GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Hafiz Ali Makdom

Wanita makhluk ciptaan Allah SWT yang terindah di dunia ini dalam kalangan manusia.

Pelbagai gelaran dan panggilan diberikan kepada mereka berdasarkan tanggungjawab yang berbeza-beza. Antara nama panggilan yang selalu dipanggil dalam kalangan wanita ialah ibu, kakak, adik, cikgu dan nenek.

Namun, wanita tidak terlepas daripada berlakunya satu fenomena dalam diri mereka iaitu mengeluarkan darah yang bernama haid, nifas dan istihadah. Asal usul permulaan keluar darah haid pada wanita ini berlaku perselisihan dalam kalangan fuqaha.

Shaykh al-Khatib al-Sharbini menyatakan dalam Mughni al-Muhtaj bi Sharh al-Minhaj bahawa sebahagian fuqaha seperti Sayyidina Abdullah bin Mas'ud dan Sayyidatina Aisyah menjelaskan riwayat yang menunjukkan wanita pertama yang keluar darah haid berkenaan ialah wanita Bani Israel.

Kitab Tuhfah al-A'izza menyatakan pandangan kedua bahawa wanita pertama yang mengeluarkan darah haid ialah ibu segala manusia iaitu Sayyidatina Hawwa' tatkala beliau mematahkan pokok gandum dan mengeluarkan airnya.

Kemudian Allah SWT berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku akan mengalirkan darah kamu sebagaimana kamu mengalirkan air pokok ini."

Pandangan ini juga dibawa oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari Sharah Shahih al-Bukhari terhadap riwayat Sayyidina Abdullah bin Abbas dengan sanad yang shahih bahawa Sayyidatina Hawwa' manusia pertama yang mengeluarkan darah haid selepas dikeluarkan daripada syurga.

Walaupun begitu, Imam al-Bukhari juga memberikan pandangan dalam Shahih al-Bukhari bahawa kedatangan darah haid ini sememangnya ditetapkan oleh Allah SWT pada asal penciptaan wanita kerana berdasarkan hadis Nabi SAW riwayat Imam al-Bukhari: "Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang ditentukan oleh Allah SWT ke atas perempuan dalam kalangan anak Adam iaitu darah haid."

Bagaimanapun, Dr Mustafa Deeb al-Bugha menyatakan pandangannya dalam Ta'liqat Shahih al-Bukhari bahawa pendapat yang menyatakan bahawa wanita Bani Israel atau Sayyidatina Hawwa' orang pertama yang mengeluarkan darah haid itu dengan makna manusia pertama yang banyak mengeluarkan darah haid berbanding manusia lain.

Oleh itu, Shaykh Ibn Qasim al-Ghazzi menyebutkan dalam Fath al-Qarib Sharah al-Ghayah wa al-Taqrib bahawa fuqaha membuat kesimpulan berdasarkan kajian mereka terhadap darah yang keluar melalui faraj wanita ini tiga jenis iaitu darah haid, darah nifas dan darah istihadah namanya. Bukan itu sahaja, bahkan Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam Tawshih ala Fath al-Qarib al-Mujib dan Imam Ibrahim al-Bayjuri dalam Hashiyah al-Bayjuri ala Fath al-Qarib mengatakan bahawa ketiga-tiga jenis darah wanita ini bersangkut paut dengan hukum syarak untuk menetapkan pada waktu manakah dihukumkan haid, nifas dan istihadah.

Kebanyakan wanita mengambil mudah dengan hukum yang berkait dengan darah ini sehingga mereka berasakan mampu berijtihad untuk menyatakan masa mana dihukumkan haid atau nifas dan masa mana yang dihukumkan sebagai istihadah sedangkan mereka jahil serta tidak pernah mempelajari hukum-hakam berkaitan darah wanita dengan sistematik bersama guru yang faqih. Perkara ini juga tidak menafikan kemungkinan berlaku kesilapan juga berkaitan hukum darah wanita ini kepada tenaga pengajar haid, nifas dan istihadah ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' Sharah al-Muhazzab bahawa kebanyakan ulama fiqah pada zamannya melakukan kesilapan dalam menghukumkan darah wanita ini kerana masalahnya yang sukar dan cabangnya yang mendalam. Oleh sebab itu, tenaga pengajar bab darah wanita ini perlu berhati-hati dalam menghuraikan masalah supaya tidak berlaku kesilapan yang jelas pada masalah yang dianggap mudah dalam bab darah ini hasil daripada kecuaian mereka sendiri.

