SUDAH dua tahun berturut-turut umat Islam tidak dapat merayakan Aidilfitri secara normal antaranya amalan tradisi kunjung-mengunjung demi membendung penularan Covid-19. FOTO Arkib NSTP
SUDAH dua tahun berturut-turut umat Islam tidak dapat merayakan Aidilfitri secara normal antaranya amalan tradisi kunjung-mengunjung demi membendung penularan Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Pasti akan tercatat dalam lipatan sejarah dan kenangan kita, umat Islam tidak dapat menyambut Aidilfitri seperti biasa selama dua tahun berturut-turut disebabkan penularan wabak Covid-19 yang belum berakhir.

Bagi menanganinya, pelbagai SOP (prosedur operasi standard) dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengawal penularan wabak berkenaan. Sama ada wabak itu berpunca daripada konspirasi atau bukan, tidak boleh menjadi alasan untuk kita melanggar SOP berkenaan. Ini kerana kemudaratannya sedang dan akan terus berlaku.

Pesakit yang mengalami gejala tahap satu tidak wajar dijadikan bukti bagi meremehkan kesan virus wabak berkenaan. Ini kerana sesiapa saja boleh menjadi pembawa virus itu walaupun tanpa bergejala dan menyebarkan kepada orang lain yang boleh jadi akan mengalami gejala lebih teruk di tahap tiga, empat atau kematian.

Maka, arahan pihak berkuasa supaya kita mengikut SOP seperti penjarakan fizikal atau menjalani proses kuarantin perlulah dipatuhi. Konsep penjarakan fizikal dan kuarantin sebenarnya sudah wujud sejak zaman Nabi SAW.

Dalam sebuah hadis sahih berdasarkan beberapa jalan riwayatnya, Nabi SAW bersabda: "Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh membuat ramalan buruk, tidak boleh percaya sial burung hantu dan tidak boleh percaya sial bulan Safar. Larilah daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa." Riwayat al-Bukhari secara mu'allaq

Terjemahan hadis dalam bentuk larangan ini berdasarkan pandangan sebahagian ulama sengaja dipilih kerana ia lebih mudah difahami tanpa perlu kepada perincian lanjut. Malah, makna hadis lebih jelas menunjukkan wujudnya perkaitan secara sepadan antara rangkap pertama dengan rangkap keduanya tanpa terpisah sedikit pun. Maka, janganlah orang yang sakit berjangkit itu bercampur dengan orang yang sihat kerana dikhuatiri dia akan menjangkitkannya dengan takdir dan izin Allah SWT.

Ia juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW: "Janganlah unta yang sakit dibawa dekat kepada unta yang sihat." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Baginda SAW juga bersabda: "Jika kamu mendengar penyakit taun di sesuatu tempat maka jangan kamu pergi kepadanya. Jika ia berlaku di sesuatu tempat pula, sedangkan kamu berada di situ maka jangan kamu keluar lari daripadanya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Nabi SAW pernah didatangi sekumpulan orang Bani Thaqif untuk berbaiah, namun ada seorang daripada mereka menghidap penyakit kusta. Lantas, Nabi SAW mengutuskan orang kepadanya dengan berpesan: "Sesungguhnya kami telah membaiah kamu, maka pulanglah (tanpa bersentuhan dengannya)." Riwayat Muslim

Nabi SAW juga diriwayatkan bersabda: "Janganlah kamu sekalian merenung lama orang yang kena penyakit kusta. Jika berbicara dengan mereka, hendaklah ada antara kalian dengan mereka jarak seukuran satu tombak." Riwayat Abu Ya'la dan Abdullah bin Ahmad dalam Zawa'id al-Musnad

Jarak satu tombak ini adalah kira-kira enam kaki atau dua meter. Dalam kes Covid-19, jarak minimum diperlukan hanyalah satu meter. Larangan merenung lama kepada pesakit kusta adalah supaya tidak menyebabkan kita memandang hina padanya atau kerana ia perbuatan yang memang tidak disukai oleh pesakit berkenaan.

Ringkasnya, semua saranan penjarakan fizikal atau kuarantin dalam hadis adalah melihat kepada hal keadaan kebanyakan manusia secara umum yang mudah mengaitkan sesuatu kejadian langsung kepada asbabnya, bukan kepada ketentuan Allah SWT terlebih dahulu.

Sehubungan itu, penjarakan ini turut diamalkan dalam ibadah solat secara berjemaah. Disebut dalam satu kaedah fiqah: "Hak Allah SWT dibina atas dasar tolak ansur manakala hak manusia dibina atas dasar timbal balik." Menurut Imam az-Zarkasyi (wafat 794H) dalam al-Manthur fi al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, ini kerana Allah SWT selama-lamanya tidak akan mampu disentuh sedikit pun oleh sebarang mudarat, berbeza dengan hak manusia kerana mereka sentiasa boleh ditimpa kemudaratan.

Allah SWT Maha Kaya dan tidak berhajat kepada hamba-Nya atau sesiapa sahaja. Malah, jika semua manusia menderhakai Allah SWT sekalipun, ia tidak akan memudaratkan dan menurunkan darjat Allah SWT sedikit pun. Sebaliknya, manusia boleh ditimpa mudarat dan berhajat kepada hak mereka.

Oleh itu, jika bertembung hak Allah SWT dan hak manusia daripada aspek yang dapat memudaratkannya maka perlu didahulukan hak manusia. Kaedah ini biasa diamalkan dalam keadaan darurat hingga perkara yang haram pun adakalanya boleh menjadi harus bagi menjaga nyawa manusia.

Pelbagai SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengawal penularan wabak Covid-19 pada hakikatnya tidaklah bertentangan dengan roh syariat Islam.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 7:01 AM