TIDAK rugi sekiranya ilmu yang dipelajari kemudian dikongsikan pula kepada rakan sepengajian yang memerlukan. FOTO Arkib NSTP
TIDAK rugi sekiranya ilmu yang dipelajari kemudian dikongsikan pula kepada rakan sepengajian yang memerlukan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Shahrizal Nasir

Meskipun negara masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19, proses pembelajaran tetap perlu dijalankan agar tidak ada pelajar yang ketinggalan pelajaran. Proses menuntut ilmu perlu diteruskan menerusi pendekatan baharu secara dalam talian (online). Baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi, proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung secara dalam talian. Dalam mendepani situasi ini, pastinya terdapat cabaran tersendiri sama ada di pihak guru dan pensyarah begitu juga pelajar.

Bagi memastikan proses pembelajaran secara dalam talian turut mengekalkan suasana menuntut ilmu, pelajar perlu menjaga adab sepanjang masa berada dalam kelas maya. Pembelajaran secara dalam talian tidak boleh dijadikan alasan untuk diri bersikap sambil lewa serta mengetepikan tatasusila sebagai penuntut ilmu.

Ibn Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya  Fath al-Bari  menyebut: "Adab ertinya menerapkan (dalam diri) segala perkara yang dipuji oleh manusia, sama ada berupa perkataan mahupun perbuatan. Sebahagian ulama juga mendefinsikan adab sebagai penerapan akhlak yang mulia (dalam diri)."

Dinukilkan dalam kitab  Hilyah al-Awliya' wa Tabaqat al-Asfiya'  kata-kata Anas bin Malik yang berbunyi:  "Belajarlah adab sebelum kamu mempelajari ilmu." Ungkapan ini sepatutnya menjadi peringatan dalam diri setiap pelajar yang sedang menuntut ilmu. Ketika berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan, adab perlulah diutamakan kerana ia menjamin keberkatan ilmu.

Ibn Mubarak mengakui bahawa beliau mempelajari adab selama 30 tahun dan mempelajari ilmu pula selama 20 tahun. Pengakuan ini jelas menunjukkan kepentingan adab dalam proses menuntut ilmu. Tanda orang yang mendapat keberkatan daripada ilmu yang dipelajarinya ialah dengan penzahiran tingkah laku yang terpuji.

Tiada gunanya seseorang yang bertungkus-lumus mencari ilmu, tetapi dalam masa sama tidak menghormati gurunya, memusuhi rakan seperjuangan, berbangga diri dengan ilmu yang diperoleh dan sebagainya. Inilah antara cabaran besar yang perlu didepani setiap penuntut ilmu.

Az-Zarnuji pula dalam kitabnya Ta'lim al-Muta'allim menegaskan   bahawa  ramai dalam kalangan penuntut ilmu yang sebenarnya bersungguh-sungguh menuntut ilmu, namun mereka tidak merasakan nikmatnya ilmu.
Hal hal ini disebabkan mereka meninggalkan atau kurang  mengambil berat soal adab atau etika dalam menuntut ilmu.

Orang berilmu mesti memiliki akhlak yang baik. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya tentang keperluan menghiaskan diri dengan akhlak yang terpuji menerusi sabda baginda bermaksud:  "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Antara perkara yang perlu diberi perhatian pelajar dalam proses menuntut ilmu secara dalam talian ialah kekal fokus memberi tumpuan terhadap ilmu yang disampaikan oleh guru. Maklumlah disebabkan pembelajaran berlangsung secara maya, mungkin ada pelajar yang melakukan kerja lain sambil mendengar penerangan yang disampaikan guru.

Mana mungkin proses menuntut ilmu dilakukan secara sambilan apatah lagi dalam keadaan guru menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Mungkin hal ini terjadi apabila pelajar merasakan perbuatannya tidak dilihat oleh guru dan orang lain ketika berada dalam kelas maya. Ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa melihat perbuatan hamba-Nya termasuk ketika berada dalam keadaan bersendirian. Zahirkanlah perilaku yang baik kerana ia akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan."  (Surah al-Baqarah, ayat 110)

Selain itu, antara adab pelajar yang baik ialah berusaha untuk memberi respons atau maklum balas apatah lagi apabila diminta oleh guru. Ada kalanya guru terpaksa meminta pelajar memberi respons berulang-ulang kali, namun tiada seorang pelajar pun yang sudi memberi maklum balas. Akhirnya sesi pembelajaran akan kelihatan hanya satu hala dengan guru yang bercakap dari awal hingga akhir kelas.

Jadilah pelajar yang aktif dengan mengajukan soalan atau mengutarakan pandangan dengan penuh adab. Contohilah sahabat Rasulullah SAW yang suka bertanya kepada baginda tentang persoalan sama ada kecil atau besar dengan tujuan untuk memahami agama. Sahabat bertanya Rasulullah SAW tentang makna ungkapan yang tidak difahami, tentang amalan yang paling baik, tentang hari kiamat, tentang syurga dan neraka serta banyak lagi persoalan lain. 

Allah SWT mengingatkan golongan musyrik agar bertanya kepada orang yang berpengetahuan. Peringatan ini juga perlu diambil perhatian oleh umat Islam agar segala persoalan yang membelenggu fikiran dapat difahami dengan baik. Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan tidaklah Kami mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan daripada kalangan orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui."  (Surah an-Nahl, ayat 43)

Adab seorang penuntut ilmu juga perlu berusaha untuk menyebarkan ilmu yang diperolehnya. Dalam situasi pembelajaran secara dalam talian ini, sudah pasti ada dalam kalangan pelajar yang berdepan dengan masalah untuk mengikuti kelas sepenuhnya. Kebiasaannya masalah berlaku melibatkan kekangan untuk mendapatkan akses internet yang terbaik bagi melancarkan proses pembelajaran dalam talian. Maka inilah peluang yang terbuka untuk pelajar menyuburkan sikap saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Tidak rugi sekiranya ilmu yang dipelajari kemudian dikongsikan pula kepada rakan sepengajian yang memerlukan. Usah bersikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup membiarkan rakan lain ketinggalan pelajaran. Bagi pelajar yang ketinggalan pelajaran disebabkan kekangan tertentu, jangan berasa malu bertanya kepada guru atau rakan sepengajian. Sesungguhnya seorang penuntut ilmu tidak perlu berasa malu pada bukan tempatnya.

Mujahid iaitu seorang mufassir berkata seperti mana yang dinukilkan dalam  Sahih al-Bukhari  bermaksud:  "Dua orang yang tidak belajar ilmu ialah orang pemalu dan orang yang sombong." Maka hindarilah diri daripada menjadi seorang yang pemalu dan seorang yang sombong dalam urusan menuntut ilmu.

Jangan sesekali meletakkan situasi pembelajaran dalam talian di tahap rendah atau kelas kedua berbanding pembelajaran secara bersemuka. Sama ada pembelajaran berlangsung secara bersemuka mahupun dalam talian, kedua-duanya tetap termasuk dalam kategori majlis ilmu yang akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Justeru, ingatkanlah diri agar sentiasa menjaga adab sepanjang berada dalam kelas pembelajaran. Sesungguhnya ilmu yang diperoleh hari ini menjamin keberkatan hidup pada masa akan datang kerana dengan ilmu tersebutlah manusia memperoleh rezeki kurniaan Ilahi.

Penulis Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 7:15 AM