FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Ajib Ismail

Kuala Lumpur: Pendekatan pertengahan atau wasatiyah adalah jalan Rasul dan Nabi di dalam menyebarkan risalah Islam meliputi aspek akidah, syariah dan akhlak. Melalui penerimaan ajaran Islam, umat Islam ditinggikan martabat dan kedudukan sehingga dapat menjadi contoh kepada umat yang lain.

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud: "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau menghadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman)."

Umat terbaik adalah yang mengamalkan sikap pertengahan, tidak keras namun tidak mengambil pendekatan terlalu pasif dan lembut dalam segenap perkara. Dalam aspek kepercayaan, sifat pertengahan membezakannya dengan golongan atheis yang tidak percayakan Tuhan dengan golongan polyties yang percaya kepada Tuhan yang banyak. Sebaliknya ajaran Islam menyeru kepada keyakinan terhadap Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Esa.

Sifat pertengahan juga menjadikan umat Islam mampu bertindak adil sehingga boleh menjadi saksi dan hakim bagi mengadili kedudukan umat yang lain. Umat yang pertengahan tidak mengamalkan pendekatan ifrat iaitu terlampau ketat, keras, ekstrem dan tasyaddud. Sebaliknya tidak pula bersifat tafrit iaitu longgar, terlampau mengambil mudah, cuai, taqsir dan tasahul.

Umat Islam berulang kali diingatkan agar menjauhi perbuatan melampau batas yang menjadi tabiat Ahli Kitab seperti dinyatakan dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 77 yang bermaksud: "Katakanlah wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka tersesat (jauh) dari jalan yang betul."

Sikap melampau menjadi punca kesesatan kebanyakan manusia. Akar umbi ekstremisme adalah kejahilan, kekeliruan dan keingkaran terhadap batasan yang ditetapkan oleh agama. Ia bukan disebabkan agama, tetapi kerosakan ilmu tentang agama.

Dalam konteks Malaysia, Perdana Menteri menegaskan ekstremisme tiada tempat dalam masyarakat. Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara. Seperti yang diamalkan di negara ini, tindakan tegas berlandaskan undang-undang diambil terhadap pihak yang menyebarkan amalan dan fahaman ekstremisme tanpa mengira agama.

Dalam mengatur urusan kehidupan, Rasulullah SAW menunjukkan teladan cara hidup yang sederhana dan pertengahan. Baginda tidak merestui hasrat tiga orang sahabat yang melakukan amalan yang lebih daripada panduan yang ditunjukkan kerana mereka memberi penekanan yang tidak seimbang atau berlebihan dalam melaksanakan kewajipan ibadat. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik RA bermaksud: "Telah datang tiga orang lelaki ke rumah isteri-isteri Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam untuk bertanyakan tentang ibadah Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.

Apabila diberitahu (tentang ibadah nabi), seolah-olah mereka merasakan ia terlalu sedikit, lalu mereka berkata: "Di mana kedudukan kita berbanding nabi sallallahu 'alaihi wa sallam. Baginda telah diampuni dosa yang lalu dan akan datang."

Salah seorang daripada mereka berkata: "Sesungguhnya aku akan solat sepanjang malam selamanya. Seorang lagi berkata: 'Aku akan berpuasa sepanjang tahun dan tidak berbuka (berpuasa setiap hari). Seorang lagi berkata: 'Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya."

Lalu baginda datang, baginda pun bersabda: "Kalian yang berkata itu dan ini? Demi Allah, sesungguhnya aku paling takut dan bertakwa kepada Allah berbanding kalian. Akan, tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku tidur dan aku juga mengahwini wanita. Sesiapa yang berpaling daripada sunnahku, bukanlah daripada kalanganku."

Dalam aspek akhlak dan mualamah, Islam adalah agama toleransi dan menganjurkan sifat lembut, kehalusan budi serta sentiasa mengutamakan keamanan dan perdamaian. Pendekatan mengutamakan prinsip maqasid syariah yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sentiasa dititikberatkan di dalam mengatur sistem kehidupan bermasyarakat.

Bagi menghayati tuntutan ini, ketika berhadapan penularan wabak Covid-19 misalnya, kerajaan Malaysia mengambil pendekatan mengimbangi keperluan melaksanakan perintah agama dengan keperluan menjaga nyawa, ketika memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) berperingkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam konteks menjaga maslahah umat Islam yang turut dihujani cabaran penularan aliran fahaman songsang melalui pelbagai medium terutama dalam zaman kecanggihan teknologi baharu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan meneruskan iltizam melalui pendekatan pemantauan, penguatkuasaan dan dialog berasaskan manhaj yang sahih dan seruan kepatuhan kepada perintah ulil amri khususnya dalam urusan agama bagi mengelakkan masyarakat terjerumus dalam kesesatan dan penyelewengan.

Perkara ini selaras dengan misi Jawi bagi melaksanakan pengurusan hal ehwal Islam untuk kemaslahatan masyarakat di Wilayah Persekutuan melalui pemantapan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah dan akhlak.

Ia juga menjadi salah satu resolusi terpenting di dalam Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO Islam) baru-baru ini yang menekankan agar semua pihak berusaha memperkukuh perpaduan masyarakat Islam berasaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui pendekatan berhemah dan menolak fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan penuh beradab dan menjernihkan semula akidah umat Islam daripada sekularisme Barat dan ajaran yang menyeleweng melalui pendekatan holistik di semua peringkat.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 10:03 AM