GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam siri lalu dijelaskan mimpi tidak diterima sebagai hujah dalam syarak. Secara ilmiah, hujah yang diterima syarak adalah hujah yang bertunjangkan kepada al-Quran dan hadis kerana jaminan kemaksuman terhadap kedua-duanya. Mimpi seseorang pula tiada jaminan kemaksuman padanya kecuali mimpi sekalian Nabi AS.

Meskipun mimpi tidak mempunyai nilai daripada aspek penghujahan dan pendalilan dalam syarak, mimpi yang baik mempunyai nilai daripada aspek lain terutama memberi khabar gembira (busyra), peringatan, menambahkan rasa senang hati (isti'nas) terhadap sesuatu perkara atau pengukuhan terhadap perkara telah sedia maklum hujahnya.

Aspek ini dianggap sebagai satu juzuk daripada kenabian. Daripada Ubadah bin as-Samit RA, Nabi SAW bersabda: "Mimpi seorang Mukmin adalah satu bahagian daripada empat puluh enam bahagian kenabian." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda: "Mimpi yang baik adalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian kenabian." Riwayat Muslim

Bahagian kecil kenabian ini boleh menggambarkan kecenderungan seseorang terhadap sesuatu perkara berasaskan ilmu yang menepati pandangan mata hati dan inti rasa (zauq) dirinya. Jika digabungkan dengan ijtihad, ia boleh menjadi pemberat (qarinah) untuk mengambil sesuatu keputusan sebagaimana mimpi sesudah melakukan solat istikharah, meskipun mimpi tidak menjadi syarat wajib baginya.

Abdullah bin Zaid RA pernah bermimpi diajarkan cara azan dan melihatnya sebagai cara terbaik sebelum azan kemudian terus disyariatkan oleh Nabi SAW. Riwayat Abu Dawud

Beberapa orang sahabat RA pula bermimpi menyaksikan Lailatulqadar terjadi pada tujuh hari terakhir Ramadan. Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Aku melihat mimpi kalian semua telah saling bersepakat pada tujuh hari terakhir. Maka sesiapa yang ingin mencarinya maka utamakanlah mencarinya pada tujuh hari terakhir itu." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari mengulas: "Terdapat pada hadis ini dalil mengenai besarnya kedudukan mimpi dan ia harus dijadikan sandaran bagi menunjukkan dalil kepada perkara yang bersifat wujud (bukan mustahil) dengan syarat ia tidak menyalahi kaedah syarak."

Bahagian kecil kenabian itu turut diberi penekanan oleh Nabi SAW bagi menarik perhatian umatnya yang soleh. Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada yang tinggal lagi daripada kenabian melainkan mubasysyirat (khabar yang menggembirakan)." Sahabat bertanya: "Apakah mubasysyirat itu?" Baginda menjawab: "Mimpi yang baik." Riwayat al-Bukhari

Dalam riwayat Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Wahai manusia, sesungguhnya tidak ada yang tinggal lagi daripada khabar kenabian menggembirakan melainkan mimpi yang baik, yang dilihat oleh seorang Muslim ataupun diperlihatkan kepadanya." Riwayat Muslim

Ubadah bin as-Samit RA pula pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang firman Allah SWT: "Bagi mereka berita gembira (busyra) di dalam kehidupan di dunia." (Surah ayat 64) Baginda menjawab: "Itu adalah mimpi yang baik, yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan kepadanya." Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah

Bagaimanapun, mimpi yang baik tetap tidak terlepas daripada pertimbangan syarak. Justeru, mana-mana mimpi perlu dibentangkan kepada neraca syarak, adakah ia menepatinya ataupun tidak? Jika ia menepati syarak dan tidak bercanggah, barulah boleh diterima. Sebaliknya, jika ia tidak menepati syarak dan bercanggah, perlulah ditolak. Ini kerana mimpi tidak mempunyai tahap kepastian (zann). Menapis mimpi yang tiada tahap kepastian dengan neraca syarak yang mempunyai tahap kepastian adalah kaedah wajib diutamakan walaupun mimpi bertemu dengan Nabi SAW.

Kata Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: "Adapun jika dia melihat Nabi SAW menyuruhnya supaya melakukan suatu perkara yang digalakkan atau melarangnya daripada suatu perkara yang dilarang atau menunjukkannya untuk melaksanakan suatu kemaslahatan, maka tidak ada khilaf tentang hukum mustahab untuk beramal sesuai dengannya kerana itu bukan suatu hukum berdasarkan mimpi semata-mata, bahkan ia telah pun sedia maklum daripada hukum asal perkara berkenaan."

Janganlah jadi salah satu daripada dua pihak yang keliru, sama ada pihak tidak percaya dan menolak apa sahaja yang datang daripada mimpi atau pihak yang percaya dan menerima apa sahaja yang datang daripadanya. Pendirian yang betul ialah kita tidak menerima atau tidak menolak apa yang datang daripada mimpi tanpa ilmu dan usul periksa kerana semua mimpi tertakluk kepada pertimbangan syarak. Ketiadaan sifat maksum pemimpi tidak dapat mengatasi sifat maksum yang ada pada syariat Islam.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:00 AM