KETIKA sambutan Maulidur Rasul, selain pembacaan sirah Rasulullah SAW ada yang melakukan persembahan hadrah dengan paluan kompang.
KETIKA sambutan Maulidur Rasul, selain pembacaan sirah Rasulullah SAW ada yang melakukan persembahan hadrah dengan paluan kompang.
Addin

Antara tujuan sambutan Maal Hijrah pada permulaan Muharam adalah bagi mengajak umat Islam menghayati sirah dan perjuangan dakwah Nabi SAW dan mengambil pelbagai ibrah serta pengajaran daripadanya. Semangat yang sama turut diserapkan dalam sambutan Maulidur Rasul pada Rabiulawal.

Dalam mengisi sambutan ini, terdapat sesetengah pihak mengkritik sebahagian ustaz dan penceramah yang menggunakan hadis daif kerana menurut pandangannya ia ditolak. Namun, apabila diteliti semula kita mendapati ulama tidak pun menolak penggunaan hadis daif dalam bab sirah Nabi SAW atau mensyaratkan riwayatnya mesti mencapai tahap sahih.

Ia berbeza dalam hal akidah dan hukum yang memerlukan kepada hadis sahih sebagai dalil. Kata Imam Ahmad: "Sekiranya kami meriwayatkan daripada Rasulullah SAW tentang halal dan haram, sunah dan ahkam, kami akan perketatkan sanadnya. Namun, apabila kami meriwayatkan daripada Nabi SAW berkenaan fadilat amal dan perkara yang tidak menetapkan hukum atau mengangkatnya, kami akan melonggarkan sanadnya."

Toleransi ulama hadis dalam bab sirah dapat dilihat pada pandangan al-Hafiz az-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' mengenai tokoh sejarah al-Waqidi, katanya: "Telah jelas bahawa al-Waqidi adalah daif, hanya diperlukan dalam bab peperangan dan sejarah serta kami membawakan riwayatnya tanpa tujuan berhujah." Katanya lagi: "Kedudukannya di sisiku adalah beliau di samping daifnya, masih boleh ditulis serta diriwayatkan hadisnya kerana aku tidak menuduh beliau memalsukan hadis."

Menurut Imam Ibn Abd al-Barr dalam al-Isti'ab setelah membawakan hadis Lahib bin Malik RA berkenaan tanda kenabian, katanya: "Sanad hadis ini daif dan kalau terdapat padanya hukum, pasti aku tidak akan menyebutkannya disebabkan perawinya majhul dan Imarah bin Zaid dituduh memalsukan hadis. Tetapi, ia mempunyai makna yang baik daripada tanda kenabian. Dalil usul bagi hadis seperti ini juga tidak menolaknya, bahkan membenarkan serta menyokongnya."

Kata al-Hafiz Ibn Sayyid an-Nas dalam 'Uyun al-Athar: "Pendapat dipegang oleh ramai ahli ilmu adalah memberi kelonggaran terhadap perkara yang melembutkan hati dan yang tiada hukum padanya seperti khabar peperangan dan yang seumpama demikian. Sesungguhnya ia boleh diterima padanya oleh pihak yang tidak menerimanya dalam bab halal dan haram kerana ia tidak pun berkaitan dengan ahkam".

Al-Hafiz al-Iraqi bersyair dalam Alfiyyah as-Sirah: "Hendaklah pelajar mengetahui bahawa sirah menghimpunkan apa yang sahih dan apa yang diingkar. Namun, tujuannya bagi menyebut apa yang dibawakan ahli sirah, meskipun sanadnya tidak muktabar. Jika yang sahih lain daripada apa yang disebutkan maka aku nyatakan apa yang sahih itu dan yang sudah tersebar."

Terdapat idea yang dikemukakan agar kaedah ilmu hadis diamalkan untuk menguji keabsahan riwayat sirah. Secara ilmiah, idea itu tiada masalah kerana perkara ini termasuk dalam skop ijtihad dan setiap pihak berhak untuk memilih pandangan yang terbaik baginya.

Namun, perlu diingat bahawa keharusan meriwayatkan hadis daif dalam bab sirah adalah metode ramai ulama hadis. Maka, sebaik-baiknya apabila kita mengaplikasikan kaedah ilmu hadis itu, janganlah pula kita meninggalkan metode ulama hadis berkenaan dengan membuang hadis daif walaupun tiada sebarang percanggahan dalam riwayatnya.

Tidak dinafikan wujud isu sirah yang memerlukan kepada perbincangan lanjut disebabkan pertikaian pada sanad atau matan hadis yang membawa kepada perselisihan pendapat antara ulama. Juga isu yang perlu kepada pemurnian akibat kekeliruan dan percanggahan fakta. Namun, kesemuanya perlulah dilihat secara halus dan teliti.

Memang diakui ada di antaranya adalah kesilapan fakta disebabkan kepalsuan hadisnya. Namun, ada di antaranya yang tidak boleh disebut sebagai kesilapan fakta kerana perselisihan ulama mengenainya telah masyhur dan pendapat yang kuat di antaranya pula masih bersifat ijtihadi seperti tarikh lahir Nabi SAW, api biara Majusi terpadam dan istana Kisra Parsi bergegar sewaktu kelahiran baginda, Nabi SAW lahir dalam keadaan berkhatan, kisah Nabi SAW berjumpa Rahib Bahira, mengenai umur Saidatina Khadijah RA ketika berkahwin dan sebagainya.

Sekalipun hadis daif, selagi tidak jelas kepalsuannya serta tiada riwayat lain yang menyanggahnya dengan jelas maka ia sewajarnya tidak perlu dikesampingkan. Apatah lagi jika hadis itu berkaitan perkara yang berlaku pada zaman sebelum kebangkitan Nabi SAW, apabila belum muncul lagi perawi hadis bahkan agama Islam pun belum terzahir. Kemungkinan dengan membuang riwayat daif akan menyebabkan kecanggungan dan kelompongan kronologi antara peristiwa sirah yang berlaku.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 9:27 AM