PEMANDANGAN Masjid Nabawi di Madinah yang sering dikunjungi umat Islam bukan saja untuk bersolat, tetapi juga  menziarahi makam Rasulullah.
PEMANDANGAN Masjid Nabawi di Madinah yang sering dikunjungi umat Islam bukan saja untuk bersolat, tetapi juga menziarahi makam Rasulullah.
Mohd Ajib Ismail

Ketibaan Maulidur Rasul SAW saban tahun menjadi detik bermakna kepada seluruh umat Islam untuk memperingati nikmat terbesar pengutusan Nabi Muhammad SAW iaitu penyebaran risalah Islam. Bagi menzahirkan kesyukuran atas pengutusan Nabi Muhammad SAW, umat Islam bertanggungjawab mempertahankan syiar agama, memelihara akidah dan iman, mempamerkan serta mengamalkan akhlak terpuji seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah sepanjang hayat baginda dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."

erlalu banyak sifat Nabi Muhammad SAW yang tercatat di dalam sirah dan disebutkan di dalam al-Quran yang menjadi teladan bagi kita semua. Di antara sifat itu ialah ketabahan baginda di dalam menempuh kehidupan sebagai anak yatim, ketika menghadapi kebencian kaum Musyrikin Makkah, kesedihan yang menimpa hidup kerana kehilangan bapa saudara, isteri, anak tercinta dan paling utama kesabaran baginda menghadapi pesona kekuasaan dengan tawaran pangkat serta darjat agar meninggalkan misi dakwah.

Dalam hal ini, Ibn Kathir menyatakan bahawa tawaran itu diajukan oleh 'Utbah bin Rabi'ah yang bertemu baginda di rumahnya. Dalam riwayat yang lain menyebut tawaran itu diajukan al-Walid bin al-Mughirah dan al-'As bin Wa'il.

Bagaimanapun, baginda dengan tegas menolaknya kerana misi memperkenalkan masyarakat kepada Allah SWT adalah lebih berharga berbanding tawaran yang diberikan.

Baginda Nabi Muhammad SAW juga bersifat dermawan, gemar menjamu tetamu, berinfak, menderma kepada orang yang lapar, membantu jiran terdekat dan menjenguk orang sakit. Nabi Muhammad SAW sentiasa berbuat baik kepada sesama manusia sama ada orang Islam ataupun yang bukan Islam. Berkaitan hal ini terdapat banyak kisah dalam kehidupan dan pesanan Nabi Muhammad SAW kepada umat Islam. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Darimi

Di dalam suatu kisah diceritakan baginda pergi menziarahi seorang Yahudi yang ditimpa kesakitan. Dalam sebuah hadis daripada Anas RA, beliau berkata: "Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: "Masuklah Islam." Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata: "Taatilah Abu al-Qasim SAW." Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: "Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan budak itu daripada neraka." Hadis Riwayat al-Bukhari

Baginda Nabi Muhammad SAW bersifat berani, teguh hati dan tidak melarikan diri dari medan peperangan. Baginda memimpin beberapa siri peperangan yang dimenangi oleh tentera Muslimin. Berdasarkan hadis riwayat Sahal bin Saad RA bahawa dia ditanya mengenai luka Rasulullah SAW dalam Perang Uhud. Jawab Sahal, "Muka Rasulullah SAW luka, taring beliau patah dan topi baja yang dipakainya pecah. Lalu Fatimah binti Rasulullah yang membersihkan darahnya, Ali bin Thalib yang menyiramkan air dari perisai. Ketika dilihat Fatimah darah bertambah banyak keluar, diambilnya potongan pelepah kurma, lalu dibakarnya sampai jadi abu. Kemudian abu itu diletakkannya di atas luka baginda sehingga darahnya berhenti keluar." Sahih Muslim No.1759

Baginda juga bersifat zuhud, sederhana dan mengambil dunia sekadar perlu. Baginda tinggal di rumah yang sangat sederhana dan berpakaian sederhana. Baginda terkenal dengan sifat tawaduk, menghormati orang tua, simpati kepada orang miskin, menolong orang yang lemah, ramah dengan orang, melakukan sendiri kerja rumah seperti menjahit pakaiannya sendiri dan menyantuni pelbagai golongan termasuk kanak-kanak. Dalam sebuah hadis daripada Jabin Samurah RA: "Aku solat Zuhur bersama Rasulullah SAW kemudian baginda keluar ke tempat keluarganya dan aku pun ikut keluar. Selanjutnya, beliau disambut oleh kanak-kanak, kemudian baginda mengusap pipi mereka seorang demi seorang hingga sampailah pada giliranku. Baginda mengusap pipiku dan ternyata kurasakan tangan baginda begitu sejuk dan harum baunya seakan-akan tangan baginda baru dikeluarkan dari kantung yang berisi minyak wangi." Hadis Riwayat Muslim

Baginda bersifat bijaksana, halus pekerti dan lembut pergaulan, murah hati dan memaafkan, menenangkan dengan akhlak dan toleransi, tersenyum kepada orang yang marah, membalas keburukan dengan kemaafan dan damai. Ketika baginda ditawarkan untuk membalas perbuatan penduduk Taif yang menolak dakwah dengan kekasaran, Nabi Muhammad SAW sebaliknya menjawab: "Tidak, bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan daripada keturunan mereka orang yang menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun juga." Riwayat Muslim

Baginda bersifat belas ihsan, mengasihi sesama insan dan bergurau senda dengan ahli keluarga dan sahabat. Aisyah RA berkata: "Jika Rasulullah SAW berada di rumah, dialah orang yang paling murah senyum dan ketawa." Ali bin Abi Talib menceritakan bahawa Rasulullah SAW selalu kelihatan ceria, bersikap tenang dan santai, banyak tersenyum di hadapan para sahabat, semangat dan kagum dengan pembicaraan mereka, malah kadangkala tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya.

Baginda juga selalu berzikir dan suka berdoa. Rasulullah SAW menangis ketika sembahyang tahajud, maka Aisyah bertanya: "Mengapakah engkau menangis? Sebenarnya Allah SWT sudah mengampunkan dosa engkau yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Maka Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Adakah tidak patut aku dalam kalangan hamba yang banyak bersyukur?" Hadis Riwayat Ibnu Hibban

Penghayatan sifat Rasulullah perlu dibudayakan di setiap peringkat sama ada dalam keluarga mahupun melalui institusi pendidikan bagi melahirkan sebuah ummah yang rabbani. Ia perlu diserlahkan dalam segenap aspek kehidupan misalnya melalui program dakwah meraikan masyarakat terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama.

Sempena tibanya Maulidur Rasul SAW, marilah kita mengisinya dengan amalan selawat, menghidupkan sunah dan menghayati sifat baginda agar dapat menyuburkan dan meningkatkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sirah Nabi Muhammad SAW mesti dijadikan sumber rujukan dan panduan terpenting dalam pelbagai aspek kehidupan, menjadi inspirasi serta pemangkin semangat bagi umat Islam terutama ketika negara sedang berperang melawan wabak Covid-19.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 8:43 AM