ALLAH memuliakan manusia berbanding makhluk lain yang menghuni alam semesta ini. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
ALLAH memuliakan manusia berbanding makhluk lain yang menghuni alam semesta ini. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Manusia pada asal kejadiannya adalah makhluk yang suci bersih, tidak ternoda, apatah lagi berdosa. Ini berdasarkan pada sabda Rasulullah yang bermaksud: "Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani." (Hadis Riwayat Bukhari) 

Namun faktor persekitaran yang mewarnai pentas kehidupan kemudian mempengaruhi dan mengubah keperibadian dan perjalanan hidup manusia sehingga ada dalam kalangan mereka yang Muslim dan ada juga yang bukan Muslim. Inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas. 

Fitri atau fitrah bermaksud suci, bersih dan tidak ternoda. Fitrah manusia pada asal usul kejadiannya adalah suci kerana ia berasal daripada Zat yang Maha Suci iaitu Allah Taala. Oleh kerana kesucian manusia inilah, Allah memuliakan manusia berbanding makhluk lain yang menghuni alam semesta ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak Adam dan Kami beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan." (Surah al-Isra', ayat 70)

Kelahiran manusia yang pada asal kejadiannya adalah suci akhirnya berubah menjadi personaliti yang memiliki pelbagai ragam perangai dan perwatakan. Ada dalam kalangan mereka yang begitu teguh mempertahankan kesuciannya dengan menjunjung Islam sebagai cara hidupnya yang lengkap.

Tidak kurang juga ada dalam kalangan manusia yang berubah menjadi manusia yang berdosa dan berbuat jahat buat seketika, tetapi dia sempat bertaubat lalu menyucikan dirinya bernaung di bawah kalimah Allah. Lebih malang lagi ada juga sebahagian manusia yang berbuat jahat dan berdosa, namun tidak mahu membersihkan diri malah terus bergelumang dengan lembah dosa sehingga kematian datang menjemputnya pada kemudian hari. 

Begitulah warna-warni kehidupan menghiasi pentas kehidupan yang pasti dilalui oleh setiap manusia di alam maya ini. Perlu diinsafi bahawa dunia ini adalah seumpama tempat bercucuk tanam yang bakal menentukan arah dan hala tuju manusia ke tempat asalnya semula iaitu kembali kepada Allah Taala. 

Dalam hal ini, orang yang selalu berusaha membersihkan dirinya daripada noda dan dosa, maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan yang bersih serta suci seperti asal kejadiannya yang bersifat fitrah. Sebaliknya orang yang memiliki jiwa yang kotor, dia pula akan menghadap Allah Taala dalam keadaan kekotoran jiwanya. Sedangkan Allah Taala tidak akan menerima manusia yang kotor jiwanya.

Tegas Allah lewat firman-Nya yang bermaksud: "(Setelah diterangkan akibat orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang yang beriman dan beramal salih akan disambut dengan kata-kata): 'Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredai (di sisi tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Demikian titik penghujung perjalanan kehidupan manusia yang akhirnya kembali ke hadrat Ilahi. Perjalanan hidup manusia sarat dengan pelbagai ujian dan aneka godaan dengan tujuan untuk melahirkan hamba Allah yang suci dan bersih hatinya serta mantap imannya kepada Allah Yang Maha Esa. 

Oleh itu, ibadat puasa yang dijalani selama sebulan Ramadan oleh setiap Muslim medium terbaik untuk membimbing orang yang beriman ke arah jalan kesucian yang diredai Allah. Ini kerana ibadat puasa pada hakikatnya berupaya mengembalikan manusia untuk meraih kesuciannya dengan catatan bahawa ibadat puasa yang dilaksanakan itu tidak hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja. Malah ibadat puasa itu dihayati dengan penuh keimanan dan pengharapan untuk mengekang segala keinginan kotor hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan dan kancah dosa. 

Oleh itu, berpuasa pada tahap berkenaan adalah wahana yang paling efektif untuk meraih kembali kesucian jiwa yang sekian lama ternoda oleh pelbagai jenis dosa yang menghimpit hidup manusia. Nafsu pada bulan puasa perlu dikekang semaksimum mungkin demi menjejaki kesucian yang diharapkan. Ketika nafsu sudah dapat dikawal maka jiwa dengan sendirinya akan mudah terisi dengan sinaran cahaya Ilahi yang suci. 

Oleh sebab itu, orang berpuasa yang berjaya dalam ibadat pada hakikatnya telah meraih kebahagian sejati kerana dia menemui kembali kesucian yang diimpikannya. Sehubungan itu, bukankah Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan atau kebahagiaan; iaitu pertama, kegembiraan ketika berbuka puasa dan yang kedua, kebahagiaan ketika bertemu dengan Allah pada hari akhirat kelak." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pendek kata, seorang Muslim mengecapi kebahagiaan setelah berjaya menyucikan jiwanya dengan berpuasa. Serentak dengan itu, dia juga rasa bahagia dengan kesucian jiwanya itu akan mempertemukannya dengan Allah yang Maha Suci pada hari akhirat kelak.  

Penulis Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:10 AM