FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Rahimah Saimin

Covid-19 datang tanpa diundang dan memberi impak yang besar ke seluruh pelosok dunia tanpa mengira usia. Siapa sangka dunia boleh menjadi sepi dalam sekelip mata. Sekolah dan universiti kebanyakannya terpaksa ditutup ketika kes meningkat secara mendadak. Pendidik mula resah dengan kelas secara maya. Ibu bapa mula gelisah dengan isu penjagaan dan pengurusan anak kecil. Pelbagai kaedah alternatif dilaksanakan. Begitulah rencah dunia pendidikan dek pandemik ini manakala e-pembelajaran banyak tersedia sama ada platform berbayar atau percuma seperti Playstore atau Google Classroom.

Menurut Islam, pendidikan si kecil amat penting bagi mencorakkan masa hadapannya. Firman Allah SWT: "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur." Al-Nahl: 78

Imam Al-Ghazali dalam karya agungnya, Ihya' Ulum al-Din mengingatkan bahawa anak adalah amanah Allah SWT yang besar ke atas ibu bapa. Pengasas teori Sociocultural, Lev Vygotsky juga menekankan peranan orang dewasa iaitu ibu bapa dan anak lain dalam memudahkan perkembangan si kecil. Perlu diingat bahawa pendidikan awal kanak-kanak bukan sekadar terletak pada buku dan pensel semata-mata. Pendekatan berkonsepkan pembelajaran melalui bermain perlu bermula dari sekarang dan dilestarikan. Dalam erti kata lain, budaya pembelajaran kanak-kanak perlu diperluaskan apabila bermain sebagai satu cara kanak-kanak belajar kemahiran asas literasi dan numerasi secara berkesan. Belajar melalui bermain menyokong pembelajaran formal awal kanak-kanak.

Ia juga membolehkan setiap kanak-kanak mengembangkan nilai potensi diri mereka. Apabila bermain, mereka dapat mengasah perkembangan dari segi bahasa, kecerdasan emosi dan peraturan, kreativiti serta penaakulan intelektual.

Secaranya umumnya, pendidikan awal kanak-kanak boleh didefinisikan sebagai program tidak formal yang menyediakan pembelajaran kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun.

Hakikatnya sekarang, ramai ibu bapa yang bekerja dari rumah semasa pandemik ini. Anak juga berada di rumah kerana sekolah ditutup. Oleh itu, ibu bapa perlu bijak mengambil peluang keemasan ini untuk meluangkan masa bersama-sama si kecil dan sentiasa berfikiran positif. Bak kata orang bijak pandai, 'pasti ada hikmah di sebalik musibah.' Siapa pun yang berfikiran positif akan sentiasa berasa tenang. Dia akan tetap rasa bahagia, senang, syukur dan reda.

Di samping itu, adalah amat perlu bagi ibu bapa untuk merenung peringatan Rasulullah SAW bahawa si kecil dilahirkan ke dunia ini dengan keadaan suci bersih mengikut fitrah. Kedua-dua ibu bapanya yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Kristian atau Majusi.

Jika difikirkan dengan pandangan yang positif, tidakkah ini adalah ruang yang Allah SWT buka seluas-luasnya kepada ibu bapa untuk meluangkan masa bersama si kecil?

Bermula seawal pagi mendidik dengan kebersihan dan pengurusan diri. Kemudian menunaikan solat secara berjemaah, makan bersama dengan mendidik si kecil membaca doa makan dan pelbagai aktiviti yang boleh dirancang untuk dilakukan bersama.

Sudah menjadi lumrah, kanak-kanak mengenal dunia dan persekitaran mereka melalui permainan. Pelbagai aktiviti menarik boleh diteroka bersama si kecil. Bawalah si kecil bermain di luar rumah, ibu bapa dapat membimbing kemahiran asas literasi dan numerasi si kecil. Antaranya, memotong rumput atau memangkas pokok di tepi rumah. Biarkan si kecil meneroka alam semula jadi, mencabut rumput, menghidu bau rumput, merasai tekstur daun hijau dan daun kering atau bermain lopak lumpur sekalipun.

Ajaklah si kecil menyemai benih pokok di beg poli. Berikan peluang kepada mereka merasai tekstur tanah atau sabut kelapa yang hancur, mengenal biji benih yang berlainan saiz dan bentuk, seterusnya melihat perkembangan pertumbuhan pokok.

Sesi dialog aktif antara si kecil bersama ibu atau ayah perlu berlangsung sepanjang menjalankan aktiviti berkenaan. Ini penting bagi mewujudkan komunikasi atau perbualan berterusan berkaitan aktiviti yang dilakukan agar mereka mempelajari sesuatu.

Melalui aktiviti ini, ibu bapa sudah boleh mengenal pasti sama ada si kecil menguasai konsep asas literasi dan numerasi atau sebaliknya. Perkembangan deria dan dunia persekitaran juga dapat ditingkatkan. Malah permainan sensori yang membabitkan deria dapat merangsang penerokaan dan asas sains penyelidikan. Selain itu, si kecil juga dapat meningkatkan kemahiran motor kasar mereka dalam mengawal keseimbangan badan apabila berjalan, menundukkan badan atau melompat. Dari sini juga mereka mula mengenal dan mempelajari alam semula jadi dan Penciptanya iaitu Allah SWT.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 8:40 AM