FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Datuk Mohd Ajib Ismail

Sejarah merakamkan ungkapan penuh bermakna daripada seorang tentera Islam bernama Rib'i ibn 'Amir ketika berhadapan dengan panglima tentera Rom yang menegaskan bahawa: "Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."

Seruan berkenaan  adalah bertepatan dengan maksud kebebasan dan kemerdekaan yang sebenar serta selaras dengan matlamat pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman Allah dalam surah al-Jumu'ah ayat 2 yang bermaksud: "Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."

Justeru pengabdian diri kepada Allah SWT adalah kunci utama kemerdekaan selari dengan tujuan utama manusia diciptakan seperti firman Allah di dalam surah al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Setiap insan perlu menginsafi tanggungjawab untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan cara memperkukuhkan jati diri Muslim meliputi aspek akidah, syariah dan akhlak bagi mendepani badai kehidupan yang semakin mencabar.

Selain pengabdian diri kepada Allah SWT, amalan mengambil peduli dan prihatin terhadap kesusahan yang dialami oleh insan lain juga menjadi perkara penting di dalam sebuah masyarakat dan negara yang merdeka. Sifat prihatin akan mendorong seseorang untuk mengorbankan kepentingan diri dan mengutamakan keperluan orang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

Masyarakat yang merdeka juga sentiasa menghayati erti pengorbanan dalam kehidupan. Jika dahulu pejuang kemerdekaan berkorban menentang penjajah, kini semangat pengorbanan tersebut diperlukan untuk berhadapan dengan pelbagai bentuk penjajahan baharu termasuklah ketika negara melawan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Sepanjang berhadapan dengan penularan wabak tersebut kita menyaksikan pelbagai pihak  berkorban tenaga, masa dan nyawa bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

Pemimpin berusaha mencari jalan terbaik untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang sejahtera serta terhindar dari wabak berbahaya. Petugas barisan hadapan berkorban demi memastikan pesakit mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Pesakit yang dijangkiti wabak berjuang bertarung nyawa, ahli keluarga terpaksa berpisah dan berjauhan dari orang yang tercinta, ketua keluarga bergelut mencari rezeki bagi menyara keluarga, bahkan sebahagian orang kehilangan pekerjaan dan terpaksa memulakan pekerjaan baharu. Natijah yang diharapkan dari segala pengorbanan tersebut adalah kemenangan, kebebasan dan kemerdekaan dari belenggu kesukaran dan kesulitan.

Warga negara yang merdeka bertanggungjawab untuk memupuk dan mempertahankan keharmonian dalam masyarakat. Ajaran Islam menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, budaya, bangsa, bahasa dan sebagainya adalah suatu keistimewaan dan tanda kebesaran Allah SWT.

Kepelbagaian tersebut mestilah diterjemahkan sebagai kebaikan untuk saling mengenali dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)."

Sebarang perbezaan dan pertelingkahan tidak seharusnya diperbesarkan sebaliknya berusaha mencari jalan bagi mempereratkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Segenap lapisan masyarakat perlu mengamalkan cara hidup yang harmoni dengan menghargai kemajmukan, hidup dalam kedamaian serta menjaga hubungan antara kaum dan agama. Teras yang paling utama adalah sifat saling menghormati di atas prinsip kemanusiaan, serta menghormati perbezaan dan kepelbagaian agama serta kepercayaan.

Slogan 'Keluarga Malaysia' yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke-9 baru-baru ini sesuai dijadikan asas untuk mengorak langkah ke hadapan bagi membina sebuah negara yang inklusif mengambil kira kepentingan semua pihak merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum berasaskan nilai-nilai di dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Setiap warga negara bertanggungjawab untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikecapi sepertimana anjuran di dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.'"

Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memelihara dan mengekalkan kemerdekaan negara Malaysia tercinta dengan memberikan sokongan terhadap segala usaha kerajaan yang mengutamakan kemaslahatan rakyat dan selari dengan tuntutan syariat Islam. Mudah-mudahan dengan segala usaha dan sokongan  tersebut kemenangan sentiasa menjadi milik kita dan kemerdekaan pasti dapat terus dipertahankan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:00 AM