LARANGAN rentas negeri adalah untuk menjaga nyawa seterusnya mengekang penularan wabak ke seluruh negara.
LARANGAN rentas negeri adalah untuk menjaga nyawa seterusnya mengekang penularan wabak ke seluruh negara.
Nor Asree Mohd Noh

RAMADAN tidak lama lagi akan melabuhkan tirainya. Suka atau tidak, dia tetap akan berlalu pergi. Sekarang ini, umat Islam berada pada fasa ketiga Ramadan iaitu 10 hari terakhir yang menjadi saat paling getir bagi seluruh umat Islam sebelum memasuki bulan baharu.

Hal ini kerana di dalam fasa ini terdapat satu malam yang dikurniakan oleh Allah SWT yang ganjarannya lebih baik daripada 1,000 bulan untuk setiap umat Nabi Muhammad SAW iaitu  Lailatulqadar  atau malam al-Qadar sebagaimana firman Allah SWT:  "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan sudahkan kamu tahu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada (mana-mana) 1,000 bulan." (Surah al-Qadar: ayat 1-3)

Di saat pengakhiran Ramadan ini juga, boleh dikatakan semua umat Islam khasnya di Malaysia bersiap sedia menyambut Aidilfitri. Ada yang menempah pakaian atau baju raya, ada yang melengkapkan rumah dengan perhiasan baharu, ada yang sibuk membeli atau menyediakan kuih raya dan lain-lain, yang tidak lain tidak bukan untuk menyambut lebaran. 

Budaya ini terus berlaku dan berulang saban tahun apabila bulan Syawal menjelma. Begitu juga tidak terlepas bagi anak-anak yang berada di perantauan dengan budaya pulang ke kampung untuk berhari raya bersama sanak saudara.

Ia lebih-lebih lagi, bagi yang masih mempunyai ibu bapa atau keluarga rapat yang akan menyerikan lagi sambutan Aidilfitri ketika bersama.

Namun, jika dilihat konteks semasa sekarang ini, kes Covid-19 di Malaysia masih tinggi, masih tidak kelihatan trend menurun yang melegakan. Rentetan daripada itu, maka pihak pemerintah melarang aktiviti rentas negeri untuk menyambut hari raya nanti. 

Penulis secara peribadi melihat bahawa jika ini keputusan kerajaan iaitu tiada amalan rentas negeri ketika Syawal nanti untuk menjaga keselamatan awam, maka ia adalah perkara yang baik. Semua rakyat perlu akur dan reda.  

Hal ini kerana kerajaan tidak memutuskan sesuatu keputusan sewenang-wenang mengikut sesuka hati, walhal mereka telah melihat dari banyak sudut. Maslahat utama sekarang ini adalah menjaga nyawa bagi terus mengekang penularan wabak ke seluruh negara. Hal ini terangkum sebagaimana dalam kaedah fikah yang sering diguna pakai dalam bidang siyasah syar'iyyah yang berbunyi:  "Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat."

Baru-baru ini, apabila Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan mengenai larangan aktiviti merentas negeri tidak kurang netizen mengkritik sehinggakan menghina.

Islam tidak mengajar umatnya berkelakuan sedemikian, malah menyuruh umatnya supaya sentiasa bertenang dan berfikir waras semasa membuat apa sahaja keputusan. Selain itu, umat Islam diminta supaya berlapang dada dengan tidak mudah menyalahkan orang lain tanpa usul periksa dan berfikir secara mendalam tambahan pula mengeluarkan kata-kata keji atau tidak elok lebih-lebih lagi ketika berada di bulan mulia ini. 

Kemungkinan kemarahan atau sikap tidak puas mereka kepada pihak pemerintah dan berkuasa dek kerana larangan sebarang pergerakan, tambahan hari raya yang makin hampir, tidak dapat pulang ke kampung.

Apa pun, semua yang berlaku pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Allah Jallawa'ala telah berfirman:  "Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu adalah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah: ayat 216)

Apabila dirujuk ayat ini, secara dasarnya ayat ini adalah berkenaan perintah ke atas Muslimin ketika itu untuk keluar berjihad di jalan Allah sebagaimana terdapat di awal ayat. Seperti yang diketahui, perihal jihad itu amatlah tidak disukai oleh semua orang kerana ia akan mengubah banyak perkara dalam kehidupan seseorang. Namun, ini adalah rencana Allah SWT yang mengatasi segala rencana yang lain.

Oleh kerana itu, Allah SWT terus menyatakan ayat selepas itu seolah-olah ia suatu jaminan kepada sahabat RA: "dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." 

Dalam konteks sekarang, umat Islam perlu juga melakukan perkara sama iaitu turut berjihad memerangi Covid-19. Maka, inilah sebenarnya fiqh awlawiyyat (keutamaan) dan fikah berhari raya yang paling mustahak untuk difikirkan bersama. Walaupun semua orang berasa sedih disebabkan tidak dapat pulang ke kampung berhari raya dengan sanak saudara, akan tetapi yang paling utama adalah kesihatan keluarga dan orang terdekat sentiasa terjaga daripada dijangkiti wabak ini.

Ayuh berfikir sejenak. Bagaimana jika dibenarkan untuk merentas negeri dan selepas itu wabak ini makin menular dan menjangkiti orang sekeliling, termasuk terkena pada insan tersayang? Itu adalah lebih besar mudaratnya yang kemungkinan akan membawa kematian mereka. Yang mana satukah mereka mahu? 

Tidak ketinggalan juga bahawa ibu bapa atau keluarga di kampung juga perlu bersangka baik dan terus mendoakan anak-anak mereka yang tidak lepas pulang untuk perkara yang sama, iaitu saling menjaga dan mendoakan. Terhalangnya budaya dan kebiasaan orang ramai iaitu tidak dapat berhari raya dilihat seperti perkara dibenci, sebagaimana refleksi ayat tadi, namun mudah-mudahan di situ tersemat seribu hikmah dan kebaikan yang hanya diketahui oleh Pencipta sahaja.

Penulis Pensyarah, Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 8:09 AM