PERCAYALAH setiap orang bekerja dalam pengurusan agihan zakat dengan hati yang tulus ikhlas.
PERCAYALAH setiap orang bekerja dalam pengurusan agihan zakat dengan hati yang tulus ikhlas.
Haji Ruslan bin Said

POLEMIK isu agihan zakat di Malaysia muncul setiap tahun, kalau dahulu ia muncul ketika Ramadan namun sejak akhir-akhir ini mula mendapat perhatian masyarakat pasca Covid-19. Secara asasnya, zakat ialah ibadah yang termaktub di dalam al-Quran dan merupakan satu mekanisme ibadat kewangan bermatlamatkan membersihkan jiwa manusia serta hartanya (pembayar zakat) serta membantu golongan yang kurang berkemampuan (asnaf).

Di Malaysia, kutipan dan agihan zakat dibuat oleh pihak berkuasa agama iaitu Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Pusat Zakat Negeri-Negeri sebagai badan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan asnaf. Hal ini sependapat dengan majoriti ulama antaranya Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam kitab Fiqh Az-Zakah yang berpendapat kerajaan perlu bertanggungjawab untuk memastikan maslahah asnaf dipelihara.

Kutip cepat, agih lambat?

Soalan yang sering dibangkitkan, kutip zakat cepat tetapi agihan zakat lambat? Perkara asas perlu difahami ialah agihan zakat perlu diberikan kepada golongan tertentu seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, pengurus zakat, para mualaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan budak), orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taubah ayat 60)

Amanah besar Majlis Agama Islam Negeri ialah memastikan agihan diberikan tepat kepada lapan golongan tersebut dan tidak tersalah memberi bantuan kepada orang yang tidak termasuk lapan golongan ini. Ini bukan birokrasi, tetapi pemeriksaan secara teliti supaya golongan yang benar-benar perlukan bantuan mendapat hak sewajarnya. Setiap sen yang dikutip dan setiap sen yang diagih akan diperhalusi dan diaudit secara terperinci oleh jawatankuasa audit serta peruntukan undang-undang dan boleh disemak pada bila-bila masa oleh pembayar zakat melalui laporan tahunan atau aplikasi zakat.

Kedua, agihan zakat oleh Majlis Agama Islam Negeri adalah paling cepat kerana ia tidak diberikan secara bermusim, tetapi diberikan tepat pada setiap bulan melalui akaun penerima. Bantuan secara bulanan ini tidak statik, tetapi akan sentiasa dikemaskini sama ada bantuan perlu ditambah atau sebaliknya. Selain itu, agihan terus secara one-off juga diberikan setelah meneliti beberapa aspek agar pemohon benar-benar termasuk dalam lapan golongan tadi.

Ketiga, pihak pengurusan zakat akan memberi bantuan secara komprehensif dan bersasar mengikut keperluan utama yang diperlukan asnaf secagai contoh membina rumah kediaman, membaiki rumah rosak, memiliki kenderaan, tapak perniagaan, bantuan pembelajaran dan sebagainya. Bantuan bersasar ini akan membolehkan asnaf meneruskan kelangsungan hidup dan matlamat akhirnya untuk mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Inovasi agihan zakat

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan kerjasama erat Majlis Agama Islam Negeri membangunkan Garis Panduan Agihan Zakat merangkumi 15 prinsip agihan zakat untuk dijadikan panduan oleh institusi zakat iaitu amanah, telus, menyeluruh, wajar, had kifayah, khusus, berasingan, berhemah, 30 pengawasan, bertanggungjawab, maklumat lengkap, pencalonan, segera, hak dan keutamaan. Dengan adanya prinsip agihan zakat ini, pihak pengurusan zakat akan memastikan proses agihan zakat sentiasa berada pada landasan yang betul.

Perkembangan teknologi maklumat juga membantu pengurusan zakat semakin efisen dengan wujudnya aplikasi mudah alih untuk memudahkan penolong amil menjejaki asnaf dan pembayar zakar boleh memantau agihan zakat. Data sentiasa dikemaskini dan secara komprehensif sebagai contoh, inovasi yang dibuat oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah melalui aplikasi Zakat on Touch. Melalui kaedah ini, ia dapat mengelakkan pengurusan zakat secara serkap jarang dalam mengagihkan bantuan zakat.

Selain itu, penubuhan skuad jejak asnaf turut ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Negeri bertujuan menjejaki asnaf dari rumah ke rumah, kampung ke kampung. Talian hotline turut diperkenalkan bagi membolehkan orang awam memaklumkan individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan skuad jejak asnaf akan sampai menyerahkan bantuan setelah diteliti maklumat penerima bantuan.

Inisiatif terbaru dilaksanakan di bawah pentadbiran Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang melihat aspek penyampaian maklumat perlu diperkasakan agar tidak timbul persepsi negatif. Oleh itu, satu platform disediakan melalui Telegram kami_ada. Melalui platform ini rakyat boleh mendapatkan info terkini agihan zakat atau bantuan yang dilaksanakan oleh agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Semangat fastabiqul khairat

Sohor kini individu atau badan bukan kerajaan (NGO) turun padang menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terjejas pendapatan terutama ketika musim pandemik Covid-19. Ini adalah satu usaha murni yang wajar diberi pujian atas semangat taawun iaitu saling bertolong bantu dan fastabiqul khairat, berlumba-lumba melakukan kebaikan, sekali gus menunjukkan masyarakat Malaysia sebuah masyarakat prihatin. Marilah kita memberi sokongan kepada semua insan berhati mulia yang menyinsing lengan turun padang membantu sama ada daripada pihak majlis agama Islam, pusat zakat, badan bukan kerajaan, korporat atau individu.

Cabaran semasa pihak pengurusan zakat ialah untuk memastikan maklumat agihan zakat dapat diketahui umum atau dalam istilah mudahnya viral di telefon bimbit rakyat. Bagi memastikan agihan itu viral, sentuhan emosi dan penceritaan memainkan peranan penting. Percayalah, setiap orang bekerja dalam pengurusan agihan zakat dengan hati yang tulus ikhlas, tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan memberi sepenuh jiwa untuk mengagihkan bantuan zakat kerana mereka menjunjung amanah Allah yang akan dipersoalkan setiap sen di akhirat nanti.    

Penulis Ketua Pengarah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:30 AM