ORANG yang bertakwa bukan sahaja memperoleh rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, tetapi mereka diampuni segala dosa, dijanjikan dengan kemudahan dalam setiap urusan.
ORANG yang bertakwa bukan sahaja memperoleh rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, tetapi mereka diampuni segala dosa, dijanjikan dengan kemudahan dalam setiap urusan.
Dr Amani Nawi

Negara mencatatkan peningkatan kes yang mendadak sejak penghujung September lalu. 'Trend' peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang dilihat sudah mencecah angka empat digit mencetuskan kebimbangan ramai rakyat Malaysia.

Malah, yang lebih menggusarkan bukan sahaja jumlah kes yang semakin meningkat, tetapi kesan yang bakal dihadapi oleh semua lapisan masyarakat sama ada dari segi ekonomi, kesihatan dan pendidikan sekiranya wabak Covid-19 ini terus berlarutan. 

Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sejak Mac  yang lalu seolah-olah menjadi usaha yang sia-sia apabila gelombang ketiga wabak ini kembali melanda negara. Disebabkan wabak yang berlaku, ramai daripada kalangan rakyat Malaysia hari ini kehilangan punca pendapatan. Setiap hari dirasakan semakin sukar untuk mencari sesuap nasi buat keluarga tercinta. 

Mungkin sudah tiba masanya manusia kembali merenung hakikat di sebalik bencana wabak yang diturunkan dengan izin Allah SWT ini. Dia yang berkuasa menurunkan sesuatu ujian, maka kepada Dia jugalah kita kembalikan segala urusan. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, lapar dan kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."

Allah berfirman lagi melalui surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud:  "Dialah yang mentakdirkan kematian dan kehidupan untuk menguji di antara kamu siapakah yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)."

Bencana yang lebih besar bukanlah wabak yang sedang kita hadapi saat ini, namun kegagalan kita sebagai hamba Allah SWT  untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya ketika wabak. Itulah bala yang lebih menakutkan.

Hakikatnya, saat sesuatu ujian melanda tidak kira dalam apa jua bentuk dan rupa, manusia khususnya umat Islam akan semakin tinggi takwanya, semakin mendalam imannya.

Kita cenderung berbicara perihal meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dalam kalangan masyarakat, namun kita lupa yang perlu diberi perhatian dan menjadi keutamaan ialah SOP iman dan takwa. 

Iman dan takwa kepada Allah, itulah jalan keluar daripada kemelut bencana ini.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 175 yang bermaksud: "Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada-Nya (iaitu ajaran al-Quran), maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat dan limpah kurnia-Nya (yang tidak terkira) dan Allah akan menunjukkan mereka jalan yang lurus yang membawa kepada-Nya."

Orang beriman yang beruntung adalah mereka melihat sesuatu ujian yang diberi oleh Allah SWT sebagai peluang yang perlu dimanfaatkan untuk menaikkan lagi ketakwaan ke tahap yang lebih tinggi.

Umar bin al-Khattab pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab: "Apakah itu takwa?" Ubai bin Kaab menjawab: 'Wahai Amir al-Mukminin, sekiranya engkau berjalan di satu lembah yang dipenuhi duri, apakah yang akan engkau lakukan? Umar berkata: 'Aku akan mengangkat pakaian ku dan berjalan dengan berhati-hati supaya tidak terkena duri'. Lantas Ubai bin Kaab menjawab: 'Itu lah takwa! Meningkatkan ketaatan kepada Allah dan mengelak daripada melakukan maksiat kepada-Nya.'"

Takwa dalam erti kata yang lebih mudah ialah menjunjung segala perintah Allah SWT  yang wajib mahupun yang sunat serta meninggalkan semua larangan-Nya termasuk yang makruh, sama ada dalam keadaan berseorangan atau ketika di khalayak ramai.

Orang yang bertakwa bukan sahaja memperoleh rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, tetapi mereka diampuni segala dosa, dijanjikan dengan kemudahan dalam setiap urusan, bahkan Allah SWT  akan melipat gandakan pahala bagi mereka.

Malah, yang lebih utama orang yang bertakwa tidak akan pernah ada perasaan gelisah, mengeluh, was-was atau sedih hati apabila diuji.

Inilah masa yang terbaik untuk kita sama-sama mengingati antara satu sama lain atas jalan kebaikan dan kebenaran. Kita perlu kembali memperketat SOP syarak yang dituntut oleh Islam, mencegah diri dan orang lain daripada melakukan apa yang dilarang oleh Allah, di samping mengamalkan sunnah Nabi SAW. 

Kita turut dituntut memperbanyakkan istighfar di saat kesulitan dan mengamalkan qunut nazilah dalam setiap solat secara beramai-ramai walaupun berada di rumah masing-masing. Zikir pagi dan petang tidak lagi ditinggalkan. Nescaya, kita akan mendapat bantuan dan rahmat daripada Allah SWT.

Penulis Pensyarah di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 9:10 AM