SAHABAT Rasulullah SAW adalah sekelompok insan yang Allah sendiri secara terang-terangan menyatakan keredaan-Nya.
SAHABAT Rasulullah SAW adalah sekelompok insan yang Allah sendiri secara terang-terangan menyatakan keredaan-Nya.
Mohd Gunawan Che Ab Aziz

IMAN  ialah tuntutan Allah SWT  kepada kita. Malah iman adalah segala-galanya. Tanpa iman, jangankan untuk memasuki syurga, malah untuk mencium harum syurga sahaja pun tidak akan dapat. Sedangkan wangi syurga itu tersebar harumnya sehingga 500 tahun perjalanan. Kita perlulah faham perkara ini sejelas-jelasnya. Seterang sinar matahari pada siang hari.

Allah SWT  dengan rahmat-Nya yang amat luas, bukan sahaja memerintahkan kita agar beriman, bahkan Allah SWT mewujudkan sekelompok insan pilihan sebagai contoh ikutan dalam keimanan kita. Kita perlu sedar, kita ini bukan lagi umat akhir zaman, bahkan kita adalah umat hujung akhir zaman.

Selain golongan Rasul dan Nabi yang maksum, ada sekelompok lagi insan pilihan yang dijadikan tanda aras oleh Allah untuk kita semua. Allah tidak meninggalkan kita terpinga-pinga untuk mengetahui bagaimanakah caranya untuk kita beriman kepada Allah? Apakah sifat dan kriterianya? Macam mana contoh praktikalnya? Semuanya sudah disediakan oleh Allah. 

Allah SWT  sendiri merakamkan di dalam al-Quran usaha dakwah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW.  Antaranya melalui firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Berimanlah kamu sebagaimana orang itu telah beriman.'" (Surah al-Baqarah, ayat  13)

Ayat ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW  berbicara dengan kaum baginda. Dialog dan seruan yang terjadi antara mereka. Rumpunan ayat ini menunjukkan Rasulullah SAW  berdakwah secara langsung dengan umat baginda. Inilah sunnah dalam mendakwahkan agama. Setiap lorong sudah baginda selusuri. Setiap pintu rumah diketuk. Mata bertemu mata. Dari hati menuju ke hati.

Imam at-Tabari memberikan komentar mengenai ayat ini dengan memetik pendapat Ad-Dahhak yang mengambilnya daripada Ibnu Abbas RA, bahawa yang dimaksudkan dengan 'orang itu' dalam ayat ini ialah sahabat (radhiyallahu 'anhum). Imam asy-Syaukani pula menyimpulkan anjuran beriman sebagai mana 'orang-orang itu' beriman merujuk kepada golongan sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Ansar.

Maka jelaslah di sini, sahabat dijadikan contoh dalam keimanan dan  kehidupan yang dipenuhi dengan cahaya iman. Malah Allah SWT  memuji dan mengisytiharkan keredaan-Nya terhadap sahabat. Biarpun mereka bukan maksum, tetapi mereka adalah kelompok insan pilihan yang berjaya membuatkan Allah SWT  'jatuh hati' dengan mereka. 

Allah SWT memuji mereka serta memerintahkan orang selepas mereka agar mengikuti sahabat ini: "Orang yang terdahulu lagi yang paling awal (masuk Islam) daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar." (Surah at-Taubah, ayat 100)

Jelas melalui ayat ini, jalan paling pantas dan mudah untuk kita mencapai reda Allah ialah melalui ittibaa' (menuruti dan mengikuti jejak) sahabat. Di dalam Kitab Tafsir Bayanul-Quran dinyatakan 'orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik' itu masih terbuka hingga ke hari kiamat.

Oleh yang demikian, cara yang paling bijak untuk kita mulakan usaha kita ke atas iman ialah berkenalan dengan lebih rapat dengan sahabat. Apabila golongan akhir umat ini memisahkan diri mereka daripada golongan sahabat yang kita diperintahkan untuk mengikuti mereka, maka kehinaan demi kehinaan mula menimpa umat ini. Kemuliaan keimanan akan kembali kepada kita, hanya apabila kita kembali mendampingi peribadi hebat sahabat.

Berbicara mengenai sahabat bukan sekadar bercakap tentang sejarah atau sekadar berkenaan apa yang sudah berlalu. Bahkan, ia adalah satu perbicaraan yang masih sangat relevan dengan keperluan kita pada hari ini. Malah sangat penting dalam usaha kita membina kehidupan akhirat kita kerana sahabat adalah sekelompok insan yang Allah sendiri secara terang-terangan menyatakan keredaan-Nya kepada mereka. 

Imam Malik pernah mengatakan: "Sesekali tidak dapat diperbaiki generasi kemudian umat ini melainkan dengan apa yang sudah memperbaiki dengannya generasi awal mereka." Maka yang dikatakan generasi awal ini sudah tentu sahabat Rasulullah SAW.

Oleh itu, sangat penting untuk kita hari ini, memesrakan kembali kehidupan kita ini dengan kehidupan sahabat Rasulullah SAW.

Penulis Pengerusi  Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), Wilayah Persekutuan Putrajaya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 5:59 AM