USAH kita harapkan orang lain mendoakan kebaikan untuk negara ini.
USAH kita harapkan orang lain mendoakan kebaikan untuk negara ini.
Mohd Shahrizal Nasir

Meskipun sekarang negara dilanda wabak Covid-19, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita melupakan ulang tahun kemerdekaan tanah air. Tanggal 31 Ogos perlu terus diingati kerana ia boleh membangkitkan semangat juang untuk memelihara kedaulatan negara tercinta Malaysia. Semua orang perlu berbangga kerana menjadi warganegara sebuah tempat yang unik dan sarat dengan nilai kepelbagaian yang mendamaikan.

Tambahan pula, sekarang kita masih perlu meneruskan perjuangan bagi memastikan Covid-19 pergi meninggalkan bumi bertuah ini. Sepertimana semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh pejuang tanah air ketika memerdekakan negara daripada cengkaman penjajah, maka semangat itulah juga yang perlu ada dalam diri setiap rakyat Malaysia untuk membebaskan negara daripada pandemik Covid-19.

Satu ketika dahulu, pejuang tanah air berjuang untuk kesenangan orang lain generasi yang bakal menghuni negara tercinta ini. Semangat juang yang sama perlu diterapkan bagi mendepani cabaran Covid-19. Kita perlu berkorban bagi memastikan diri sendiri dan orang lain yang mendiami bumi bertuah ini bebas daripada cengkaman pandemik yang mengancam nyawa.

Apabila diri sentiasa ada semangat berkorban demi untuk keselamatan orang lain, Malaysia akan menjadi sebuah tempat yang mengecapi nikmat keselamatan daripada sebarang bentuk wabak berjangkit. Sebaliknya jika orang ramai hanya mementingkan diri sendiri tanpa mematuhi prosedur  operasi standard  (SOP) yang ditetapkan, maka bukan sahaja wabak boleh menular dengan pantas, tetapi juga boleh menyebabkan berlakunya perbalahan sesama sendiri kerana masing-masing saling membuat pertikaian.

Tatkala menyentuh soal kecaknaan setiap individu terhadap ketetapan yang dibuat untuk mengekang penularan wabak Covid-19, ia sepatutnya tidak boleh berlaku double standard antara pemimpin dengan orang bawahan. Wujudnya jurang perbezaan dalam aspek pematuhan ketetapan yang dibuat akan menyebabkan timbul suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Masing-masing saling kutuk-mengutuk dan perli-memerli kerana berlaku ketidakadilan sedangkan setiap orang memikul tanggungjawab yang sama untuk memastikan Malaysia bebas daripada Covid-19. Bukankah pemimpin itu perlu menjadi contoh ikutan terbaik kerana merekalah yang bertanggungjawab mengemudi negara tatkala dilanda ujian kesihatan ketika ini.

Sebuah hadis daripada Ibnu Umar, bahawa baginda SAW bersabda: "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab ke atas rakyatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Pejuang tanah air terdahulu juga menunjukkan teladan mulia apabila mereka berusaha mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Usaha mereka membebaskan tanah air menjadikan negara ini sebuah negara yang berdaulat. Tidak ada satu pun yang mereka lakukan bertujuan mencemarkan nama negara di mata dunia. Bagaimana generasi anak watan Malaysia pada hari ini berusaha menjaga nama baik Malaysia kalaupun tidak mampu mengharumkannya?

Dengan kepesatan dunia teknologi maklumat hari ini, orang di luar sana boleh mengakses pelbagai berita tentang Malaysia dengan mudah. Ada dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri yang sanggup menyebarkan berita palsu yang mencemarkan nama baik Malaysia di mata orang luar.

Tidak dinafikan timbul pelbagai perkara tidak baik melibatkan suasana semasa di Malaysia. Sebagai contoh, percaturan politik tanah air sedikit sebanyak mencalarkan imej Malaysia yang sepatutnya terus kekal menjadi negara Islam contoh. Pergolakan politik berlaku kerana semua pihak tidak mampu untuk sama-sama berbincang secara harmoni dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik masing-masing. Sepatutnya semua usaha dan tenaga perlu diarahkan kepada usaha membantu rakyat menangani kesempitan hidup dek kerana puncanya ialah Covid-19.

Percaturan politik berlaku bukannya hanya dalam kalangan pemimpin, malah lebih teruk lagi melibatkan masyarakat awam yang masing-masing berpihak kepada parti politik masing-masing. Suasana sebegini sangat menyedihkan tambahan pula ia berlaku dalam bulan Muharam yang termasuk dalam bulan haram.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kalian menganiaya diri kalian di dalamnya." (Surah at-Taubah, ayat 36)

Syeikh 'Abd ar-Rahman as-Sa'di  menafsirkan ayat al-Quran tersebut dengan merujuk kepada larangan bagi manusia untuk melakukan penganiayaan atau kezaliman dalam empat bulan haram tersebut secara khusus. Ini kerana empat bulan tersebut iaitu Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah merupakan bulan yang mempunyai kemuliaan dengan Allah SWT menawarkan pelbagai ganjaran besar dengan penyempurnaan ibadah wajib dan sunat.

Sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan dalam empat bulan tersebut juga melibatkan pembalasan yang lebih berat jika dibandingkan dengan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan pada bulan selainnya. Justeru, setiap orang Islam tidak boleh membiarkan diri terjebak dalam perbuatan yang mengundang penganiayaan dan kezaliman lebih-lebih lagi melibatkan kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta ini.

Oleh itu, pentingnya agar setiap permasalahan yang berlaku dirujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah. Apabila manusia mencari penyelesaian selain daripada yang dimaktubkan dalam kedua-dua sumber tersebut, maka masalah yang timbul tidak akan menemui titik kesudahannya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah an-Nisa', ayat 59)

Umat Islam perlu terus berusaha memastikan negara ini sentiasa diberkati oleh Allah. Tindakan yang dilakukan dengan berpegang kepada ketetapan daripada-Nya akan membuatkan negara ini terus dilimpahi keberkatan daripada-Nya. Usah hanya berpada mengungkap ayat cintakan tanah air di bibir sahaja sedangkan perbuatan diri sendiri tidak mencerminkan kecintaan kepada negara.

Usah kita harapkan orang lain mendoakan kebaikan untuk negara ini, sebaliknya kitalah yang perlu terus istiqamah menadah tangan memohon agar Allah terus melimpahkan rahmat-Nya ke atas bumi bertuah ini. Contohilah kecintaan Nabi Ibrahim terhadap bumi Makkah menerusi doa baginda yang dirakamkan dalam al-Quran.

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: "(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali." (Surah al-Baqarah, ayat 126)


Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 6:00 AM