Afghanistan/Pakistan/Uzbekistan/Tajikistan). Namun, bagi Al-Shabaab, mereka lebih meyakini khilafah Islamiyah ini akan bangkit dari Afrika yang merekalah sebagai pejuangnya.

Seperkara lagi yang menjadikan rakyat Malaysia tertarik menyertai kumpulan ini adalah kerana faktor pertalian kekeluargaan. Perkahwinan adalah sebab utama, keberadaan mereka berdekatan dengan tanah air pasangan di Afrika terutama Somalia akan menjadikan mereka lebih terdedah dalam geopolitik wilayah berkenaan. Pastinya, bagi rakyat Malaysia yang berada di sana, mereka bukanlah berada dalam sistem kerajaan, mereka akan lebih terdedah kepada golongan yang tertindas dan pihak yang mengkritik kerajaan.

Malah mereka berkemungkinan bersama dalam aktiviti subversif termasuk menyertai aktiviti keganasan dan jenayah. Malah, lebih buruk lagi apabila mereka mempunyai hubungan pertalian keluarga dengan yang sudah mempunyai jaringan dengan Al-Shabaab.

Faktor seterusnya adalah akademik. Golongan remaja yang datang ke pelbagai wilayah di Asia Barat seperti Yaman, Maghribi, Algeria malah Somalia juga berpotensi untuk menyertai kumpulan ekstremis serta terrorism seperti Al-Shabaab.

Pada kebiasaannya mereka akan membina jaringan dengan teman yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk yang beraliran radikal. Golongan remaja yang dalam proses pencarian identiti ini adalah golongan yang mudah dipengaruhi minda mereka.

Golongan ini akan terdedah dengan pelbagai bentuk dakyah akhirnya menjadikan mereka terjerumus dalam aktiviti pengganas.

Selain itu, kegiatan keganasan di Afrika juga dilihat mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah. Pengedaran dadah, penyeludupan senjata api, penyeludupan manusia, penculikan, tebusan binatang ternakan, penyeludupan kenderaan dan lainnya lagi sudah menjadi kebiasaan di Afrika termasuk korupsi serta kemiskinan. Kumpulan pengganas termasuk Al-Shabaab dilihat mengambil peluang ini untuk meraih dana dan seterusnya memastikan survival pergerakan mereka. Selain itu, kemampuan mereka memperoleh sumber kewangan yang banyak adalah penting untuk membeli senjata dari pelbagai sumber selain tawaran menarik daripada pelbagai pihak termasuk ejen dalam kerajaan dan luar negara. Bagaimanapun, sosok seperti Mustakim ini sewajarnya diadili dengan saksama. Beliau perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri dan seterusnya dijatuhkan hukuman setimpal dengan penglibatannya dalam aktiviti pengganas.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu memantau pergerakan semua rakyat kita di luar negara walaupun di negara yang kelihatannya kurang berisiko.

Malah yang paling ditakuti adalah kemampuan mereka menyebarkan fahaman radikal melalui perkembangan teknologi dan media sosial yang semakin maju serta berevolusi.

Penulis Pengarah Institut Kajian Strategik (MyRISS)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:51 AM