KERATAN Akhbar Harian Metro.
KERATAN Akhbar Harian Metro.
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ISU ajaran sesat bukanlah satu perkara yang asing dalam kamus kehidupan umat Islam. Ini kerana ia datang seiring dengan kehidupan manusia. Terkini muncul ajaran yang dikenali Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang didedahkan oleh akhbar Metro Ahad secara bersiri sejak Ahad lalu.

Menerusi laporan berkenaan, beberapa agensi pihak berkuasa termasuk jabatan agama sudah memberi maklum balas dan diharapkan suatu tindakan segera dapat diambil. Ajaran ini  dibawa oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara sedar dengan Nabi Muhammad SAW. Wanita itu juga menggunakan platfom media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk menyebarkan pelbagai dakwaan dan ramalan pelik di samping telah memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh dalam Perang Dunia Ketiga nanti. 

Meninjau realiti umat Islam dewasa ini, sebahagian umat Islam masih belum memahami dan terkeliru berkenaan hakikat sebenar kesesatan yang terdapat dalam sesuatu ajaran sehingga berlaku tuduh menuduh di kalangan umat Islam hingga ke tahap mempertikaikan akidah dan pegangan masing-masing. Tetapi, apa yang paling menyedihkan ialah pendukung ajaran sesat berjaya pula mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk bersama-sama meneruskan kegiatan mereka yang sesat itu. Lebih daripada itu, pendokong ajaran sesat sanggup menuduh dan melabelkan orang beriman yang tidak bersama mereka sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran yang sebenarnya. 

Kemelut ajaran sesat ini boleh berlaku apabila kejahilan terhadap ajaran Islam sebenarnya masih lagi menunjangi ruang lingkup kehidupan umat Islam. Mereka jahil tentang makna iman dan Islam yang sebenarnya yang menuntut ketundukan dan kepatuhan yang penuh tulus lagi kudus semata-mata kepada Allah sahaja. Begitu juga mereka tidak arif tentang batas-batas iman dan Islam yang menghampirkan mereka ke sempadan kesesatan dan kekufuran. Mereka tidak menyedari bahawa amalan khurafat dan ajaran sesat tersebut adalah bertentangan dengan Islam dan seterusnya ia boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kancah kesesatan dan kekufuran yang dilaknati Allah.

Justeru, setiap Muslim diwajibkan oleh Islam supaya menimba ilmu Islam daripada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah. Dalam hal ini, terserlah peranan ulama sebagai pewaris Nabi dalam menyebarkan ilmu Islam di kalangan masyarakat Islam di samping menggalas tugas penegak kebenaran dan pencegah kemungkaran sebagaimana diperintahkan Allah. 

Tambahan pula ketiadaan maklumat terperinci dan garis panduan khusus berkenaan tarekat atau  ajaran yang menyeleweng menyebabkan umat Islam masih terkeliru dan salah faham terhadap konsep bertarekat menurut ajaran Islam yang sebenarnya. Oleh sebab itulah, hampir semua ciri dan ajaran yang disebarkan oleh sesuatu ajaran sesat berselindung di sebalik penggunaan istilah Arab yang boleh mengelirukan pengikutnya seperti ajaran Hakikat Insan, ajaran Nur Zaman, Imam Mahdi, ajaran Taslim, wahdah al-wujud, al-fana', kasyaf, ilmu laduni dan sebagainya. Penggunaan istilah tersebut mudah meyakinkan orang-orang yang tidak mempunyai pengetahuan secukupnya tentang Islam. 

Berpunca daripada kejahilan inilah menyebabkan berlakunya kekosongan jiwa dalam diri seseorang manusia. Kekosongan jiwa bermaksud jiwa seseorang itu telah kosong daripada nilai-nilai kerohanian dan agama yang terdahulu. Ini mungkin akibat daripada penolakan masyarakat terhadap agama disebabkan oleh perasaan kagum dengan pencapaian sains dan teknologi. Mereka meyakini sains boleh mencapai segala yang mereka ingini.

Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah kegagalan sains dan teknologi dalam memenuhi tuntutan kerohanian manusia. Oleh kerana itu, jiwa manusia telah kosong dan meluap-luap cuba mencari erti hidup, maka terjadilah apa yang dikatakan sebagai spiritual explosion ataupun ledakan kerohanian.

