SETIAP makhluk akan melalui saat kematian, apakah kita sudah bersedia untuk menghadapinya? - Gambar hiasan . FOTO Arkib NSTP
SETIAP makhluk akan melalui saat kematian, apakah kita sudah bersedia untuk menghadapinya? - Gambar hiasan . FOTO Arkib NSTP
Dr Azlan Shaiful Baharum

"Tiap-tiap yang berjiwa akan mati. Sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." Surah Ali Imran ayat 185

Setiap hari kita mendengar berita kematian sama ada disebabkan sakit yang dideritai sekian lama, kemalangan, lemas akibat banjir, mandi di laut atau air terjun. Ada juga yang meninggal dunia tanpa sebab. Itu suatu yang cukup mengejutkan. Dari segi usia pula, tidak kira tua ataupun muda, sehinggakan ada bayi yang baru dilahirkan juga diambil nyawanya tanpa sebab yang dapat dikesan oleh pakar perubatan.

Sesungguhnya pasti saat yang menggerunkan itu akan ditempuhi oleh setiap makhluk Allah yang bernyawa. Bagi yang pergi buat selama-lamanya kita jadikan peristiwa itu sebagai satu pengajaran. Kita perlu sentiasa bersedia dengan bekalan yang akan kita bawa ke alam abadi di sana. Di samping itu ia juga menjadi pedoman kepada kita yang masih hidup ini. Ini membuktikan dunia hanya sementara, tiada yang hidup kekal abadi melainkan Allah SWT.

Mari kita semua muhasabah diri kita. Adakah segala amalan kita di dunia ini mencukupi untuk dipersembahkan ke hadapan Allah SWT? Adakah kita sudah bersedia menempuhi saat malaikat menyoal kita dalam kubur masing-masing? Satu persoalan yang sering bermain di fikiran orang yang beriman dan sentiasa memikirkan nasib di alam baqa.

Apa-apa pun kita masih perlu bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah yang diperoleh setiap hari tanpa sedikit pun berkurangan. Allah SWT tidak pernah meminta gantinya daripada kita atau membayarnya walau satu sen. Setiap hari bangun daripada tidur kita masih dapat bernafas, masih dapat menghirup udara yang nyaman, masih dapat makan dan minum serta masih dapat menjalankan rutin kita sebagai manusia.

Cuma yang pasti ajal akan tiba. Bilakah masanya, di manakah lokasinya, bagaimanakah caranya dan mengapakah ia belaku? Semuanya hanya berada dalam genggaman dan rahsia Allah SWT semata-mata. Hanya yang boleh kita teladani adalah ayat al-Quran yang dinyatakan oleh Allah SWT untuk menjadi peringatan kepada kita sebagai hamba Allah yang beriman kepada qada dan qadar serta ketentuan alam baqa dan kiamat. Antaranya ialah:

Surah Al-Baqarah:

"…atau seperti (orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit disertai gelap gelita, guruh dan kilat, mereka menyumbat telinganya dengan anak jarinya kerana (mendengar suara) petir sebab takut akan mati. Dan Allah meliputi orang yang kafir." (Ayat 19)

"Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu tadinya mati, lalu Allah menghidupkan kamu kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan?" (Ayat 28)

"Katakanlah: "Jika kamu (menganggap bahawa) kampung akhirat (syurga) itu khusus untukmu di sisi Allah, bukan untuk orang lain maka inginilah kematian (mu), jika kamu memang benar." (Ayat 94)

"Dan Ibrahim mewasiatkan ucapan itu kepada semua anaknya, demikian pula Yaaqub. (Ibrahim berkata): "Hai anakku! Sesungguhnya Allah memilih agama ini bagimu maka janganlah kamu mati kecuali dalam agama Islam." (Ayat 132)

"Diwajibkan ke atas kamu apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda) maut, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajipan ke atas orang yang bertakwa." (Ayat 180)

Surah Ali Imran:

"Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Ayat 102)

"Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah sebagai ketetapan yang ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki ganjaran dunia nescaya Kami berikan kepadanya ganjaran dunia itu dan barangsiapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang yang bersyukur." (Ayat 145)

Surah Al-An'am:

"Dialah Yang menciptakan kamu daripada tanah, sesudah itu ditentukannya ajal (kematianmu) dan ada lagi suatu ajal yang ditentukan (untuk berbangkit) yang ada pada sisi-Nya (yang Dia sendirilah mengetahuinya) kemudian kamu masih ragu-ragu (mengenai kebangkitan itu)." (Ayat 2)

"Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hamba-Nya, diutus-Nya kepadamu malaikat penjaga sehingga apabila datang kematian kepada seorang antara kamu, dia diwafatkan oleh malaikat Kami, dan malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajipannya." (Ayat 61)

Surah Al-Mukminun:

"(Demikianlah keadaan orang kafir itu) hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia)." (Ayat 99)

"…agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan." (Ayat 100)

Surah Ad-Dukhan:

"Sesungguhnya mereka (kaum musyrik) itu benar-benar berkata, "Tidak ada kematian selain kematian di dunia ini. Dan kami sekali-kali tidak akan dibangkitkan." (Ayat 34-35)

Surah Al-Waqi'ah:

"Kami menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan." (Ayat 60)

Surah Al-Jumuah:

"Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri. Allah Maha Mengetahui akan orang yang zalim." (Ayat 7)

"Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." (Ayat 8)

Surah Al-Munafiqun:

"Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada seorang di antara kamu lalu dia berkata: "Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematianku) sampai waktu yang dekat, supaya aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang yang soleh?" (Ayat 10)

"Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Ayat 11)

Oleh itu, jelaslah bahawa aspek kematian ini sangat ditekankan oleh Allah SWT kepada umat manusia supaya kita semua mengambil pengajaran dan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi saatnya. Dalam sebuah hadis sahih, daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah bersabda: "Apabila manusia meninggal dunia maka terputuslah segala amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya." Hadis Riwayat Muslim

Semoga kita beroleh husnul khotimah dalam pengakhiran hidup kita dan dianugerahkan syurga yang kekal abadi.

Penulis Profesor Madya di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:15 AM