PELBAGAI permasalahan yang timbul dalam masyarakat Islam akibat tidak mengamati sesuatu isu secara teliti.
PELBAGAI permasalahan yang timbul dalam masyarakat Islam akibat tidak mengamati sesuatu isu secara teliti.
Sahibus Samahah Datyuk Dr Luqman Abdullah

Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) ada menerima soalan berhubung hadis daif dan palsu diletakkan setara dan mesti ditolak secara keseluruhan.

Berdasarkan persoalan di atas, hadis daif dan hadis palsu tidak boleh disamakan kerana perbezaannya adalah jelas, apabila hadis daif mempunyai pembahagiannya yang pelbagai dan perlu diperhalusi sebelum ia diterima untuk beramal atau ditolak. Hadis palsu pula adalah sesuatu yang direka-reka, tetapi disandarkan kepada baginda SAW tanpa rasa tanggungjawab dan amanah.

Bagi menjawab persoalan berkenaan, beberapa penerangan perlu dilakukan supaya jelas berhubung permasalahan berkenaan.

Pelbagai permasalahan yang timbul dalam masyarakat akibat tidak mengamati sesuatu isu secara teliti. Antara permasalahan itu, berlaku salah faham terhadap al-Sunnah apabila sebahagian masyarakat menyamakan hadis daif dengan palsu.

Mutakhir ini, banyak pandangan yang mengelirukan masyarakat awam membabitkan perbahasan ilmu hadis terutama yang melibatkan perbahasan hadis daif sehingga menyebabkan masyarakat menyamakan hadis daif dengan hadis palsu. Pandangan yang keliru dalam ilmu hadis ini dikemukakan segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan ilmu mereka miliki.

Pertama sekali, perlu difahami hadis daif adalah hadis yang tidak memenuhi syarat hadis sahih dan hasan. Berikut adalah definisi yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti menerusi 'Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi' bermaksud: Hadis daif adalah hadis yang tidak memenuhi sifat hadis sahih atau hadis hasan.

Definisi ini sebagaimana yang disebutkan dalam kebanyakan kitab ulum al-hadis klasik mahupun kontemporari. Bahkan, hadis daif adalah suatu subtopik yang paling banyak perbincangannya di dalam ulum al-hadis.

Hadis palsu pula diertikan sebagai ucapan yang bukan daripada Nabi SAW, tetapi disandarkan kepada baginda tanpa rasa bertanggungjawab oleh perawi tertentu. Imam Ibn al-Salah berpandangan hadis daif yang paling buruk atau rendah serta haram meriwayatkannya sama sekali melainkan jika dijelaskan status kepalsuan hadis tersebut. (Ma'rifah Anwa' 'Ulum al-Hadith)

Imam al-Suyuti menyatakan di dalam Tadrib al-Rawi bermaksud: Hadis palsu adalah sesuatu yang dicipta atau rekaan semata-mata dan ia seburuk-buruk hadis daif (tidak termasuk hadis daif yang boleh diriwayatkan dan diamalkan, tetapi yang dimaksudkan daif di sini ialah hadis palsu).

Imam al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' menukilkan bahawa Imam Ibn al-Salah menyatakan bermaksud: Boleh meriwayatkan hadis daif dengan kebarangkalian terkandung kebenaran dalam maknanya. Sejurus selepas beliau menyebutkan tentang tidak boleh meriwayatkan hadis palsu melainkan diikat (dengan penjelasan terhadap kepalsuannya), berbeza dengan hadis daif yang mempunyai kebarangkalian kebenarannya pada makna. (al-Qawl al-Badi' fi al-Salah ala al-Habib al-Syafi')

Menurut Imam al-Nawawi hadis daif boleh diamalkan jika memenuhi syarat berikut:

i. Hadis daif itu tidak palsu.

ii. Tidak berkaitan hukum-hakam.

iii. Boleh diamalkan dalam hal fada'il (kelebihan), targhib (galakan) dan tarhib (ancaman).

Menurut Syeikh Muḥhammad ʻAwwama hadis daif masih dinisbahkan kepada baginda Nabi SAW jika terdapat riwayat lain yang menyokong, sedangkan hadis palsu ialah pembohongan dan pendustaan semata-mata. Oleh kerana itu, beliau membahagikan hadis daif kepada 4 pembahagian:

i. Daif yang ringan

ii. Daif yang sederhana

iii. Daif yang berat

iv. Terkait perawi yang bersifat penipu dan suka memalsukan hadis.

Syeikh Muhammad Awwamah menggambarkan bahawa daif dan palsu itu sesuatu yang amat berbeza. Dengan adanya pembahagian ini, jelaslah bahawa bukan semua hadis daif itu mesti ditolak secara mutlak sebagaimana berlaku dalam masyarakat yang meletakkan hadis daif ini dalam satu kelompok setaraf dengan hadis palsu.

Kesimpulan yang boleh kita buat menerusi persoalan ini adalah umum perlu memahami pembahagian hadis dan jelas bahawa satu tindakan yang bahaya menyamakan hadis daif dengan palsu.

Melalui pembahagian yang sudah disebutkan di atas, salah faham yang berlaku dalam masyarakat dapat diselesaikan kerana hadis daif mempunyai kategori pelbagai dan syarat yang mesti dilihat serta diteliti barulah ia boleh ditetapkan sama ada diterima atau ditolak.

Oleh itu, tidak tepat sesiapa yang menyamakan hadis daif dengan hadis palsu kerana palsu itu jelas suatu perkataan yang direka-reka dan disandarkan kepada baginda SAW tanpa rasa bertanggungjawab. Untuk itu saja penerangan ringkas berkaitan persoalan berkenaan. Semoga kita semua beristiqamah dalam beribadah. Wallahualam.


Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:00 AM