AKIDAH Sifat 20 adalah manhaj yang melestarikan antara penggunaan wahyu dan juga akal rasional.
AKIDAH Sifat 20 adalah manhaj yang melestarikan antara penggunaan wahyu dan juga akal rasional.
Ustaz Mohd Saiful Aqil Naim

SUDAH lama kita mempelajari akidah Sifat 20. Namun pernahkah terfikir dari mana asal usulnya? Siapakah yang menyusun akidah ini dengan susunan yang sangat sistematik bermula daripada sifat Wujud sehinggalah ke Kaunuhu Taala Mutakaliman?

Menurut Al-Marhum Syeikh Ahmad Al-Shazuli  dalam karyanya Tadhkirah al-Talib, mekanisme manusia berfikir bermula dengan persoalan 'apakah.' Ia adalah persoalan berkaitan hakikat sesuatu entiti itu sendiri.

Dalam perihal Sifat 20, kita sudah mengetahui secara ringkas apakah sifat-sifat tersebut serta pengertiannya melalui pengajian agama. Kemudian, mekanisme berfikir kita akan cuba mencari jawapan mengenai sifat-sifat bagi perkara tersebut. Antaranya ialah asal usul perkara berkenaan. Penulisannya bersandarkan sebuah buku hasil karya magnum opus seorang pengkaji muda dalam bidang akidah iaitu Ustaz Zainul Abidin Bin Abdul Halim Al-Qadah yang berjudul Sifat 20 Imam Sanusi: Sejarah Ringkas, Perkembangan dan Penghayatannya terbitan Pusat Pengajian Islam dan Tarbiyah Darul Hikmah.

Karya ini adalah kajian ringkas mengenai kaedah penulisan akidah Sifat 20 serta ulama yang berpegang dengan manhaj ini. Buku ini dimulakan dengan biodata Imam Al-Sanusi  dengan penerangan ringkas mengenai perjalanan hidup beliau dan rantaian sanad pengajian beliau bersama gurunya. Al-Sanusi adalah seorang ilmuwan dari Maghribi yang lahir pada 832 Hijrah.

Beliau seorang ulama besar dalam bidang akidah, tasawuf, hadis, matematik dan lain-lain bidang ilmu. Beliau digelar mutafannin/ensiklopedik. Penulisan beliau yang berjudul Umm Al-Barahin atau dikenali dengan nama Al-Aqidah Al-Sanusiyah dijadikan sandaran utama penulisan ilmu akidah di Nusantara.

Antara karya ulama Jawi yang sedondon dan hasil daripada Umm Al-Barahin ialah kitab Miftahul Jannah oleh Al-Allamah Al-Shaykh Muhammad Tayyīb Mas'ud al-Banjari  yang juga  mufti Kedah pada zamannya sekitar abad ke-19.

Beliau adalah  datuk seorang ulama agung Kedah iaitu Tuan Hussein Kedah Al-Banjari  RA. Di akhir kitab tersebut, Shaykh Muhammad Tayyib mengatakan kitabnya ini adalah syarah dan  huraian bagi Matan Al-Aqidah Al-Sanusiyah. Ini sebuah bukti jelas bahawasanya sudah lebih daripada 200 tahun akidah bermetodologi Sifat 20 berpasak di Malaysia dalam menyemai benih akidah yang sahih.

Perkara berkenaan dikuatkan lagi dengan penulisan Bidayatul Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain yang merupakan huraian dan syarah bagi Umm Al-Barahin dalam tulisan jawi.

Namun begitu, sebenarnya bukanlah Sifat 20 ini pertama kali disusun dalam bentuk yang ini oleh Al-Sanusi sendiri, akan tetapi beliau menyusun susunan tersebut sebagai lanjutan daripada karya guru kepada gurunya Al-Imam Al-Hawwara  (meninggal 843H).

Penulis (Zainul Abidin) menegaskan bahawa manhaj/metode pengajian Sifat 20 adalah manhaj ulama lagi awliya  (wali) yang merupakan warisan daripada ulama salaf.

Penulis lanjutan perbicaraan dengan menjelaskan kaitan antara dalil naqli  (berasaskan wahyu) dan aqli  (berasaskan akal rasional) dalam memahami ilmu akidah. Kita dapat melihat siri  peperangan  ideologi antara Rasulullah SAW dan golongan kafir pada waktu tersebut.

Antaranya ialah bagaimana golongan musyrikin yang diketuai Ubai Bin Khalaf meragui keboleh berlakunya kebangkitan setelah mati dengan membawa tulang yang sudah mereput. Mereka menyangkal bagaimana tulang belulang yang sudah mereput boleh dihidupkan semula menjadi sebuah jasad yang lengkap.

Lalu, Allah membalas syubhat tersebut dalam Surah Yasin pada ayat ke-79. Secara ringkasnya, ayat tersebut menunjukkan Pencipta yang mencipta tulang belulang tersebut adalah Pencipta yang sama yang mencipta manusia daripada titisan mani. Mereka menyangkal kebangkitan semula kerana akal mereka lemah dalam membayangkan bagaimana cebisan tulang boleh bertukar semula menjadi manusia.

Sedangkan realitinya menunjukkan manusia yang mempunyai anggota lengkap pada asalnya hanyalah titisan air mani kemudian bertukar kepada bentuk manusia. Ini menunjukkan keharusan penukaran rupa bentuk daripada tidak bernyawa kepada bernyawa. Justeru, ia juga menunjukkan akal sebenarnya boleh menerima perkara ini namun kejahilan sahaja yang menutupi. Ini dengan jelas menunjukkan bagaimana Allah SWT menggesa manusia menggunakan akal dalam berfikir dan berakidah dalam masa yang sama berpandukan wahyu.

Kesimpulannya, metode Sifat 20 yang dipopularkan oleh Imam Sanusi ini adalah sebuah mazhab akidah Ahli Sunah yang sangat relevan dengan umat Islam pada setiap zaman. Ia merupakan sebuah manhaj yang melestarikan antara penggunaan wahyu dan juga akal rasional. Berbeza dengan Mujasimmah Literalis yang hanya berpegang dengan zahir ayat al-Quran tanpa menggunakan akal dalam memahami al-Quran lalu terjerumus dalam lembah menjisimkan Allah SWT. Berbeza juga dengan fahaman yang menggunakan akal tanpa neraca wahyu sehingga menafikan sifat Allah Taala dalam al-Quran. Sebaik-baik perkara adalah pada pertengahannya. Itulah wasatiyah yang menjadi manhaj ini.

Kini, terdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak NGO untuk memartabatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah misalnya Islamic & Strategic Studies Institute (ISSI) dan baru-baru ini sebuah gerakan ilmuwan muda di bawah nama Liqa' Asya'irah yang ditubuhkan bagi menyebarkan fahaman akidah yang sahih menurut kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya terhadap golongan belia masa kini. Moga Allah memberkati usaha ini.

Penulis Panel Liqa' Asya'irah dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Malaya (UM)s

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 5:59 AM