PERKAHWINAN adalah suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah semula jadi penciptaan manusia. FOTO Arkib NSTP
PERKAHWINAN adalah suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah semula jadi penciptaan manusia. FOTO Arkib NSTP
Datuk Dr Luqman Abdullah

Baru-baru ini, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerima soalan daripada orang awam berhubung hukum berkahwin dengan anak tidak sah taraf serta siapa wali yang layak baginya. Sebagai ulasan permulaan, hukum sesuatu perkahwinan adalah sah sekiranya menepati syarat-syarat serta rukun yang ditetapkan oleh syarak. Namun bagi anak tidak sah taraf, walinya adalah wali sultan atau wali hakim. Kami menggalakkan dalam hal ini supaya perbincangan dan pemakluman awal kepada bakal keluarga suami mengenai status bakal isteri supaya tidak berlaku masalah pada masa akan datang.

Perkahwinan adalah suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah semula jadi penciptaan manusia. Bertujuan untuk menjaga keturunan, memelihara kesucian diri, melaksanakan tuntutan syariat, memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Rum, ayat  21)

Bagi memastikan ikatan suci ini mencapai matlamat berkenaan, ia hendaklah dibina atas rukun dan syarat-syarat yang sudah ditetapkan oleh syarak.

Rukun yang dimaksudkan di sini ialah pasangan lelaki dan perempuan, dua saksi yang adil,  sighah (lafaz ijab dan qobul)  serta wali hakim bagi anak tidak sah taraf. Seseorang wali hendaklah memenuhi kriteria yang sudah ditetapkan syarak bertujuan memenuhi ketetapan syariat Islam.

Wali dari segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Dari segi istilah, wali adalah pihak yang mempunyai hak atau autoriti untuk membuat keputusan dan mengawal selia urusan orang lain.  (Rujuk:  al-Fiqh al-Manhaji  4/60)

Sehubungan itu, wali adalah  salah satu rukun nikah dan tanpanya pernikahan adalah tidak sah. Pendapat ini disepakati oleh  jumhur  ulama berdasarkan banyak dalil. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh A'isyah RA  bahawa Rasulullah SAW bersabda:  "Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya. Sekiranya mereka berselisih maka sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali."  (Rujuk:  Sunan al-Tarmizi  3/399)

Terdapat tiga kategori wali iaitu wali hakim, wali  mujbir  dan wali  ikhtiar. Wali hakim atau wali raja adalah pihak yang tidak mempunyai wali atau tidak memiliki wali sah menurut hukum syarak seperti wali enggan, wali tinggal terlalu jauh, wali akrab yang tidak dapat dikesan dan termasuk juga bagi kes anak tidak sah taraf. Manakala wali  mujbir  dan wali  ikhtiar  pula adalah  wali  nasab  kepada wanita yang diwalikan olehnya.  (Rujuk: al-Syirazi:  al-Muhazzab fi Fiqhi al-Imam al-Syafie  2/427)

Selain itu, seksyen 7(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan: "Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab, mengikut hukum syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali raja."

Seksyen 2 (Tafsiran)  menyatakan:  "Wali raja ialah  wali yang ditauliahkan oleh Yang Dipertuan Agong dalam hal Wilayah-Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja, dalam hal sesuatu Negeri lain, untuk mengkahwinkan perempuan tidak mempunyai wali dari nasab." Dalam seksyen yang sama, 'nasab'  pula merujuk kepada  keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah.

Seksyen 7(2) secara jelas menyebut sekiranya tidak ada wali  nasab, maka perkahwinan itu akan diakadnikahkan oleh wali raja/hakim. Keadaan ini menunjukkan bahawa ia antara perkahwinan yang turut diiktiraf menurut perundangan kerana jika seseorang wanita tidak mempunyai wali daripada  nasab, dia akan diakadnikahkan oleh wali raja menurut hukum syarak. Maka perkahwinan dengan wanita yang tidak sah taraf adalah sah menurut hukum syarak.

Secara kesimpulannya, jelas dari dalil-dalil dan akta di atas menunjukkan perkahwinan dengan anak tidak sah taraf adalah sah daripada sudut hukum syarak dan perundangan.

Mereka juga adalah  insan seperti kita yang memiliki hak pada perkara itu. Islam tidak terlepas dalam mengambil peranan terhadap mereka. Di samping itu, untuk memaklumkan keluarga mengenai identiti anak tidak saf taraf itu, sewajarnya kami nasihatkan supaya berjumpa dengan Unit Keluarga Islam, Jabatan-jabatan Agama Negeri untuk mendapatkan khidmat nasihat dan cadangan mengenai perkara ini.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 7:10 AM