IBADAH korban akan melahirkan umat yang memiliki sifat simpati sesama insan, memperkukuh  hubungan dengan Allah SWT serta  sesama manusia.
IBADAH korban akan melahirkan umat yang memiliki sifat simpati sesama insan, memperkukuh hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia.
Datuk Mohd Ajib Ismail

PADA 10 hari pertama dalam bulan Zulhijah adalah hari yang paling istimewa.

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini - baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijah." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda: "Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali." (Riwayat Al-Bukhari)

Antara amalan yang dianjurkan adalah seperti bertaubat dan beristighfar, membaca al-Quran, bersedekah, berzikir dan berselawat, memelihara silaturahim, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan solat berjemaah di awal waktu.

Zulhijah juga adalah bulan umat Islam mengerjakan haji, menunaikan ibadah korban dan meraikan Hari Raya Aidiladha. Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua hari raya. Maka Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha." (Riwayat Ahmad)

Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali Hari Raya Korban ditetapkan pada hari kesepuluh bulan Zulhijah iaitu bulan terakhir kalendar Hijrah Islam.

Seperti Hari Raya Aidilfitri, pada Hari Raya Korban ini juga, umat Islam disunatkan memakai pakaian yang paling cantik, bersih dan juga memakai wangi-wangian. Umat Islam dituntut mengerjakan solat sunat Aidiladha sebanyak 2 rakaat dengan tujuh takbir pada rakaat pertama diikuti lima takbir pada rakaat kedua. Di Wilayah Persekutuan, solat sunat Aidiladha dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan. Bagi yang tidak berpeluang menunaikan solat di masjid dan surau, bolehlah melaksanakannya di kediaman masing-masing bersama ahli keluarga tercinta. Pada hari tersebut, kaum Muslimin digalakkan untuk memperbanyakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid memuji kebesaran Allah SWT.

Memasuki tahun yang kedua umat Islam di Malaysia mendepani wabak pandemik Covid-19, peluang untuk menunaikan ibadah haji dan melaksanakan ibadah korban sebagaimana kelaziman agak terhad dan terbatas. Walau bagaimanapun ia bukanlah halangan untuk umat Islam meraih ganjaran pahala melalui pelbagai ibadah lain yang dituntut di dalam Islam. Berkenaan pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini, kebenaran menunaikan haji diberikan kepada 263 orang rakyat Malaysia sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Umat Islam yang lain boleh melaksanakan puasa sunat Hari Arafah pada 9 Zulhijah yang mempunyai fadilat yang besar sebagaimana hadis daripada Abu Qatadah al-Anshari RA maksudnya: Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang." (Riwayat Muslim)

Di Wilayah Persekutuan, ibadah korban pada tahun ini masih boleh dilaksanakan melalui penganjuran program Musaadah Perdana Ibadah Korban berdasarkan SOP yang ditetapkan dalam norma baharu. Jawi melalui lapan Pusat Zon Masjid bertindak sebagai penyelaras bagi mendapatkan penyertaan dari masjid dan surau manakala semua proses penyembelihan termasuk lapah, potong dan pembungkusan daging korban dilaksanakan di Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan atau ladang ternakan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Daging korban yang siap dibungkus akan diedarkan kepada penerima dalam kalangan peserta, fakir miskin, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan berdasarkan jadual penghantaran mengikut zon bermula pada hari raya pertama hingga hari raya keempat.

Ibadah korban adalah sunnah yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya Allah mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim ketika Allah menebus anak baginda dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam, dikatakan kepada Rasulullah SAW maksudnya: "Apa itu korban?" Baginda bersabda, "Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim." Beliau bertanya lagi, "Apakah kebaikan kepada kami wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Setiap helai rambut adalah pahala." Katanya lagi, "Bagaimana pula dengan bulunya?" Baginda bersabda: "Setiap helaian rambut daripada bulunya ialah pahala." (Riwayat Ahmad)

Pensyariatan ibadah korban adalah penting agar umat Islam dapat mencontohi perjuangan, pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS serta keluarga baginda dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Ketaatan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah jelas menunjukkan betapa teguhnya keimanan mereka ketika mengharungi ujian besar dalam kehidupan. Oleh itu umat Islam wajar berusaha menterjemahkan sifat sabar dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh baginda berdua di dalam kehidupan seharian.

Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan tanda kesyukuran hamba di atas segala nikmat kurniaan Tuhan. Melalui agihan daging korban kepada golongan yang memerlukan, ia dapat melatih umat Islam untuk mengikis sifat tamak dan bakhil dalam membelanjakan harta serta melahirkan sifat pemurah untuk menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin.   Selain itu, umat Islam juga dapat menghayati kepentingan memelihara kesatuan dan perpaduan dalam masyarakat melalui sifat prihatin dan mengambil berat kesusahan orang lain. Bagi mengekalkan perpaduan dan keharmonian, semangat pengorbanan dan kerjasama yang berterusan adalah diperlukan daripada semua pihak lebih-lebih lagi di dalam tempoh getir memerangi wabak Covid-19 melalui cara mendokong segala ikhtiar yang ditetapkan serta bersama-sama membantu meringankan bebanan golongan yang terkesan dan memerlukan.

Umat Islam juga harus menanamkan iltizam untuk sentiasa mengutamakan kepentingan golongan yang lebih memerlukan serta turut menyumbang dengan kemampuan yang ada ketika diperlukan. Amalan menghulurkan bantuan dan sumbangan sewajarnya diterapkan dan menjadi sifat utama orang bertakwa yang sentiasa berinfaq sama ada dalam keadaan lapang mahupun kesempitan. Penghayatan ibadah korban akan melahirkan umat yang memiliki sifat empati dan simpati sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama manusia. Setiap individu perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan asas utamanya adalah ketakwaan kepada Allah SWT. Justeru, hanya generasi yang bertakwa sahaja mampu memimpin umat untuk bersama-sama menjiwai semangat kesatuan yang amat diperlukan dalam masyarakat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:59 AM