Tambahan lagi, orang awam dalam kalangan wanita yang juga tidak terlepas daripada keluarnya darah ini perlu bersungguh-sungguh untuk mempelajari hukum-hakam yang berkaitan dengan darah wanita ini. Hal ini kerana ia secara tidak langsungnya berkaitan dengan sahnya sembahyang, puasa dan ibadah lain yang mensyaratkan suci daripada haid serta nifas.

Kadang-kadang wanita itu sembahyang dalam keadaan dia diharamkan sembahyang dan kadangkala wanita terbabit tidak menunaikan sembahyang dalam keadaan dia diwajibkan sembahyang.

Ini semua berpunca daripada kejahilan berkaitan fardu ain mengenai darah wanita. Oleh itu, pengajian berkaitan dengan fiqah darah wanita amat dituntut bahkan wajib mempelajarinya ke atas wanita kepada guru yang faqih walaupun guru itu lelaki kerana kefaqihan dan kefahaman terhadap masalah darah wanita ini tidak tertentu kepada perempuan sahaja. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan kenyataan Shaykh Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj dan Shaykh Abdul Hamid al-Shirwani dalam Hashiyah al-Shirwani ala Tuhfah al-Muhtaj bahawa segala kaedah dalam masalah fiqah darah wanita seperti sekurang-kurang tempoh haid, sebanyak-banyak tempoh haid, sekurang-kurang tempoh suci dan sebagainya semuanya berdasarkan istiqra' (kajian) Imam al-Syafie dengan sekira-kira jika bercanggah jadual keluar wanita itu istiqra' (kajian) Imam al-Syafie maka akan diambilkan hukum berdasarkan kaedah mazhab yang ditetapkan dalam kitab muktabar.

Oleh yang demikian, mempelajari bab berkaitan darah wanita ini bukan hanya tertakluk kepada wanita bahkan suami juga memikul tanggungjawab dalam kewajibannya mempelajari darah wanita ini.

Jika suami gagal memberikan ilmu fardu ain berkait darah wanita ini kepada isteri dan anak maka dia telah melakukan dosa tanpa disedarinya meskipun suami itu ahli ibadat sekalipun kerana itu termasuk dalam tanggungjawabnya seperti termaktub dalam kitab Muhimmah. Oleh sebab itu, Shaykh al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj, Shaykh Abdul Hamid al-Shirwani dalam Hashiyah al-Shirwani ala Tuhfah al-Muhtaj dan Shaykh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin mengatakan bahawa terdapat tiga jalan atas suami untuk melepaskan tanggungjawabnya dalam menghidangkan ilmu fardu ain kepada isteri dan anak.

Pertamanya, suami sendiri sudah alim berkaitan dengan ilmu fardu ain darah wanita maka wajib dia mengajarkannya. Kedua, suami sendiri yang belajar dengan guru yang ahli kemudian mengajarkan semula kepada ahli keluarganya. Ketiga, suami menghantarkan isteri dan anaknya kepada tempat yang boleh mereka mempelajari fiqah darah wanita ini kepada ahlinya.

Bukan itu sahaja, bahkan fuqaha menyatakan bahawa suami yang menghalang isterinya daripada keluar rumah untuk mempelajari ilmu fardu ain seperti mengenai darah wanita hukumnya haram kerana wajib perempuan mempelajari hukum-hakam yang bersangkut paut dengannya. Mudah-mudahan umat Islam secara khususnya dapat mencelikkan mata untuk mendalami ilmu darah wanita ini bahkan ia suatu kewajiban ditetapkan syarak agar ibadah yang sepatutnya wajib dilakukan dapat dilaksana tanpa ragu dan ibadah dilarang untuk melakukannya ditinggalkan kerana menurut perintah Allah SWT berdasarkan ilmu bukan atas dasar mengikut orang lain yang tiada ilmu berkait dengannya.

Penulis pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Usuluddin), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 10:36 AM