Apabila kekosongan jiwa berlaku, maka seseorang itu akan cuba mencari apa sahaja untuk memenuhi jiwanya melalui dua cara yang ekstrem sama ada kepada ekstrem mencari ajaran yang dianggapnya keagamaan, pada hal ia adalah ajaran sesat atau kepada ekstrem mencari keseronokan dan kegembiraan seperti mengambil dadah, arak atau muzik yang bersifat kekerasan (heavy metal).

Fitrah manusia yang mahu beragama dan ingin mencari kebenaran menyebabkan ramai mudah terjebak dengan ajaran sesat. Ini kerana kejahilan menyebabkan mereka terkeliru dan membuat pertimbangan yang salah apabila berdepan di antara kebenaran dan kebatilan sehingga mereka kehilangan punca dan pedoman yang manakah yang perlu diikuti dan yang manakah yang perlu dijauhi. Gejala ajaran dan juga amalan sesat menjadi semakin teruk melanda umat Islam apabila seseorang itu tidak dapat menerima kebenaran, sebaliknya menganggap kebatilan yang dianuti mereka pula sebagai kebenaran.

Setiap ajaran sesat mempunyai ciri-ciri dan daya tarikan yang mampu menimbulkan minat dan menggoda serta sukar ditolak oleh mereka yang menjadi sasarannya. Salah satu faktor yang menjadi daya tarik pada ajaran sesat itu ialah ciri-ciri mudah dan ringan yang ada padanya. Kebanyakan ajaran sesat muncul di Malaysia secara umumnya mengajarkan bahawa amalan berat yang mesti dilakukan di dalam ajaran Islam yang sebenar tidak perlu dilakukan iaitu sudah cukup dengan berniat sahaja. Dengan demikian, ajaran sesat itu melepaskan pengikutnya daripada tanggungjawab agama seperti solat lima waktu, puasa, zakat dan haji.

Kerahsiaan merupakan antara ciri utama yang terdapat pada sesuatu ajaran sesat. Dalam hal ini, apabila seorang guru atau pemimpin ajaran sesat berjaya menarik seseorang pengikut ke dalam ajarannya, maka pengikutnya itu akan diminta bersumpah setia tidak akan membocorkan rahsia ajaran dan kumpulannya kepada orang lain. Malah, mereka juga akan bersumpah taat setia kepada guru atau pemimpin yang mereka yakini sebagai berkuasa mutlak, suci dan penyelamat umat. Imej rahsia inilah yang memudahkan pergerakan ajaran sesat di samping menyukarkan pihak berkuasa mengesan dan mencari bukti pergerakan ajaran tersebut. 

Dalam masa sama, pihak kerajaan sewajarnya berganding bahu bersama-sama dengan ulama dalam menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat dan amalan khurafat yang menyesatkan ini. Setakat ini hukuman yang dikenakan iaitu denda RM5,000, penjara 3 tahun dan sebatan enam kali kepada pemimpin atau pengamal ajaran sesat kurang setimpal dengan kesalahan jenayah akidah yang amat serius. Untuk itu, hukuman yang lebih keras di samping menggubal akta murtad amat perlu disegerakan bagi membanteras gejala ajaran sesat yang semakin meruncing. Malah, enakmen antara negeri-negeri di Malaysia wajar diseragamkan bagi menghapuskan gejala ajaran sesat dari akar umbi lagi.

Di samping itu, ketiadaan unit khusus berkaitan pemurniaan akidah dan ajaran sesat di bawah seliaan bahagian penguatkuasaan di Jabatan Agama masing-masing, kekurangan kakitangan, prosedur tindakan yang mengambil masa yang panjang dan ketiadaan kerjasama daripada masyarakat Islam setempat merupakan di antara faktor penyebaran ajaran sesat di Malaysia. Ini kerana unit penguatkuasaan yang sama juga bertanggungjawab membuat rondaan pencegahan maksiat dan sebagainya.

Kesimpulannya, setiap Muslim dewasa ini sewajibnya kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah SAW yang merupakan khazanah yang tiada ternilai yang berupaya memimpin umat Islam ke arah kebenaran dan seterusnya menyelamatkan mereka daripada kesesatan.

Rasulullah SAW memberi pesanan yang amat berharga kepada umatnya yang dikasihi lewat sabdanya yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya." (Hadis riwayat Imam Malik)

Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 5:59 AM