FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Islam satu-satunya al-Din yang diredai Allah SWT yang akan menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan yang abadi kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu, ramai manusia berpusu-pusu memeluk dan menganut Islam sebagai teras dan dasar kehidupan mereka. Walaupun begitu, masih terdapat kebanyakan umat Islam yang belum memahami dan menghayati Islam yang sebenarnya. 

Merenung senario umat Islam kini, kedapatan ramai umat Islam yang mengaku dirinya sebagai Muslim namun mereka masih lagi melakukan larangan Allah seperti berjudi, berzina dan sebagainya. Tidak kurang juga terdapat segelintir umat Islam yang berkefahaman sempit dan jumud dengan anggapan Islam hanyalah untuk akhirat semata-mata dan mereka meminggirkan terus urusan dunia yang merupakan jambatan menuju alam akhirat. Ironisnya, umat Islam kini begitu mudah dilabelkan sebagai pelampau agama, golongan ekstrimis, fundamentalis dan pelbagai lagi gelaran yang mencalari maruah dan imej umat Islam sebagai khairu ummah dan ummatan wasatha.

Seiringan dengan gelombang kesedaran Islam kini, umat Islam sewajibnya menilai dan memahami hakikat beragama sebenarnya menurut kaca mata Islam. Al-Din Islam yang diredai Allah SWT tidak hanya sekadar ucapan lidah bahawa dia beriman kepada Allah, bahkan keimanan perlu diterjemahkan dengan amalan yang disyariatkan Islam seperti solat, zakat, puasa, haji dan lain-lain amalan ibadat. Ini bermakna hakikat beragama sebenarnya luas pengertiannya sehingga merangkumi hubungan dua hala atau paksi iaitu paksi menegak dan paksi mendatar. Paksi menegak itu bermaksud hubungan yang terjalin erat antara seseorang hamba dengan Tuhannya dalam usaha untuk menjadi seorang Muslim yang salih dan mengabdikan dirinya kepada Allah taala semata-mata. Manakala paksi mendatar pula bermakna hubungan yang tersimpul antara sesama manusia yang melibatkan hal ehwal Muslim secara umumnya seperti jihad, zakat, muamalat dan sebagainya. Allah SWT telah menegaskan hal ini dalam firmanNya dalam surah al-Baqarah, ayat 208 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah (hayatilah) agama Islam secara keseluruhannya."

Dalam konteks ini, hakikat beragama menurut perspektif Islam bukanlah dengan berlapar, berpuasa sepanjang masa, beriktikaf di masjid, berjubah dan berserban, menjauhkan diri daripada aktiviti sosial dengan bertapa dan sebagainya yang menjadi lambang lahiriah kepada orang beragama. Sebaliknya hakikat beragama yang sebenarnya seseorang Muslim sewajibnya memiliki tubuh badan yang sihat lagi kuat untuk menggalas tugas sebagai hamba Allah dan juga khalifah Allah di muka bumi ini sebagaimana yang digariskan oleh Allah di dalam al-Quran.  

Sehubungan itu, Imam Ibnu Taimiyyah RA  pernah menegaskan hakikat beragama itu sebenarnya berdiri di atas dua landasan utama iaitu landasan iman yang membawa maksud kepercayaan tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah. Juga percaya kepada Malaikat-Nya, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada hari akhirat dan kepada takdir-Nya. Landasan yang kedua pula ialah landasan Islam yang didahului dengan kepercayaan kepada Allah dan Muhammad SAW sebagai utusan-Nya yang tersimpul dalam dua kalimah syahadah. Kemudian keyakinan ini diperkukuhkan lagi dengan ibadat mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah. Pendek kata, hakikat beragama itu ialah gandingan kemas antara iman dan Islam sehingga menjadi tunjang dan teras utama yang akan mendasari setiap sudut kehidupan Muslim. 

Dengan lain perkataan, iman dan Islam tidak boleh dipisahkan sama sekali. Oleh itu, seorang yang beriman adalah seorang Muslim, begitu juga sebaliknya. Justeru, seandainya ada seseorang yang mengaku dirinya sebagai Muslim dengan melakukan solat, zakat, puasa dan sebagainya, tetapi dalam masa sama dia masih percayakan perkara khurafat seperti kekeramatan di kuburan, mengamalkan syirik dan sebagainya, dia sebenarnya bukanlah seorang Muslim.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 102 maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Takutlah kalian kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya dan janganlah kalian mati melainkan mati sebagai orang Islam."

