MARILAH kita lakukan amalan bagi menghadapi hari-hari sesudah kematian dan elakkan permusuhan.
MARILAH kita lakukan amalan bagi menghadapi hari-hari sesudah kematian dan elakkan permusuhan.
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

SEBAHAGIAN petanda yang menunjukkan keperibadian yang buruk dan bersikap fanatik (semoga Allah SWT melindungi kita) ialah seseorang itu akan menjauhi saudara Islamnya hanya semata-mata mereka berselisih pendapat dalam sesuatu perkara sama ada dalam urusan agama, kehidupan, politik kepartian dan seumpamanya.

Sehubungan dengan itu, seseorang akan menegah orang lain daripada duduk bersama dengan seseorang yang dianggap musuhnya ataupun melarang daripada menziarahi musuhnya itu. Ataupun dia akan menegah orang lain daripada mendengar ceramah atau membaca kitab-kitab karangan musuhnya.

Pada anggapannya, musuhnya itu adalah pembuat seorang yang sesat, pembuat bid'ah dan mengikut hawa nafsu. Perbuatan ini salah satu contoh fanatisme dan menunjukkan 'kebankrapan ilmu' bagi orang yang melakukannya. Ini kerana perbuatan sebegini hanya dilakukan oleh kumpulan manusia yang tidak mampu berhadapan untuk berhujah secara ilmiah dengan seseorang.

Demikian juga mereka tidak mampu duduk semeja berbincang dan berbahas tentang sesuatu isu, kesalahan ataupun duduk berhadapan (dengan orang yang dianggap membuat bid'ah) bagi menjelaskan kesalahan dan perbuatan bid'ah yang dilakukan oleh tertuduh dengan hujah dan bukti yang jelas. 

Bahkan mereka hanya pandai menuduh orang lain bid'ah, sesat dan masuk neraka sahaja. Padahal individu berkenaan kemungkinan seorang yang lebih alim, warak dan zuhud berbanding dirinya.

Kaedah perbincangan ilmiah secara berhujah sebenarnya jauh dari unsur fanatik dan bersikap keras kepala. Ketahuilah bahawa amalan menuntut ilmu, duduk berbincang bersama pengamal ajaran sesat atau seseorang yang dituduh bersalah dengan mengemukakan hujah yang bernas adalah jalan rintisan Nabi-Nabi AS.

Para Anbiya diperintah oleh Allah SWT untuk berhujah dengan sesiapa sahaja sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): 'Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika kamu orang yang benar.'" (surah al-Baqarah: 111)

Firman-Nya lagi: "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu jua yang lebih mengetahui tentang orang yang sesat dari jalannya dan Dia jua yang lebih mengetahui tentang orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah  al-Nahl: 125)

Berdasarkan dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa cara berdakwah dengan menjauhi orang yang melakukan kesalahan, golongan sesat dan melakukan perbuatan bid'ah adalah satu tindakan yang negatif. Bahkan ia jauh sekali dari apa yang dicontohi Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seseorang Muslim menjauhkan diri dari saudaranya lebih dari tiga hari tiga malam. Kedua mereka apabila bertemu saling mendedahkan keaiban antara satu sama lain. Dan orang yang paling baik antara keduanya ialah orang yang mula-mula sekali memberi salam apabila mereka bertemu."

Hadis ini jelas membuktikan bahawa al-Hijr iaitu menjauhkan diri hanya dapat mengelakkan perjumpaan bagi mengadakan perbahasan, perbandingan hujah dan perbincangan yang mana semua ini akan dapat disempurnakan melalui hujah yang bernas lagi mencukupi dengan dalil yang konkrit.

Dalam suasana kehangatan politik semasa dan menjelang pilihan raya umum kelihatan ramai dari kalangan umat Islam gagal menunjukkan budi pekerti yang mulia. Kata-kata yang benar dianggap palsu, kejahatan bertukar menjadi kebaikan, kebenaran dipersendakan, fitnah berleluasa, agama menjadi barang mainan serta ulama menjadi sasaran tohmahan.

Sedarlah bahawa setiap gerak geri kita diperhatikan oleh Allah SWT. Kita semua diberi balasan terhadap apa yang kita lakukan. Walaupun kita teruja mengharungi sketsa politik kepartian, melompat parti dan pertukaran kerajaan serta pilihan raya, tetapi insaflah bahawa Allah SWT amat berkuasa memilih nyawa kita untuk kembali kepadaNya pada bila-bila masa sahaja. Maka lakukan amalan bagi menghadapi hari-hari sesudah kematian kita.

Justeru, marilah kita bermohon kepada Allah SWT supaya Dia memperelokkan akhlak kita semua sebagaimana Nabi SAW. Semoga Allah memelihara lidah kita dari menuturkan kata-kata yang keji dan memelihara diri kita dari perbuatan yang hina.

Ya Allah, perlihatlah kepada kami kebenaran dan jauhkanlah kami dari bersikap kontradik, fanatik dan selamatkanlah kami dari bersikap keras kepala dalam mempertahankan perkara yang bathil. Sesungguhnya, Dikaulah Allah yang Maha Mendengar lagi Maha menyahuti seruan hamba-hambaNya.

Penulis Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 5:59 AM