Maksud daripada ayat suci tersebut menjelaskan betapa iman dan Islam seiringan pada setiap masa dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. 

Bertolak dari sini, jelas kepada kita hakikat beragama sebenarnya menuntut kita menjadikan agama sebagai teras kehidupan semasa. Ini bermakna, kita tidak sewajarnya meminggirkan terus agama daripada landasan hidup dalam kesibukan kita mengejar kemewahan dunia dan bergelut dengan ledakan globalisasi, modernisasi dan dunia tanpa sempadan yang semakin rancak di pentas kehidupan dunia kini. Oleh itu, agama sewajibnya berfungsi sebagai momentum konkrit yang mengakari setiap ruang lingkup kehidupan manusia hingga mampu memancarkan nilai-nilai Islam kepada seluruh umat manusia. 

Perlu ditegaskan nilai kerohanian perlu berjalan seiringan dalam setiap aktiviti keduniaan yang dilakukan umat Islam. Ini amat bertepatan dengan titah perintah Ilahi yang memerintahkan umat Islam supaya menjejaki keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi seperti firman-Nya dalam surah al-Qasas, ayat 77 maksudnya: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi.  "

Sudah tentulah tersirat hikmahnya dan objektifnya di sebalik keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi dalam kehidupan manusia. Islam menjuruskan matlamatnya ke arah melahirkan individu yang salih dan produktif serta aktif dalam setiap dimensi hidup di samping berusaha untuk membentuk sebuah komuniti masyarakat yang harmoni lagi cemerlang dalam setiap lapangan hidup di bawah lembayung keadilan Islam dan kebahagiaan hakiki serta keredaan Ilahi senantiasa. Inilah adunan atau formula kecemerlangan yang mencipta tamadun kegemilangan Islam satu ketika dahulu yang dirintis oleh generasi Rasulullah SAW  dan generasi selepasnya. Formula inilah juga yang berjaya menghasilkan personaliti terbilang seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan ramai lagi yang melakar episod gemilang dalam sejarah Islam. 

Apa yang perlu diteladani di sini ialah generasi Rasulullah SAW dan Sahabat RA  benar-benar memahami dan menghayati Islam serta menterjemahkannya dalam realiti kehidupan mereka. Mereka menjadikan Islam sebagai dasar kehidupan mereka yang terpenting dengan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sumber perundangan dan rujukan utama mereka dalam kehidupan. Maka tidak hairanlah mereka mampu menempa dan memahat era keemasan Islam dalam lipatan sejarah sehingga mampu menyaingi dua kuasa besar iaitu Rom dan Parsi. Ini bermakna intipati kejayaan dan keunggulan sebenarnya terungkap dalam penghayatan Islam dan mempraktikkannya dalam realiti hidup. Kegemilangan generasi Rasulullah SAW  dan sahabat selepasnya telah membuktikan hal tersebut. Oleh sebab itu, merekalah yang sewajarnya menjadi teladan terbaik yang menjadi ikutan umat Islam seluruhnya dalam usaha mereka untuk memartabatkan kembali maruah umat Islam sebagai umat yang terbaik yang dituntut oleh Islam. 

Sementelahan itu juga, Islam tidak pernah mengenal wujudnya istilah esktrimisme, fanatisme, sekularisme dan sebagainya dalam kamus kehidupan umat Islam. Memadailah Islam sebagai al-Din yang diperakui di sisi Allah SWT sebagai agama yang paling sempurna merangkumi setiap aspek kehidupan manusia daripada ibadat, muamalat, kemasyarakatan, politik, kebudayaan dan sebagainya. Justeru, umat Islam sewajibnya kembali kepada Islam dengan menjunjung al-Quran dan hadis sebagai sumber dan dasar kehidupan sejagat. Dengan ini, barulah umat Islam dapat membebaskan diri daripada belenggu kemunduran, kejahilan, kemiskinan dan pelbagai lagi kemelut yang mencengkam mereka sekian lama. Rasulullah SAW  pernah bersabda maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya." (Hadis riwayat Malik) 

Kesimpulannya, umat Islam perlu bermuhasabah dan menilai diri mereka sendiri apakah ciri-ciri keberagamaan mereka sudah menepati landasan Islam yang sebenar. Selain itu, aspek keimanan dan keislaman perlu dijana kembali di dalam sanubari umat Islam supaya mereka berupaya mengulangi kembali sejarah kegemilangan Islam yang diterajui oleh generasi Rasulullah SAW  dan para sahabat di samping matlamat kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat serta keredaan Ilahi dapat direalisasikan juga akhirnya.  

Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:00 AM